Monday, December 11, 2006

Marilah Menuju Kejayaan

Di suatu petang Sabtu, di sebuah surau, selepas selesai Azan Asar, hujan masih turun walau tidak berapa lebat. Dua jemaah sedang bersembahyang. Di belakang Imam ada sebuah kerusi dan di belakang makmum juga ada sebuah kerusi. Jemaah yang ketiga yang tidak perlukan kerusi untuk bersembahyang tiba lewat dan mengambil tempat di belakang Imam yang telah mula bersembahyang. Alhamdulillah, mereka bertiga masih dapat menunaikan fardu kifayah sembahyang berjemaah di Taman tersebut.

Terdapat lebih 240 rumah di taman tersebut dan 99.9% orang Melayu tinggal di taman tersebut. Mungkin Azan yang dilaungkan tidak dianggap sebagai panggilan dari Allah untuk bersolat dan menuju kejayaan. Atau mereka semua ke Masjid atau surau lain di luar taman tersebut. Bersangka baik lagi.

Friday, December 08, 2006

Derma Yang Ikhlas

Semasa di dalam Masjid untuk bersembahyang Jumaat hari ini telah dapat duduk di sebelah seorang jemaah yang berpakaian agak kemas, mungkin dalam pakaian kerja. Sambil duduk, sementara menunggu Azan di laungkan, dia kelihatan menggira-gira wangnya yang agak banyak, satu not RM100 dan beberapa helai RM50.

Selepas Azan dan bersembahyang sunat, jemaah yang sama kelihatan mengira-gira pula not RM1 seringgitnya. Kemudian apabila kotak derma masjid bergerak dihadapannya,
beliau kelihatan memasukkan wang 50c ke dalamnya. Mungkin beliau baru terjumpa jumlah yang ikhlas untuk didermakan. Saya bersangka baik..

Thursday, December 07, 2006

Tender oh Tender...

Syarikat kami baharu sahaja menyiapkan satu dokumen tender untuk dihantar dan pertimbangkan bagi satu projek sebuah Jabatan Kerajaan.

Kami diberitahu terdapat 9 syarikat telah membeli dokumen tender tersebut, tetapi hanya lapan telah datang untuk taklimat, dan dari khabar2 angin yang didengar kemungkinan hanya 3 sahaja syarikat yang akan menghantar kembali dokumen tender tersebut.

Spesifikasi kerja yang memerlukan 5 bidang yang jauh berbeza yang tidak mungkin dipunyai oleh satu syarikat mungkin punca tidak ramai yang berminat. Pengabungan akan meningkatkan kos pelaksanaan dan melebihi dari jumlah yang diperuntukkan.

Besar kemungkinan tender ini akan di tender semula dan spesifikasi kerjanya diubahsuai. Semoga ini akan berlaku dan Jabatan tersebut perlu membuat anggaran kerja yang diperlukan dengan harga yang hendak dibayar untuknya. Jika peruntukan yang ada hanya mampu untuk membeli WIRA jangan PERDANA yang di harapkan.

Tuesday, December 05, 2006

Lampu Rosak

Gambar Hiasan
Semasa hendak ke tempat kerja pagi tadi, di satu simpang empat terdapat beberapa kereta berhenti dan di hadapan sekali terdapat dua buah motorsikal polis trafik di letak untuk menghalang jalan tersebut. Dua anggota trafik tersebut yang berada berhampiran motorsikal tersebut sedang berbual-bual(?), tanpa menghiraukan kereta yang mula berkumpul di persimpangan itu.
Saya tertinjau-tinjau kerana menyangkakan ada kemalangan. Tetapi tiada pula kelihatannya, dan barulah terperasan yang lampu trafik di simpang itu telah tidak berfungsi. Sepatutnya polis trafik itu berada di tengah jalan untuk mengawal lalu-lintas dan tidak menahan satu hala sahaja dan tidak pula memberitahu pemandu supaya mengambil jalan lain untuk meneruskan perjalanan, kerana asyik berbual.
Setealh beberapa minit di situ, barulah salah seorang anggota trafik tersebut menunjuk-nunjuk kepada kami semua supaya mengambil jalan lain untuk meneruskan perjalanan.
Mungkin juga mereka di saitu untuk tujuan lain (VVIP nak lalu disitu ke atau seumpamanya), tetapi berilah tahu supaya orang tidak tertunggu-tunggu. Harap pekalah jangan peka..

Friday, November 24, 2006

Iklaneka Perdana

"Jangan lupa gunakan syampu ini apabila mandi sunat hari Jumaat nanti dan pada hujung Minggu ini marilah kita mengunjungi Pesta hiburan yang akan dianjurkan oleh Astro beramai-ramai."
Adakah ini yang ingin disampaikan oleh TV1 ketika mengiklankan syampu (pelakonnya tak menutup aurat) dan Pesta hiburan anjuran Astro semasa rancangan Forum Perdana Ehwal Islam malam Jumaat lepas. Iklan syampu itu pula telah beberapa kali disiarkan semasa rancangan tersebut ke udara minggu2 sebelumnya.
Tidak perihatinkah TV1, menyiarkan iklan yang ada perbuatan yang kurang sesuai dan pelakonnya pula tidak menutup aurat semasa rancangan Agama. Sudahlah TV swasta berbuat sesukanya, TV kerajaan pun nak ikut sama ke?

Tuesday, November 21, 2006

Kerja-Kerja

Semasa belajar di Wales beberapa waktu dahulu saya telah secara tidak sengaja mendapat sedikit pengalaman bekerja mencuci dan membersihkan sebuah supermarket (termasuk mencuci oven yang diguna untuk memanggang ayam).
Walaupun pada mulanya tidak berminat untuk bekerja, saya telah bersetuju untuk mengantikan tempat seorang kawan yang bertukar kerja ke tempat. Saya juga diberitahu bahawa seorang lagi pekerja akan ada bersama2 untuk menunjukkan apa yang perlu dilakukan. Kerja bermula dari 12 tengah malam dan perlu disiap sebelum 7 pagi. Gajinya RM18 sejam.
Malangnya pada malam itu, pekerja tersebut tidak datang (ponteng) dan saya terpaksa bekerja sendirian. Tanpa tunjuk ajar (....ku sifu), saya buat kerja ikut gerak hati jelah. Hasilnya tentulah tidak sempurna, dan terus buat keputusan tak mahu kerja lagi pada malam berikutnya (serik). Pertama dan terakhirlah saya kerja disitu. Oleh kerana berhenti tanpa notis dan tak mahu terus bekerja walaupun di pujuk, gaji untuk satu malam itu pun tidak dibayar.
Kini rangkaian supermarket tersebut dah pun ada di Malaysia. Bila sekali ke supermarket ini teringat lah ketika bertungkus-lumus membersihkannya di Wales satu masa dahulu.
p/s - Tahniah mohdazmir kerana berjaya menghabiskan tugas pertama sebagai pekerja bergaji.

