Thursday, July 31, 2008

Begitu Jadinya 2

Seorang Abang telah membuat pinjaman untuk membantu adik yang ingin membeli sebuah kereta (terpakai). Si Adik tidak boleh berbuat demikian kerana namanya telah disenarai hitam oleh bank (ini banyak berlaku sekarang).

Semua proses pinjaman berjalan seperti diharapkan dan akhirnya adik berjaya memandu kereta yang diidamkanya itu. Untuk tahun pertama, bayaran balik pinjaman berjalan lancar. Masuk tahun kedua, adik menghadapi sedikit masalah kewangan, menyebabkan bayaran pinjaman ada masanya lambat dibayar.

Akhirnya apabila tunggakan bertambah, bank, yang sentiasa tidak sabar untuk mendapatkan wangnya semula, telah "mengambil" kereta itu dan membuat urusan untuk melelongnya. Peminjam pula diberitahu, jika harga yang di perolehi dari lelongan tidak mencukup, peminjam perlu menambah kekurangan itu.

Setelah lebih kurang dua tahun berlalu, dan beberapa kali menghanatar surat untuk mendapatkan maklum balas (tidak berbalas pula), Si Abang telah dikejutkan oleh surat dari peguam pihak bank, yang menuntut pembayaran keseluruhan harga kereta tersebut kerana ia tidak dapat dilelong.

Si Abang telah mendapatkan nasihat dari seorang peguam yang menasihatkan supaya mendapatkan maklumat lengkap tentang perkara ini dan melawan tuntutan itu di mahkamah.

Siasatan awal secara persendirian Si Abang mendapati, kereta itu tidak dapat dilelong, kerana ia didapati mempunyai nombor chasis yang berbeza dari yang asal, seperti terdapat di dalam Kad Pendaftaran dan di dalam Penjanjian Jual Beli. Peguam kemudiannya telah menasihatkan Si Abang untuk membuat aduan polis (???) juga, untuk menentukan kereta itu tidak hilang dari simpanan pihak bank begitu sahaja.

Perubahan pada nombor chasis itu hanya diketahui apabila pihak Puspakom membuat pemeriksaan menyeluruh kereta itu, sebelum lelongan dibuat. (Kemungkinan semasa pembelian dahulu peraturan Puspakom untuk pemeriksaan menyeluruh ini masih belum berkuatkuasa). Namun pihak bank tidak memaklumkan tentang perbezaan nombor chasis itu kepada mereka. Mereka sendiri yang berusaha mendapatkan maklumat itu.

Kes ini masih berjalan dan kedua pihak dari masa ke masa membawa hujjah ke mahkamah. Di samping itu pihak bank pula sedang menjalankan siasat untuk menyelesaikan perkara ini diluar mahkamah. Diharap ia dapat diselesaikan secara baik dan teratur.

Mungkin ada hikmahnya kereta itu di tarik oleh bank, jika tidak, kelainan nombor chasis itu mungkin hanya akan diketahui sehingga hutang kereta itu selesai dibayar, yang mana munkin sudah terlambat untuk menyalahkan sesiapa. Wallahu'alam.

Tuesday, July 29, 2008

Kebencian

Membenci sesuatu/seseorang sebenarnya tidak membawa kepada kebaikan. Kebencian sebenarnya boleh menjadikan sesuatu perkara itu terlekat di fikiran kita secara senyap dan terus menghantui kita.

Kita berhutang dengan seseorang dan membencinya serta cuba melupakan hutang itu. Yang lebih teruk lagi kita membenci pula orang yang kita berhutang itu. Semakin kita cuba mengelak dari mengingatinya semakin bercelaru fikiran kita.

Kita perlu menerima hakikat yang kita telah berhutang dengannya, barulah dengan cara itu kita akan mencari jalan untuk menyelesaikan hutang tersebut. Mengelak diri dari bertemu sepemberi hutang adalah penyelesaian sementara sahaja. Esok lusa, mungkin kita akan bertemu dengannya di rumah saudara kita, yang mana telah berkahwin pula dengan saudaranya.

