Friday, July 25, 2008

Tukaran Mata Wang

Bagi mereka yang sering ke luar negara, salah satu persiapan yang wajib dilakukan ialah, menyediakan mata wang negara yang hendak dilawati itu.

Mata wang yang perlu disediakan ialah yang sah laku di negara tersebut. Mungkin ada yang telah mempunyai berbagai kad kredit, tetapi tetap akan menukar kepada mata wang negara yang hendak dikunjungi itu.

Jika akan ke Eropah, maka mata wang Euro lah yang akan disediakan. Jika akan menjadi Tetamu Allah, maka Rial Saudi diperlukan. Dan jika akan ke Indonesia, maka jutaan wang Rupiahlah pula perlu disediakan. Dan begitulah seterusnya.

Secara logiknya, kita akan menghadapi kesulitan jika tidak ada persiapan mata wang yang diperlukan di negeri yang akan dikunjungi itu. Untuk mengelak dari kesusahan yang bakal dihadapi, kita selalunya akan membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapinya.

Tetapi apakah "mata wang" yang sah laku di negeri Akhirat kelak? Dan sudah cukupkah ia disediakan? Atau bolehkah Ringgit Malaysia kita ditukar kepada mata wang tersebut?

"Mata wang" yang sah laku di Akhirat adalah pahala yang terkumpul di "akaun" kita di "Akhirat", bukan Euro, Dollar atau Rupiah. Ya, pahala yang kita kumpul semasa di dunia ini. Pertukarannya adalah segala amal kebajikan yang kita lakukan. Segala amal ma'ruf dan nahi mungkir yang kita dokongi.

Juga, Ringgit Malaysia yang kita sedekah, RM yang kita belanja untuk keluarga dan kaum kerabat, zakat yang kita keluarkan, derma yang kita beri dengan ikhlas dan bermacam lagi pertukaran kepada pahala yang boleh kita perolehi, InsyaAllah.

Untuk tidak menjadi muflis, saya mengingatkan diri saya, dan siapa saja yang mahu diingatkan, supaya perlu beringat akan "akaun" yang satu itu agar dapat di isi selalu.

Jika di negara asing masih ada jalan untuk mendapatkan mata wang untuk digunakan, mungkin dengan menggunakan kad kredit, umpamanya. Tetapi apabila tiba di Akhirat nanti, kita tidak boleh berpatah balik lagi....Renung2kan....

9 comments:

cakapaje said...

Salam Pak Zabs,

Terima kasih kerana peringatan ini.

Hmm...jika kita bermegah dengan ada kad kredit hari ini, di hari kemudian, kita mungkin menjadi hina kerana bersekutu dengan riba. Malah, penggunaan matawang kertas kini pun dicabar oleh segolongan pemikiran kerana wang kertas itu tidak mengandungi nilai sebenar, tapi hanya satu 'janji pembayaran' yang turut tidak sah - dalam Islam, belijual barangan harus dilakukan secara 'cash' dan dengan lafaz, agar kita mendapat keredhoan Allah s.w.t. Maaf, saya masih kurang fasih dan juga sekali lagi terpangjang komen.

Zabs said...

Shah CA: Terima kasih, lebih panjang komen lagi baik. Terima kasih atas ingatana itu juga.
Oleh kerana tidak dibiasakan kita selalunya lupa kepada jual beli secara lafaz dan tunai itu.
Kita sampaikan walaupun sedikit, sesuatu yang baik itu.
Kita tak perlu jadi ustaz untuk beri nasihat, buat sekadar kemampuan kita. Semoga kita diberi petunjuk yang lebih baik. InsyaAllah.

jaflam said...

Salam Zabs,
Yang bestnya simpanan akhirat tu kita boleh buat walaupun tanpa wang disaku. Tolong orang, nasihat, senyum, berzikir, sembahyang, kerja amal, ziarah kawan yang susah/sakit, menjaga rumah Allah dll.

Kalau yang banyak wang maka lebih banyaklah pelaburan akhirat yang dapat dibuat. Rahmat Allah akan ditarik daripada mereka mereka yang 1. Takbur kepada Tuhan/manusia 2. Kedekut 3. Zalim dsb.

alan zed said...

melaburlah di amanah saham akhirat... :)

Zabs said...

DJ: Sungguh bagai dikata. Cuma malang nya kebanyakan kita tidak mengambil kesempatan ini.
Semoga kita dapat terus meningatkan diri kita, keluarga kita dan mereka yang rapat dengan kita. InsyaAllah.

Alan: Semoga anakanda teruskan pelaburan..

Neeza Shahril said...

itulah currency yang paling tinggi. tak akan boleh ditukar ganti diakhirat kelak.. semoga currency neeza bertambah lah hendaknya pak zabs..

Kak Teh said...

Salam, terima kasih kerana mengongsi sesuatu untuk renungan bersama. Kadar pertukaran dan banyak mana nak bawa di tangan kita dan kita saja.

zino said...

zabs..
satu nasihat utk kita semua.. ingat mengingati.. kadang kala kita asyik mengejar kemewahan dunia tanpa menyediakan cukup bekalan utk kemewahan di akhirat nanti..

semuga kita tidak alpha dan sentiasa menambah apa yg ada.. inshaAllah..

Zabs said...

Neeza: InsyaAllah, sama2lah kita usahakan.

Kak Teh: Ya, sendiri mau ingat.

Zino: Kena sentiasa muhasabah diri lah kan?