Wednesday, November 08, 2006

Antara Dua Darjat

Berikut adalah petikan dari berita yang dikeluarkan oleh surat khabar Utusan Malaysia pada 7hb November 2006:
“Mohd. Said (YB Jasin) turut mengkritik guru agama atau ustaz yang menuntut bayaran tinggi untuk memberi ceramah agama sedangkan ia sepatutnya diberi secara sukarela atas nama mengembangkan agama Islam. ‘‘Nampaknya ustaz kita dah jadi macam Siti Nurhaliza, (yang) harus dibayar ribuan ringgit untuk mendapatkan perkhidmatan yang murni iaitu menyebarkan pengetahuan agama.”
YB Jasin dan rakan sejawatannya yang lain agaknya tentu setuju kalau elaun mereka pun tak perlu dibayar, kerana mereka pun buat kerja murni untuk rakyat. Tentu juga mereka tak perlu buat banglo tiga, empat tingkat, beli kereta mewah 3/4 biji dan bercuti ke luar negeri setiap tahun. Tetapi realitinya mereka mahu juga dibayar ribuan ringgit macam penghibur yang banyak melalaikan pendengar itu.
Tetapi YB Jasin sungguh tidak setuju bila ustaz-ustaz yang berceramah untuk mengembangkan syiar agama Islam minta di bayar sedikit imbuhan, kerana pada beliau meraka harus buat kerja tersebut secara sukarela. Mungkin mereka mahu ustaz-ustaz ini berjalan kaki atau naik motor kapcai saja untuk pergi memberi kuliah tersebut dan hanya tinggal di rumah-rumah murah sahaja.
Mungkin YB ni tak tahu menilai mana yang harus diberi penghargaan, atau dah takda modal lagi dengan pihak Kastam agaknya?

Friday, November 03, 2006

Kesepian

Di suatu senja di sabuah surau. Selepas Azan Maghrib.

Jemaah 2: Betul ke malam ni malam Jumaat?

Jemaah 1: Betullah malam jumaat. Kenapa?

Jemaah 2: Taklah, macam malam biasa je, jemaah kita ada empat orang je ni.

Jemaah 3: Ye tak ye juga, biasanya adalah 15 – 20 orang. Masih bercuti raya kot?

Jemaah 4: Diorang puasa enam kot? Berbuka kat rumah dulu.

Jemaah 1: InsyaAllah mari kita bersembahyang Maghrib dulu.

Selepas maghrib terdapat lima jemaah membaca Yasin, jemaah kelima telah datang sedikit lewat.

Thursday, October 19, 2006

SALAM AIDILFITRI 1427

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, KEPADA SEMUA YANG TERMELAWAT BLOG INI (KALAU ADALAH)
MAAF ZAHIR DAN BATIN KALAU ADA TERSILAP TULIS ATAU TERSILAP KOMEN.
SEMOGA DAPAT BERTEMU LAGI DI RAMADHAN AKAN DATANG. INSYAALLAH.

Monday, October 16, 2006

Berdikit-dikit

Ia bermula dengan kerusi buruk ini. Ia diletakkan ditepi pagar tersebut kerana sudah tiidak diperlukan lagi oleh pemiliknya. Mungkin pemiliknya telah membeli yang baru yang lebih cantik dan empuk. Tetapi kenapa tidak di buangkan ke tempat yang sepatutnya?
Kini kerusi telah berteman. Ada tilam pula yang menumpang duduk di atasnya. Apa yang terjadi kepada tilam? Mungkin menerima nasib yang sama. Menjadi rakan seiring jalanlah ia.
Mungkin seterusnya kerusi dan tilam ini akan menerima banyak lagi rakan senasib dengannya selepas ini.
Ini ke yang di katakan walaupun negara telah mempunyai prasarana kelas pertama tetapi rakyatnya masih mempunyai mentaliti kelas ketiga?

Tuesday, October 10, 2006

Mungkir

Seekor kala-jengking telah meminta seekor katak untuk membawanya menyeberangi sebuah sungai. Katak pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, kerana takut disengat kala-jengking yang pernah menyengat katak satu masa dahulu. Walau bagaimanapun kala-jengking memujuk dengan berjanji bahawa dia tidak akan berbuat demikian, kerana ia akan membahayakan dirinya juga. Setelah berpuashati dengan janji dari la-jengking itu, katak pun berenanglah membawa kala-jengking di atas belakangnya menyeberangi sungai tersebut. Di pertengahan jalan kala-jengking memungkiri janjinya dengan menyengat katak tersebut. Sengatan yang sangat bisa itu melemahkan katak dan sebelum tenggelam katak telah bertanya kepada kala-jengking buat kali terakhirnya kenapa dia berbuat kemudian kerana mereka akan tenggelam dan mati bersama di dalam sungai tersebut. Kala-jengking berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah tabiat semulajadinya dan dia akan berbuat demikian setiap kali ada kesempatan.
Mungkin cerita ini telah pernah anda dengar tetapi apa yang hendak dikongsi ialah iktibar yang boleh dipelajari. Seseorang yang telah biasa memungkiri janji, kebarangkaliannya adalah pada tahap 95% akan memungkirinya lagi janjinya pada masa hadapan.

Kita akan sering bertemu dengan orang-orang yang selalu tidak menepati perjanjian dalam perniagaan atau seumpamanya, dan akan terus menerus melakukannya dari masa ke samasa. Walaupun telah mengaku kesalahan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi, tetapi akan tetap melakukannya semula. Ini sudah menjadi adat manusia yang sering melakukan kesilapan dan sukar untuk berubah.

Orang-orang begini seharusnya tidak diberi muka lagi pada masa akan datang. Jika sekiranya pun mereka telah meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulanginya, kita perlu lebih berhati-hati dengan mereka kerana kebarangkalian untuk mereka melakukannya semula adalah lebih tinggi.