Membenci diri kita kerana berlebihan berat badan juga tidak memberi apa2 faedah. Selain kita tidak akan memperdulikan diri, kita juga tidak akan berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Selagi kita tidak menerima hakikat tersebut, selagi itu kita tidak akan berubah.

Sebaiknya kita terima hakikat lebihan berat kita itu, dan berbuat sesuatu yang perlu untuk membuangnya, atau terus sentiasa bertukar sais pakaian untuk menyesuaikan diri.

Kebencian yang melampaui batas juga memungkinkan seseorang itu, membuat fitnah terhadap musuhnya. Kebencian juga menjadikan seseorang itu hilang pertimbangan dan percaya kepada fitnah tersebut.

Sebaiknya, kita perlu bersangka baik dengan semua orang. Nabi s.a.w. sendiri telah mengingatkan:
"Awas kamu dari sangkaan itu, kerana sangkaan itu adalah sebohong-bohong bicara". (Riwayat Bukhari).
"Jika engkau menyangka (buruk), jangan engkau sampai mengiyakannya!" (Riwayat Thabarani).

Wallahua'lam.

Friday, July 25, 2008

Tukaran Mata Wang

Bagi mereka yang sering ke luar negara, salah satu persiapan yang wajib dilakukan ialah, menyediakan mata wang negara yang hendak dilawati itu.

Mata wang yang perlu disediakan ialah yang sah laku di negara tersebut. Mungkin ada yang telah mempunyai berbagai kad kredit, tetapi tetap akan menukar kepada mata wang negara yang hendak dikunjungi itu.

Jika akan ke Eropah, maka mata wang Euro lah yang akan disediakan. Jika akan menjadi Tetamu Allah, maka Rial Saudi diperlukan. Dan jika akan ke Indonesia, maka jutaan wang Rupiahlah pula perlu disediakan. Dan begitulah seterusnya.

Secara logiknya, kita akan menghadapi kesulitan jika tidak ada persiapan mata wang yang diperlukan di negeri yang akan dikunjungi itu. Untuk mengelak dari kesusahan yang bakal dihadapi, kita selalunya akan membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapinya.

Tetapi apakah "mata wang" yang sah laku di negeri Akhirat kelak? Dan sudah cukupkah ia disediakan? Atau bolehkah Ringgit Malaysia kita ditukar kepada mata wang tersebut?

"Mata wang" yang sah laku di Akhirat adalah pahala yang terkumpul di "akaun" kita di "Akhirat", bukan Euro, Dollar atau Rupiah. Ya, pahala yang kita kumpul semasa di dunia ini. Pertukarannya adalah segala amal kebajikan yang kita lakukan. Segala amal ma'ruf dan nahi mungkir yang kita dokongi.

Juga, Ringgit Malaysia yang kita sedekah, RM yang kita belanja untuk keluarga dan kaum kerabat, zakat yang kita keluarkan, derma yang kita beri dengan ikhlas dan bermacam lagi pertukaran kepada pahala yang boleh kita perolehi, InsyaAllah.

Untuk tidak menjadi muflis, saya mengingatkan diri saya, dan siapa saja yang mahu diingatkan, supaya perlu beringat akan "akaun" yang satu itu agar dapat di isi selalu.

Jika di negara asing masih ada jalan untuk mendapatkan mata wang untuk digunakan, mungkin dengan menggunakan kad kredit, umpamanya. Tetapi apabila tiba di Akhirat nanti, kita tidak boleh berpatah balik lagi....Renung2kan....

Wednesday, July 23, 2008

Ehwal Semasa...

Seorang anak berumur 12 tahun bertanya kepada ayahnya setelah membaca satu berita di akhbar "SINAR".

Anak: Ayah, liwat itu aper?