Kita akan lebih berhasil jika beralih kepada kenalan baru atau perkara baru untuk diberi tumpuan. "Dipatuk ular yang sama pada lubang yang sama dua kali adalah menunjukkan kebodohan diri kita sendiri".

Tuesday, October 03, 2006

Golf

Gambar Hiasan
Nampaknya bagi peminat sukan ini yang beragama Islam, akan berehat sementara dari menghabiskan masa memukul bola kecil berdiameter lebih kurang 4cm, dari lubang ke lubang, selama lebih 3 jam setiap kali bermain. Mungkin inilah masanya untuk mereka dapat merasakan berapa panjangnya masa 3 jam itu dan apa yang boleh dimanfaatkan dari 3 jam itu untuk bekalan akhirat mereka.

Umpamanya, masa 3 jam dipagi minggu itu, boleh dimulakan dengan ke pasar, membeli barangan untuk dimasak isteri (1 jam), menghadiri kuliah Pak Guru (1 jam) dan mengemaskan bilik stor yang telah lama tidak dijengok.(1 jam). Penuh berfaedah kerana dapat membantu isteri, menambah sedikit ilmu dan berpeluh sedikit ketika mengemaskan bilik stor tersebut.

Masa tiga jam tu juga mungkin boleh digunakan bagi memberi tuisyen kepada anak-anak yang masih bersekolah. Selain menjimatkan duit tuisyen, tidak perlu bayar “green fees” dan dapat pula masa berkualiti bersama anak-anak.

Bagi yang suka “berblogging”, 3 jam adalah masa yang cukup lumayan untuk melayari internet, mendapat idea baru dan membaca entri-entri bloggers yang lain seperti blog “keretamayat” yang penuh dengan pengajaran dan sungguh menginsafkan.

Namun demikian kalau sudah terkena “penyakit” tersebut, walaupun tidak turun ke padang golf, namun mereka masih bertenaga untuk ke “driving range” untuk berlatih memukul bola. Bagi mereka jika dapat memukul bola golf di "range" pun sudah cukup untuk melepaskan gian. Apa nak dikato dah minat nak buek camno. Tapi jangan nanti sampai dihidang bola golf untuk berbuka ye….

Thursday, September 28, 2006

Susah Senang

Ini bukan submarin jenis baru yang nak dibeli oleh pihak TLDM, tetapi sebuah bot yang hampir tenggelam. Bukan senang nak jadi senang tapi cukup senang nak jadi susah. Beginilah jadinya jika semua perkara dibuat sambil lewa. Bot ini hampir tenggelam kerana dibiarkan tanpa membuang air yang bertakung di dalamnya semasa hari hujan. Walaupun hujan tidak berapa lebat tetapi jika semalaman hujan, penuh juga air di dalamnya, dan menengelamkannya. Mujurlah ianya diikat pada belakang sebuah bot lain yang lebih besar, jadi tidaklah ia tenggelam terus.
Namun begitu, terdapat beberapa peralatan yang sensitif dengan air didalam bot tersebut. Walaupun diikat kemas dan tidak terjun ke dalam laut, ia tetap dimasuki air. Walaupun akhirnya bot ini dapat diapungkan dan dibawa naik ke bot besar banyak kerugian berlaku. Injin bot tidak boleh digunakan lagi, alat-alat elektronik yang dimasuki air tidak boleh digunakkan, malah nak jual kati pun tak laku kerana terkena air masin. Kerja tergendala sementara mendapatkan bot dan peralatan yang baru.
Satu lagi pengajaran yang sangat mahal untuk dipelajari. Perkara seharusnya dapat dielakkan jika kita tidak bersikap sambil lewa dan sentiasa pula berhati-hati dalam melakukan sesuatu.
Selamat Melayari..

Wednesday, September 27, 2006

Bangkai Kapal

Ini adalah bahagian yang boleh dilihat dari bangkai (wreck) sebuah kapal yang telah terdampar diluar kawasan salah sebuah pelabuhan di pantai timur. Walaupun telah terdampar di sana agak lama, ianya masih belum di keluarkan (salvage). Telah banyak cadangan dikemukakan oleh pihak2 tertentu tetapi ia masih disitu. Mungkin kerana belanja yang besar diperlukan, dan juga ianya tidak/belum membahayakan pergerakan kapal untuk memasuki pelabuhan tersebut. Oleh itu masihlah ia menghiasi laluan untuk masuk ke pelabuhan tersebut. Atau seperti biasalah orang kita akan hanya bertindak apabila sesuatu kemalangan yang besar telah berlaku.
Sebenarnya apa yang saya ingin ceritakan di sini bukanlah tentang bangkai kapal tersebut, tetapi satu lagi bangkai yang terdapat di perairan sebuah pulau di Perak. Bangkai kapal tersebut telah menyebabkan kami mengalami sedikit kerugian kerana terpedaya dengan usaha sama untuk mengeluarkannya (salvage) yang tidak menjadi kenyataan.
Pada hemat saya, telah ada niat tidak ikhlas dari rakan kongsi ini dari awal lagi kerana kami telah tidak diajak bersama dalam setiap pertemuan dengan pihak berkuasa akan meluluskan projek tersebut. Maklumat yang didapati hanyalah melalui beliau sahaja dan pihak kami sahaja yang diminta mengeluarkan perbelanjaan.
Memanglah sudah terlambat sekarang, tetapi ia akan menjadi satu pengajaran, walau sangat mahal harganya. Ia menjadikan kami lebih berhati-hati di masa akan datang. Tidak lagi bertindak mengikut pandangan luaran sahaja tetapi pandangan mata hati.
Walaupun ia ibarat sudah terantuk baru terngadah, tetapi cara begitu lebih memberikan impak. Supaya di lain masa tidak lagi bertindak melulu, percaya tanpa usul periksa. Tidak kiralah orang itu kawan baik, saudara mara dan lebih-lebih lagi orang asing yang baru di temui, walau diperkenalkan oleh kawan sendiri. Dalam apa juga keadaan perlu ada sifat waspada. Semoga hamba Allah yang saya maksudkan ini menyedari kesalahan-kesalahannya dan tidak lagi menjalankan aktiviti2 "mengenakan" kawan-kawan yang lain. InsyaAllah.
Salam Kemaafan.

Sunday, September 24, 2006

Puasa

Kini Ramadhan yang ditunggu2kan telah tiba dan seperti biasa semangat bertaraweh dan bersembahyang jemaah telah dapat dirasakan di setiap surau dan masjid. Kalau selalunya untuk mendapatkan satu saf untuk berjemaah disurau adalah mustahil, kini sebalik berlaku pada malam pertama bertaraweh ini. Olehn kerana jemaah yang lebih dari biasa, ada yang terpaksa ke surau atau masjid yang berhampiran untuk bersembahyang. Semoga fenomena ini akan berterusan, InsyaAllah.
Untuk ingatan juga di sertakan disini sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.
Semoga kita sentiasa bersahur walaupun hanya dengan meminum setegok air. Waktu bersahur ialah pada sepertiga malam yang terakhir sebelum masuk waktu subuh. Untuk yang makan lewat sebelum tidur itu tidaklah bersahur namanya. Amalan bersahur adalah juga untuk melatih kita agar mudah bangun pada awal pagi dan bolehlah diteruskan sehingga selepas bulan Ramadan juga.
Pak Guru juga ada memberikan 3 Hadis rengkas yang berkaitan dengan puasa ini:
1. Lena orang yang berpuasa itu adalah di kira sebagai satu Ibadah. (Tapi ini tidaklah bermakna orang berpuasa itu boleh tidor berterusandi siang hari, kerana keletihan berjaga malam melakukan aktiviti2 yang tidak berfaedah. Lena di sini hanyalah sebentar sahaja, iaitu satu atau dua jam untuk melepaskan rasa mengantuk setelah banyak beribadah pada malam harinya).
2. Berdiam diri/senyap orang yang berpuasa itu adalah umpama dia bertasbih kepada Allah SWT. (Berdiam diri kerana keletihah berpuasa, seolah-oleh bertasbih kepada Allah SWT. Berdiam diri juga dapat mengelakkan kita dari berkata2 yang tidak baik, mengumpat dan sebagainya).
3. Amalan orang yang berpuasa itu diganda2kan pahalanya. (Jadi inilah masanya untuk kita menambah nilai amalan kita. Jika melakukan amalan sunat akan mendapat pahala seperti melakukan amalan fardu. Pahala melakukan amalan fardu pula akan berlipat kali ganda, jika dilakukan dengan ikhlas, InsyaAllah).

Sedikit ingatan untuk menempuh bulan yang mulia ini. Selamat Berpuasa Zahir dan Batin.

Salam Ramadan.

Friday, September 22, 2006

Renungan

Seperti biasa, seperti di malam-malam Jumaat yang lain, surau di taman kami mengadakan majlis membaca Yasiiiin, doa selamat dan tahlil arwah. Tetapi pada kali ini, kami sedikit dikejutkan oleh satu permintaan yang sedikit luar biasa. Ia datang dari seorang isteri (tidak diketahui namanya) yang sungguh terdesak Beliau meminta agar jemaah semua mendoakan supaya suami beliau yang kini mula meminati agama selain Islam, dan ingin pula memeluk agama tersebut.

Walaupun telah banyak kali mendengar dan membaca cerita-cerita berkenaan pertukaran agama dari Islam ke agama lain, tetapi ini adalah pertama kali kami berada di situasi yang begitu hampir dengannya. Seperti diminta ianya telah ditunaikan. Semoga Allah SWT mengkabulkannya. Di samping itu, satu solat hajat juga telah dilaksanakan dengan doa khas untuk beliau. InsyaAllah. Kami juga berdoa agar kami semua, keluarga dan semua umat Islam agar dikekalkan hidup dalam Iman, mati dalam Iman dan di masukkan ke dalam Sorga bersama Iman. Kerana itulah sebaik-baik permohonan bagi kita umat Islam. Harta benda semua akan habis akhirnya tetapi Iman dan Takwa akan menjamin kehidupan akhirat yang lebih baik bagi kita nanti. InsyaAllah.

Pada malam tadi juga kita telah diperkenalkan kepada dua Ustaz muda yang Hafiz Al Quran, yang akan menjadi Imam di surau kami pada bulan Ramadan ini. Alhamdulillah. Mereka baru berusia dua puluh tahun dan sedang belajar di sebuah Sekolah Pondok di Terengganu. Semoga Ramadan ini akan bertambah ramai lagi jemaah datang ke surau, bukan sahaja untuk bertaraweh tetapi juga untuk bersembahyang fardhu. InsyaAllah.


Selamat Berpuasa.

Wednesday, September 20, 2006

Stroke


Perasaan terkejut, kecil hati dan hairan bercampur baur di fikiran apabila diberitahu oleh seorang adik lelaki, yang seorang adik perempuan yang baru berumur 40an telah di serang stroke. “Mini-stroke” yang mana telah menyebabkan sebelah mukanya tidak berfungsi atau menjadi lemah.

Terkejut kerana dia masih muda dan tidak mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan akan mendapat “stroke”. Kecil hati kerana setelah hampir sebulan berlaku tetapi baru dimaklumkan tentangnya. Itu pun mendapat berita dari orang lain pula. Hairan kerana mereka sekeluarga tinggal tidak sampai satu kilometer saja dari rumah saya.

Alhamdulliah nampaknya telah semakin pulih, dan masih menjalani rawatan pemulihan dan didoakan semoga cepat sembuh.

Sehubungan dengan itu saya telah membuat sedikit rujukan untuk mengetahui serba sedikit tentang perkara ini. Sila lawati laman web berikut untuk mengetahui lebih lanjut lagi. http://www.stroke.org/site/PageServer?pagename=SYMP.

Terdapat beberapa perkara yang selalu disalahanggap oleh kebanyakan orang tentang stroke ini, seperti berikut:

Salahanggapan
Stroke tidak boleh dielakkan
Stroke tidak boleh dirawati
Stroke biasanya menyerang orang2 tua
Stroke berlaku kepada jantung
Pemulihan Stroke hanya dalam masa beberapa bulan selepas Stroke berlaku

Kebenarannya
Kebanyakan Stroke boleh dielakkan
Stroke memerlukan rawatan kecemasan
Stroke boleh berlaku kepada semua orang
Stroke adalah "serangan di otak"
Pemulihan Stroke berterusan sepanjang hayat

Semoga ia dapat memberi sedikit kesedaran kepada kita akan punca sroke ini dan dapat mengambil iktibar daripadanya.