Ayah: (Terdiam sebentar) Satu perbuatan yang tidak baik. Jika perempuan dipanggil rogol, tetapi kalau kepada lelaki di panggil liwat.

Anak: (Ketawa geli hati).

Ayah: Kenapa ketawa pulak?

Anak: Tak kan orang tu buat, dia dahlah tua, pastu dia ada isteri 'n' anak2 yang nampak baik je.

Ayah: Orang muda tu buat laporan, dan ada orang cerita dia telah diliwat 9 kali sejak 3 bulan lalu. Ada kemungkinan juga (ingin menduga keyakinannya) ?

Anak: Kalau ye pun, kenapa baru sekarang nak buat laporan (sambil menahan ketawa geli hatinya yang belum habis)?

Ayah: Sebab dia dah tak tahan lagi kot?

Anak: Kalau ikut matematik "average", dia diliwat 3 kali sebulan lah ye?

Ayah: Agaknya lah tu.

Anak: Hish-hish masih tak percayalah (ketawa geli hati dengan cerita yang dibacanya itu) .
p.s: diedit oleh budak berumur 12 tahun itu....
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)" (An Nuur - ayat 11).

Friday, July 18, 2008

Begitu Jadinya....

Semasa bersekolah rendah dahulu, kami kawan sekampong berulang-alik ke sekolah dengan berjalan kaki lebih kurang 2km. Tiada bas sekolah di kampong dan jalannya pula jalan tanah merah sahaja. Tetapi kami bersemangat ke sekolah setiap hari.

Di dalam kelas saya pada masa itu terdapat seorang murid yang sangat nakal. Dia suka menganggu kami di sekolah dan berterusan apabila balik dari sekolah. Oleh kerana rumahnya terletak di petengahan jalan ke kampong kami maka selalulah kami diganggu, jika ada perkara di sekolah yang dia tidak puas hati, apabila melalui kawasan rumahnya itu.

Apabila tidak tahan dengan gangguannya itu kami ada juga mengada kepada ibu bapa. Tetapi setiap kali perkara ini disampaikan kepada penjaganya, ibu bapa kami pula di marahi oleh bapanya, yang selalu memihak kepada anaknya, yang kononnya sungguh baik itu.

Setiap kali aduan itu dibuat, keesokannya ganguan dari beliau akan semakain menjadi2 pula. Hinggakan kami sudah serik untuk mengadu lagi dan tidak ambil pusing lagi dengan kerenahnya.

Mungkin bukan atas sebab2 tersebut, tetapi hakikatnya, apabila meningkat dewasa, beliau telah menjadi seorang yang sering terlibat dengan perlakuan yang menyalahi undang2. Walaupun pernah memasuki tentera, dilatih untuk berdisiplin, tetapi akhirnya menjadi perompak (rompakan bersenjata) dan ditangkap dan dipenjara atas kesalahan2nya itu.

Saya telah tidak mengikuti perkembanganya sejak meninggalkan alam persekolahan, untuk bekerja dan menetap pula di tempat lain. Namun apabila sesekali balik ke kampong ada juga mendengar cerita tentangnya.

Satu cerita yang menarik yang telah saya dengar ialah, beliau telah ditangkap sendiri oleh rakan sekolah yang sering diganggunya semasa bersekolah dahulu (anggota PDRM), atas kesalahan merompak. Cerita ini telah berlaku lama dahulu, tetapi mungkin boleh direnungkan sebagai iktibar dalam mendidik anak-anak.

Wednesday, July 16, 2008

Kerana Terpaksa

Keadaan ekonomi agaknya semakin meruncing sekarang. Cuba bayangkan, oleh kerana sukarnya mendapatkan projek (bagi yang bukan kroni), syarikat-syarikat kecil terpaksa menurunkan harga serendah mungkin untuk mengatasi pesaing2nya.