Salam Kesihatan.

Sunday, September 17, 2006

Warisan 1

Pak Guru selalu berpesan bahawa warisan yang paling berharga bagi setiap umat Islam selain AL Quran, ialah Hadis Baginda Rasullullah SAW. Ianya lebih berguna dari harta yang bertimbun. Ini kerana harta apabila dibelanja akan habis tetapi Warisan ini akan menyelamatkan kita di akhirat kelak.
Pesanan Baginda SAW yang akan saya sampaikan pada kali ini, yang telah diterjemahankan, adalah seperti berikut:
“Lagi akan datang ke atas umatku suatu zaman di mana yang lebih penting baginya ialah perutnya, kemuliaan seseorang itu ialah perhiasaan/hartanya, kiblatnya ialah perempuan dan agama mereka ialah wang. Semua mereka ini adalah sejahat-jahat makhluk dan tidak akan mendapat habuan Allah nanti di akhirat”.
Jika kita amati dengan teliti keadaan zaman kita sekarang, kita akan menyedari adakah zaman tersebut telah datang atau sebaliknya. Apa yang hendak kita lakukan sekarang semuanya akan dikaitkan dengan makan. Untuk kenduri doa selamat disediakan makanan selepasnya. Mesyuarat dipejabat, menu untuk makan selepas mesyuarat ditentukan dahulu. Malam Jumaat akan ramai makmum di Masjid dan Surau, kerana ada jamuan yang enak disediakan selepas membaca Yasiin dan bertahlil. Walaupun makanan adalah keperluan asasi kita, tetapi janganlah pula kita hidup untuk makan sahaja dan akan lebih parah lagi jika makan untuk mati. Makanan yang berlebihan dan tidak seimbang adalah tidak elok untuk kesihatan. Ia boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung. Yang sebaiknya, biarlah kita makan untuk hidup dan dapat berbakti untuk Agama, Bangsa dan Negara. Sederhana dalam pemakanan adalah kunci untuk kesihatan semasa hidup kita yang singkat ini.
Zaman sekarang juga adalah zaman manusia berlumba-lumba untuk mencari kesenangan, Umum, manusia menganggap kemuliaan seseorang itu terletak pada perhiasan atau kekayaan yang dipunyainya. Mereka akan disanjung seolah-olah kekayaan itu yang akan menjamin kehidupan mereka di akhirat kelak. Di mana, hakikatnya, jika harta yang mereka punyai itu jika tidak di gunakan untuk kebaikkan, ia akan menjadi bahan bakar api yang akan membakar mereka kelak di neraka.
Perempuan pula menjadi kiblat atau arah tuju kaum lelaki dewasa ini. Sanggup membelanjakan wang yang banyak hanya semata mata untuk mendapat perempuan yang diingini. Mereka sanggup menghadapi risiko penyakit yang tiada ubatnya kerana perempuan. Kahwin di luar negara kerana perempuan. Dan seribu satu macam lagi perlakuan kerana perempuan.
Allah mewajibkan perkahwinan bagi menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita demi menjaga maruah wanita dan seterusnya keturunan manusia itu sendiri. Sebaiknyalah ia dijaga dengan penuh tanggungjawab.
Akhirnya, wang manjadi agama bagi mereka. Riba dan rasuah, di mana semua yang terlibat dengannya akan di laknat oleh Allah SWT, berlaku dengan meluasnya. Ada yang mengetahuinya tetapi terus melakukannya kerana “terpaksa” atau memang tidak merasa bersalah. Seperti kata Pak Guru, ada fulus semua lulus. Ada pelincir semua bergerak laju. Kalau tidak projek tak dapat, atau banyak masalah “ditimbulkan” dalam melaksanakan projek tersebut. Kerana wang manusia sanggup melakukan semua perkara. Seludup masuk PATI, edar dadah dan bermacam-macam lagikegiatan haram, hanya kerana wang adalah matlamat mereka, agama mereka.
Oleh yang demikian marilah kita bertekad untuk menjauhkan diri dari amalan-amalan tersebut. Semuga kita diberi taufik dan hidayahNya untuk melalui zaman yang serba mencabar dan penuh dengan pancaroba ini. Kalau dahulu hanya ketika berada di luar negara perkara-perkara ini akan di alami, tetapi di zaman globalisasi ini, yang mustahil tidak lagi mustahil, sebaliknya yang tidak mustahil menjadi mustahil pula.
Salam Ingatan.

Saturday, September 16, 2006

Wang

Saya tidak mempunyai kemahiran dalam ilmu kewangan dan tidak juga terlibat secara langsung dalam bidang kewangan. Tetapi sebagai orang LAMA, sedikit sebanyak saya telah banyak berurusan dan membelanjakan WANG, sama ada wang saya sendiri atau wang orang lain yang saya telah diberi hak untuk membelanjakannya. Dan saya merasakan perlu untuk memberi sedikit pandangan tentang keperluan untuk menguruskan kewangan dengan sebaiknya.

Dari ingatan saya, kita tidak pernah diajar secara formal cara-cara untuk menguruskan kewangan, melainkan jika kita mengambil kursus yang berkaitan dengannya. Kita hanya mengikut hati ketika berbelanja. Namun begitu telah menjadi kewajipan bagi kita berurusan atau terlibat dengan keperluan untuk menguruskan kewangan kita walau sedikit mana pun yang kita ada. Lagi sedikit wang yang kita ada, lagi perlu untuk kita lebih berhati-hati menguruskannya. Dari alam persekolahan sehingga ke universiti dan seterusnya apabila kita bekerja dan akhirnya bersara, kita sentiasa perlu menguruskan kewangan, tidak kira sedikit atau banyak, tidak kira kita mahu atau tidak.

Bagi mereka yang mempunyai banyak wang, sudah tentu mereka telah ada pengurus kewangan sendiri, maka apa yang yang saya ingin tuliskan adalah pengurusan kewangan secara orang biasa, kita, saya dan anda semua yang merasakan diri mereka tidak kaya.

Walau pun terdapat banyak buku berkenaan pengurusan kawasan di pasaran, samada di dalam bahasa Melayu atau Inggeris, yang memberikan cara-cara terkini mengumpul dan menguruskan kewangan kita, tetapi adakalanya ia adalah terlalu baik untuk menjadi kebenaran (too good to be true). Kalau begitu, tentulah mustahil untuk menjadi kenyataan.

Di bawah diturunkan beberapa prinsip yang jika diikuti dengan penuh kerelaan akan membantu kita menjadi seorang yang mempunyai kebebasan kewangan (financial freedom):

a. Bayar Diri Sendiri Dahulu. Bermaksud menyimpan terlebih dahulu sebahagian dari pendapatan (sekurang2nya 10% dari pendapatan) setiap kali mendapat gaji, biasiswa atau lain-lain punca pendapatan. Bukan untuk dibelanja untuk diri sendiri tetapi simpanan untuk hari depan, walau sedikit, jika berterusan akan menjadi banyak akhirnya dan bersara dengan selesa.

b. Belanja Secara Tunai. Kecuali untuk pembelian yang besar, seperti rumah, pembelian yang lain hendaklah secara tunai. Jika kita tidak boleh membeli tunai, bermakna kita belum mampu lagi memiliki barangan tersebut.

c. Berhati-Hati Dengan Kad Kredit. Mungkin Kad Kredit ini satu keperluan bagi mereka yang banyak membuat tugasan luar dan membawa wang tunai yang banyak pula mungkin tidak selamat pada masa sekarang. Jika perlukan kad kredit dapatkan yang ada yuran tahunan, boleh dibayar melalui internet, setiap transaksi dibayar setiap bulan dan berbelanja jika mampu membuat pembayaran apabila bilnya tiba.

d. Buat Perancangan. Biasa apabila perlu membuat perbelanjaan yang besar, ianya harus dirancang terlebih dahulu. Ini termasuklah bayaran untuk insuran, bercuti berkahwin dan seumpamanaya. Jika setiap tahun perlu mebayar insurans kereta sebanyak RM1,200 setahun. Maka perlulah mengumpul RM100 sebulan untuk dapat menbuat bayar tersebut dengan mudah. Begitu juga jika untuk berkahwin memerlukan belanja hangus RM24,000, dan kita hanya dapat mampu menyimpan RM200 sebulan, makan tunggu lah sepuluh tahun untuk berkahwin. Tetapi kalau tak sanggup tuinggu 10 tahun, berusahalah dengan lebih lagi untuk meningkatkan simpanan untuk kahwin tersebut. Perlu diingat rancangan simpanan yang ini adalah tambahan kepada Bayar Diri Sendiri Dahulu itu, kerana ia untuk simpanan masa hadapan.

e. Berbelanja Dengan Berhemah. Akhirnya kita perlu berbelanja secara berhemah. Jika kita rasa mampu makan di gerai, tetapi jika membeli bahan-bahan mentahnya dan memasak sendiri akan dapat mengurangkan perbelanjaan anda, kenapa tidak sesekali memasak sendiri. Begitu juga dengan tabiat suka membeli pakaian berjenama. Memakai pakaian berjenama sahaja tidak akan manaikkan martabat seseorang. Sebaliknya pemakai itu yang menaikkan martabat jenama tersebut. Jika tiada orang yang membeli sesuatu jenama itu, umpamanya jenama ini, . Ia tidak terkenal kerana tiada orang yang memberi publisiti untuknya.. Tetapi apabila ada yang membelinya dan meberikan pula publisiti hebat untuknya, barangan tersebut menjadi terkenal dan harganya pula menjadi mahal dan akhirnya anda sendiri menjadi tidak mampu untuk membelinya.

Ada banyak lagi perkara yang boleh di kongsi di dalam hal ini dan saya mengalu-alukan komen dan pandangan semua yang sudi menulis.

Salam Berhemah.

Thursday, September 14, 2006

Hiburan

Kita sering membaca laporan media yang mendedahkan bahawa orang Melayu terutamanya remaja pada masa sekarang terlalu banyak menghabiskan masa berhibur. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana terdapat banyak stesen-stesen televisyen dan radio tempatan kita saban hari menyajikan pelbagai rancangan hiburan.
Ini ditambah pula dengan pusat-pusat hiburan yang tumbuh macam cendawan selepas hujan, daripada arked mesin video hinggalah kepada kelab-kelab malam, pub dan pusat-pusat karaoke yang beroperasi sehingga lewat pagi. Konsert2 yang dianjurkan khusus untuk berhibur yang terdiri dari artis2 tempatan dan Barat juga turut menambahkan lagi ruang untuk anak muda remaja ini berhibur.
Sebagai orang tua dan sebagai ibu/bapa atau penjaga kepada remaja2 Melayu ini kita amat memandang berat perkara ini kerana ia membabitkan masa depan orang Melayu. Kita tidak mahu perkara ini berterusan kerana ia tidak memberikan apa2 manfaat kepada mereka.
Orang Melayu mestilah mengutamakan pendidikan daripada pelbagai hiburan yang tidak menyumbang kepada perkembangan pemikiran yang sihat serta sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit hanya untuk berhibur.
Orang Melayu perlu menanamkan prinsip memberi keutamaan kepada yang utama (First thing first). Orang Melayu masih terus mendahulukan hiburan daripada pendidikan, sedangkan orang Melayu masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain di negara sendiri, dalam banyak perkara terutama pendidikan dan ekonomi. Ini tidak termasuk perkara yang mengaitkan orang Melayu dengan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, ‘Black Metal’ dan lumba haram yang menunjukkan keruntuhan akhlak yang semakin serius.
Memang benar seperti kata Laksamana Hang Tuah, TAK KAN MELAYU HILANG DI DUNIA, tetapi, Melayu yang bagaimana yang kita mahukan berada di dunia ini? Untuk menjadi Melayu yang sermpurna di negara sendiri pun kita masih belum mampu, bagaimana pula di seantero dunia? Untuk menjadi Melayu Soleh/Solehah dan berjiwa merdeka, kita melakukan anjakan paradigma demi mencipta nama di persada antarabangsa dan mengubah segala sikap yang negatif yang merugikan diri sendiri.
Salam untuk anak-anak diperantauan.

Wednesday, September 13, 2006

Halal Ke?