Baru2 ini saya telah bertemu seorang kawan yang baru sahaja mendapat kontrak tiga tahun bagi menyediakan satu perkhidmatan khusus kepada sebuah syarikat multi nasional. Beliau sepatutnya bergembira kerana mendapat kontrak selama tiga tahun itu dengan pilihan untuk ditambah dua tahun lagi. Tetapi beliau tidak begitu gembira nampaknya.

Menurut beliau, semasa menghantar bidaan untuk tender tersebut, beliau telah meletakkan harga $4 juta setahun untuk perkhidmatan tersebut. Setelah tender ditutup dan dipanggil untuk membuat bidaan di talian secara langsung, harga permulaan bidaan telah menjadi $2.5 juta.

Dalam masa satu jam yang diberi untuk membuat bidaan terus tersebut, harga telah menjunam turun sehingga menjadi RM1.1 juta, dan beliau yang memenanginya (dengan terpaksa rela).

Kini kawan tersebut sedang memeningkan kepala untuk membuat penggiraan semula, bagi menyesuaikan perkhidmatan yang hendak diberi dengan harga yang telah dipersetujui. Tempat penyedian perkhidmatan pula ialah di Sarawak.

Dari RM4 juta menjadi RM1.1 juta adalah satu penurunan yang sungguh banyak. Tetapi jika telah memberikan komitmen untuk melakukannya, maka ia perlu dilakukan. Saya hanya mampu memberikan kata semangat dan ucapan selamat berkhidmat kepadanya, saya tidak berkeupayaan untuk membantu.

Monday, July 14, 2008

Secukup Rasa

Saya teringat satu "scene" di dalam salah sebuah filem Sinar Rio, di mana satu pasangan di halau keluar oleh seorang Chef keluar dari restoren miliknya. Kesalahannya ialah kerana meminta sos chili untuk di tambah kepada makanan yang di pesan. Begitu bangga Chef tersebut dengan masakannya, sehingga menjadi marah apabila ada pelanggan yang mahu mengubah rasa masakannya itu.

Tetapi pada pandangan saya ianya tidak mungkin terjadi di restoren2 di Malaysia ini. Restoren2 di sini, dari sekecil2nya hingga sebesar2nya, sentiasa akan memenuhi kehendak kita untuk menjadikan makanan yang kita pesan mempunyai cita rasa kita secukupnya.

Jadi tidak hairanlah jika disetiap meja di restoren2 tersebut telah tersedia sos, garam, kicap atau seumpamanya untuk ditambah kepada makanan yang kita dipesan.

Walau bagaimana pun benda yang disediakan itu berbeza antara satu restoren dengan satu restoren yang lain.

Misalannya di salah satu restoren di Banting, saya dapati ada cecair berwarna putih seperti di bawah disediakan. Pada hemat saya cecair itu amat jarang di perlukan oleh pelanggan, tetapi mungkin tidak bagi pengunjung restoren ini..



Mungkin anda sudah tahu, selain kicap dan serbuk lada putih itu, apakah nama cecair putih itu, yang disediakan untuk menjadikan makanan pelanggan mereka secukup rasa?

Friday, July 11, 2008

Orang Gaji & Hamba

Ada sebahagian dari kita yang beruntung mempunyai orang gaji atau bibik di rumah. Kita menyediakan untuk mereka tempat tinggal, dibayar upah dan juga menyediakan makan seperti mana yang kita juga makan.

Sebagai balasan mereka bekerja seharian dan juga sebahagian dari malam tanpa menggira penat lelah, untuk menjadikan rumah kita bersih dan selesa didiami. Mereka melakukan semua kerja yang dikategori sebagai kerja rumah dengan penuh kerelaan.

Dari membasuh pakaian, mencuci tandas, melipat dan menggosok baju sehinggalah mencuci kereta juga diarah kepada mereka melakukannya.

Mereka akan melakukannya tanpa merungut, kerana itu tanggungjawab mereka. Mereka rela melakukan itu semua kerana upah dan kemudahan yang diberi kepada mereka. Walaupun ada ketikanya dimarah atas kesilapan kecil sahaja, malahan ada juga yang didera dengan teruk sekali, tetapi masih bekerja kerana sesuap nasi.