PERSOALAN halal dan haram bukanlah suatu yang boleh dipandang ringan bagi umat Islam. Jika berada di luar negara, kita pasti akan sangat berhati-hati untuk memilih makanan seharian kita. Namun demikian kita tidaklah merasakan ia sesuatu yang membebankan. Kita boleh melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Kenapa? Kerana kita berada di Negara bukan Islam yang sememangnya kita perlu berbuat demikian. Ia tidak dapat dielakkan.
Tetapi jika kita menghadapi masalah untuk memilih makanan yang halal di tanah air kita sendiri, yang majoriti penduduknya beragama Islam, ia adalah sesuatu yang sangat pelik. Dahulu ada pandangan bahawa produk di Malaysia memang sepatutnya halal dan tidak perlu dilabelkan ‘HALAL’ kecuali bagi produk yang tidak halal yang perlu dilabelkan dengan ‘TIDAK HALAL’.

Namun, walau pun dengan adanya label 'HALAL', kita masih perlu berhati-hati mencari makanan yang betul-betul halal kerana masih terdapat label ‘HALAL’ palsu yang digunakan oleh pengeluar produk. Sekiranya gejala ini tidak dibendung, akan muncul lebih ramai pengeluar dan pengusaha makanan yang memperlekehkan persoalan halal dan haram ini.
Sebagai pengguna kita harus lebih peka dan berhati-hati di dalam hal ini. Adalah tidak mencukup dengan memilih yang halal sahaja, tetapi ianya perlu juga bersih, baik dan diperolehi dari sumber yang halal juga. Makanan juga merupakan musuh yang tidak disedari. Makanan adalah punca kebanyakan penyakit yang dihidapi oeh manusia. Semoga dengan tibanya bulan Ramadan, dalam berapa hari lagi, akan dapat melatih kita untuk berhati-hati dalam memilih makan untuk hidup, dan bukan hidup untuk makan.
Salam Ingatan.

Tuesday, September 12, 2006

Perpuasa

Tidak sampai 10 hari lagi umat Islam akan menjalani ibadah puasa, yang difardhukan di sepanjang bulan Ramadan. Puasa bukan sekadar menuntut kita untuk menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga melawan pelbagai godaan hawa nafsu termasuk nafsu makan yang melebihi keperluan tubuh dan akhirnya menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan. Puasa juga memberikan ruang kepada badan untuk menyingkirkan toksin serta membersihkan tubuh.

Seiring saranan agar kita menambah aktiviti amal dan penyucian rohani, penjagaan kesihatan semasa berpuasa seharusnya tidak diabaikan. Puasa sering dikaitkan dengan masalah keletihan akibat pengambilan makanan dan minuman yang terhad. Keletihan tersebut mungkin akan menjejaskan daya tumpuan dan ingatan.


Bagi umat Islam yang berada di Malaysia, mendapatkan juadah untuk berbuka puasa adalah k mudah kerana banyak pasar-pasar Ramadan akan diadakan di merata-rata kawasan. Tepok dada tanya selera, semua yang hendak dimakan ada dijual dengan berbagai pilihan.

Namun demikian ianaya sudah tentu berbeza bagi mereka-mereka yang berada di perantauan, terutamanya pelajar-pelajar yang berada di luar negara. Mungkin bagi mereka yang berkeluarga, boleh memasak sendiri juadah yang diinginkan, tetapi bagi yang masih solo, terpaksalah belajar memasak sendiri. Mungkin ada sebilangan mereka yang telah pun bersedia sebelum keluar negara dengan belajar sedikit sebanyak ilmu memasak dari ibu-ibu mereka. Baguslah kalau begitu, tetapi sudah tentulah ianaya tidak seenak masakan ibu di rumah. Dan juga kegembiraan ketyika berbuka bersama-sam keluarga.

Walau apa pun, selamat berpuasa diucapkan kepada semua. Semoga di bulan Ramadan yang mulia ini kita akan dapat menghayatinya dengan penuh keimanan. Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayahNya dan kita dapat beribadah dengan sebaik mungkin. InsyaAllah.

Selamat berpuasa.

Wednesday, September 06, 2006

Remaja

Untuk Renungan Para Ibu Bapa, di bawah ini diturunkan satu tulisan yang telah di salin dari sebuah surat khabar harian kita.
"APA dah jadi dengan remaja Melayu Islam masa kini? Persoalan yang sedia wujud dan mungkin tidak begitu menarik perhatian ramai. Apa yang akan dibentangkan di ruangan ini adalah satu kenyataan yang patut direnung bersama.
Percaya atau tidak sebahagian besar remaja Melayu Islam sama ada lelaki atau perempuan tidak tahu perkara asas agama Islam termasuk mengucap dua kalimah syahadah.
Daripada 10 orang yang disoal hanya seorang yang boleh dikatakan `bolehlah' memahami dan mengetahui perkara asas agama Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah dan pengertiannya, mengetahui cara mandi wajib, mengetahui cara mengambil wuduk, tahu niat sembahyang dan bacaan asas dalam sembahyang serta rukun sembahyang. Kalau disoal secara lebih mendalam sudah pasti banyak lagi masalah yang akan diketahui.
Ini adalah statistik yang diperoleh daripada temu bual dengan anggota Perajurit Muda Tentera Darat yang baru memulakan perkhidmatan yang purata umur mereka adalah antara 19 hingga 23 tahun.
Syukur alhamdulillah mereka diberi petunjuk dan hidayat untuk memasuki Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana setiap individu akan disoal dan diuji sepenuhnya berkaitan pengetahuan mereka dalam asas agama Islam.
Segala kelemahan mereka akan dirujuk kepada guru agama pasukan untuk diberi bimbingan dan tunjuk ajar sehingga mereka mencapai tahap yang ditetapkan oleh perkhidmatan.
Timbul persoalan tentang rakan sebaya mereka yang bekerja di sektor awam, swasta, bekerja sendiri atau yang masih menganggur. Siapa yang akan memantau mereka di luar sana? Siapa yang akan menyoal mereka tentang tahap kefahaman mereka dalam aspek agama?
Kalau dalam perkhidmatan ATM, anggota baru diarah ke masjid dan surau bagi mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan dan perlu berada di tempat ibadah sehingga selesai majlis dan akhirnya dalam tempoh tertentu mereka akan dapat memahami tentang agama secara tidak langsung. Sikap mereka akan berubah melalui ilmu yang diajar.
Apa pula yang dapat dilakukan oleh masyarakat kita di luar sana dalam mendidik remaja ini. Kalau ditegur orang tersebut akan diherdik. Itu dikira bernasib baik jika tidak dipukul. Maka tidak hairanlah kalau kita dapati pelbagai kes jenayah dan pencemaran budaya yang melibatkan remaja berlaku secara berleluasa.
Mereka ini sudah pasti jahil tentang asas agama. Mereka tidak tahu tentang perkara-perkara yang haram dan halal kerana tiada asas agama yang kukuh.
Hasil kajian yang dijalankan, kebanyakan mereka ini kali terakhir melakukan suruhan asas agama Islam pada usia 13 tahun. Selepas itu mereka akan bercampur dengan rakan sebaya, termasuk yang tidak mengetahui asas agama, dan mula mengabaikan tuntutan asas agama dan akhirnya pengetahuan yang ada pada usia tersebut terhakis. Inilah kesimpulan yang diperoleh daripada soal selidik yang dijalankan ke atas perajurit muda yang dinyatakan di atas.
Oleh itu kita masyarakat Melayu Islam terutama ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan Islam secara total dan berterusan. Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan soal agama anak - anak hanya kerana mereka mencapai umur tertentu.
Mereka perlu terus dididik, diasuh dan dipantau sehingga mereka benar-benar boleh berdikari. Mereka juga perlu diajar dengan perkara-perkara hukum dan adat budaya.
Orang Melayu sebenarnya beruntung kerana mempunyai nilai adat budaya yang murni. Namun kini ia semakin terhakis akibat kurangnya perhatian kepada persoalan tersebut.
Sedikit nilai paksa dalam mendidik anak bangsa tidak akan mencerminkan pelanggaran hak asasi manusia kalau akhirnya hasil yang dilahirkan adalah mereka yang berilmu, beriman dan bertakwa.
Orang Melayu Islam harus sedar mereka adalah tonggak kepada negara ini. Lemah pegangan agama, maka lemahlah bangsa. Lemah bangsa maka lemahlah negara."