Itu hanyalah kepatuhan yang ditunjuk oleh orang gaji, tetapi bagaimanakah agaknya kepatuhan seorang hamba pula?

Ya kepatuhan seorang hamba kepada Tuhannya.

Hamba yang dijadikan fizikal yang sempurna, disediakan rezekinya, udara yang percuma untuk bernafas dan serba serbi yang cukup. Disamping itu dijanjikan balasan yang baik untuk segala kebaikannya walau sebesar zarah sekali pun, dan dibalas segala keburukan yang dilakukan, walau sekecil mana pun.

Adakah hamba itu akan ingkar kepada Tuhannya?

Jika orang gaji akan menurut tanpa alasan segala arahan tuan rumahnya, maka hamba pula wajib lebih patuh segala arahan Tuhannya.

Orang gaji apabila telah diberi tugas harian, akan melakukan tanpa disuruh lagi, maka hamba pula tentu akan memperbaiki tugas hariannya dari masa ke masa.

Orang gaji tidak melakukan apa yang tidak disukai oleh tuan rumahnya, hamba pula tentu tidak akan sekali-kali membuat Tuhannya murka.

Tetapi apa yang kita lihat dalam kehidupan di dunia sekarang, hamba ini telah terlalu jauh menyimpang. Hanya kita sendiri yang dapat mengubah nasib kita sama ada di dunia atau di alam yang satu lagi, dengan izin Allah....

Tuesday, July 08, 2008

Kereta Oh Kereta

Saya memperolehi lesen memandu pada tahun 1977, dan hanya mampu/berpeluang membeli kereta pada tahun 1978 (dengan kerjasama isteri). Berikut adalah gambar kereta2 yang pernah saya berpeluang memandunya, apabila menjadi peminjam sementara kereta2 itu.

Gambar berikut bukanlah dari gambar file, tetapi diperolehi dari laman laman web tertentu sahaja.
Ini model kereta pertama kami, jenama boleh di kenal pasti sendiri. Kami menggunakan kereta ini dari akhir 1978 hingga awal 1982. Banyak jasanya dan jauh perjalanananya. Kerapkali berulang alik dari Johor Bahru ke Melaka, berulang alik setiap hari dari Johor Bahru ke Woodlands dan pada satu ketika berulang alik dari Melaka ke Lumut setiap dua minggu.

Kereta tersebut di jual kepada syarikat kereta terpakai apabila saya diarah bertugas ke New Zealand pada 1982.

Model kereta ini yang mampu dibeli semasa berada di New Zealand. Kami gunakan kereta ini dari 1982 hingga 1984. Walaupun berusia lapan tahun semasa dibeli, kereta ini tidak banyak memberi masalah. Untuk persediaan saya telah mengikuti satu bengkel membaiki kereta (dianjurkan oleh pihak majlis tempatan) untuk beberapa mingu. Ia sungguh berguna.

Kami telah menggunakan kereta ini untuk menjelajah keseluruhan (hampir2) negara New Zealand dari Pulau Utara hingga ke Selatan. Saya pernah menulis tentangnya disini.

Sekembali dari New Zeland kami membeli pula kereta ini. Anak pula sudah bertambah dan kereta yang luas sedikit amat di perlukan. Kereta ini juga jauh perjalanannya. Berulang alik dari Melaka ke Lumut tugas utamanya. Selepas itu, Teluk Intan dan Lumut pula menjadi perjalanan biasanya. Kereta ini adalah yang paling lama kami gunakan (1985 - 1992).

Kemudian teringin pula merasa memandu kereta Continental, walau kereta terpakai tidak mengapa. Walau bagaimana pun ia dibeli dari kawan yang hendak berkursus ke luar negara. Ia sebagai membantu kawan yang dalam kesuntukan masa untuk mengurukan penjualannya (tetapi harganya takda diskaun juga!!).

Kesilapan dalam membuat pembelian. Nak buat camno, dah nama kawan, semua masalah tanggung sendiri je. Tiga tahun setengah yang bermasalah. Kereta diserah kepada adik ipar untuk dijual semasa hendak berlepas ke Wales untuk sambung belajar pada pertengahan 1995.

Semasa di Wales, kami telah mengunakan kereta jenis ini selama 1 tahun setengah dengan jimatnya.

Enam bulan sebelum balik ke Malaysia saya telah membeli kereta jenis ini untuk di bawa balik. Kereta ini di pesan oleh seorang saudara, kerana saya berhak membawa pulang sebuah kereta di bawah peruntukan AP seorang pelajar, dan saya tidak ada kemampuan untuk membeli sendiri.

Sekembali ke Malaysia pada 1997, dalam keadaan ekonomi yang kurang menyakinkan, kami hanya membeli kereta ini dan digunakan sehingga 1999.

Pada tahun 1999 saya telah bersara secara pilihan dan ditawarkan bekerja di sebuah syarikat dan di sediakan kereta di atas untuk kegunan peribadi dan urusan kerja. Saya tidak kekal dengan syarikat itu kerana pada petengahan 2000, kereta diserahkan dan saya membuka lambaran baru.

Saya memulakan perniagaan sendiri pada Jun 2000, dengan dua rakan kongsi (sleeping partners). Saya menggunakan pula kereta seperti di atas untuk semua urusan.

Syarikat pula telah membeli kereta ini untuk kegunaan saya juga.

Kereta ini dibeli apabila kereta yang dibeli pada 2000 itu kemalangan, pemandunya Alhamdulillah tidak cedera, pada 2004. Isteri masih menggunakan keeta ini.

Pada 2004 juga teringin semula untuk memandu kereta Eropah, syarikat menjual kereta yang lama, dan membeli kereta jenis ini untuk digunakan.

Setelah lebih dua tahun mengunakan kereta tersebut, syarikat sekali lagi menukar kereta kepada jenis seperti di atas (kereta terpakai juga) dan masih sehingga kini, bergerak lancar.

Walaubagaimana pun, kedua-dua kereta seperti gambar di bawah masih belum berpeluang memandunya lagi.


Harga kereta pertama saya pada masa itu ialah RM13,000, dan harga minyak pula pada ingatan saya tak sampai pun seringgit (Petronas belum ada lagi).

Kini kereta semakin mahal, minyak tak usah cakaplah (walaupun disubsidikan). Tetapi kesesakan lalu-lintas semakin menjadi-jadi juga, walaupun banyak lebuh raya dibina dan tol dikenakan. Apa-apa pun selamat memandu dengan cermat, untuk jiwa selamat.

Friday, July 04, 2008

Ke Negeri Di Bawah Bayu

Beberapa hari lalu telah menyertai Penerbangan Emas kita ke Negeri di Bawah Bayu untuk beberapa hari. Sekali lagi telah dapat merasai betapa besarnya lapangan terbang antarabangsa kita ini. Kerana besarnya terasa sungguh lapang dan lenggang kecuali ketika ada penerbangan yang baru sampai.

Mungkin sepuluh tahun dari sekarang baru akan terasa kesibukan di lapangan terbang ini.

Sementara menunggu untuk menaiki pesawat, sempat mengambil beberapa gambar para petugas membuat persiapan pesawat sebelum berlepas.

Pembantu juruterbang ini juga perlu membuat persiapan, termasuk membersihkan cermin hadapan "cockpit" nya.

Penerbangan ini penuh nampaknya. Mungkin ia adalah penerbangan antarabangsa yang akan meneruskan penerbangan ke Taiwan, selepas berhenti sebentar di KK untuk menurunkan kami (hehehe...)

Gambar-gambar lain yang sempat diambil di KK akan di muat turun jika berkesempatan.