Salam Renungan.

Tuesday, September 05, 2006

MLM

Betulkah perniagaan MLM wujudkan banyak jutawan? Begitulah tajuk satu rencana yang telah ditulis oleh seorang bekas ahli MLM. Beliau telah menulis seperti berikut.
"KONON nya ramai rakyat Malaysia menjadi jutawan dengan menceburi dunia perniagaan yang berkonsepkan MLM (multi level marketing) atau pemasaran bertingkat.
Syarikat yang menggunakan konsep MLM ini telah mencanangkan perihal ramai yang menjadi jutawan melalui cara ini. Maka lebih ramailah yang terdorong untuk melanggani produk syarikat berkenaan kerana mahu menjadi jutawan.
Adakah benar konsep MLM ini melahirkan jutawan? Kini konsep MLM telah berubah kononnya menjadi lebih efisien dengan tidak perlu menjual barang untuk memperoleh pendapatan lumayan.
Konsep perniagaan MLM hari ini dilaksanakan hanya dengan membeli pakej daripada syarikat yang menjalankan perniagaan MLM itu dan menaja rakan supaya membeli pakej yang mengandungi beberapa jenis barang untuk kegunaan peribadi.
Tajaan demi tajaan akan memberikan hasil yang lumayan dalam masa yang singkat. Persoalannya bagaimana rakan niaga yang berikutnya yang tidak lagi berupaya menaja? Adakah mereka juga akan menikmati pendapatan yang lumayan seperti yang dijanjikan?
Saya menyertai sebuah syarikat jualan langsung berkonsep MLM yang diuar-uar sebagai konsep baru yang menakjubkan, menjana pendapatan yang menjanjikan saya menjadi jutawan tanpa menjual barang. Dengar memang seronok.
Memang benar saya tidak perlu jual barang. Saya hanya jual pakej produk dan pendaftaran keahlian kepada orang lain dan begitulah berikutnya kepada rakan niaga saya. Apabila terlibat, barulah saya nampak bahawa syarikat terbabit menangguk di air yang keruh.
Pakej produk mengandungi beberapa barang untuk kegunaan peribadi yang antaranya berharga tidak masuk akal! Bayangkan sekotak kopi mengandungi 10 paket kecil yang khasiatnya dikatakan sungguh menakjubkan itu berharga RM120.
Setelah mencuba, saya dapati kopi tersebut tiada bezanya dengan kopi keluaran syarikat perniagaan konvensional lain.
Keuntungan
Seseorang hanya boleh mendapat keuntungan jika berjaya menaja ramai ‘rakan kongsi’ yang akan mencari ‘rakan kongsi’ lain dalam usaha untuk menjadi jutawan.
Jika semua berusaha menjadi penjual kopi RM120 itu, berapa ramai yang akan jadi kaya?
Yang pasti syarikat berkenaan tetap beroleh keuntungan besar hasil ramai yang terpedaya mahu jadi jutawan ‘cara mudah’.
Saya lihat perniagaan cara ini mirip skim cepat kaya. Siapa yang cepat dia dapat. Siapa yang kemudian akan terlepas. Bezanya anda membayar dan mendapat barang yang berharga tidak munasabah.
Oleh itu saya berpendapat pihak berkuasa kerajaan berkenaan yang mengeluarkan lesen perniagaan ini hendaklah mengkaji skim MLM ini dan memantau semua syarikat skim perniagaan langsung yang terlibat.
Tidak dinafikan semakin ramai rakyat Malaysia yang apabila mendengar tentang tawaran menjadi jutawan MLM, akan mudah terpengaruh.
Melalui pengalaman, saya mendapati bahawa bercakap tentang skim pemasaran ini memang mudah, tetapi melaksanakannya tidak semudah apa yang kita dengar dan cakap!"


Pada keseluruhannya saya bersetuju dengan apa yang ditulis oleh beliau.


Salam Perubahan.


Monday, September 04, 2006

Realitinya

Senyum kambing hari ini membangkitkan tentang keperluan mempunyai Ijazah untuk menjadi penghulu di Terengganu. Ini tidak akan menjadi sesuatu yang asing tidak lama lagi. Bukan hanya penghulu, jawatan jawatan lain seperti kerani, pekerja kilang dan sebagainya pun sekarang banyak yang di sandang oleh pemegang diploma dan ijazah.
Mungkin tidak akan menjadi perkara asing juga jika suatu masa nanti, pemandu teksi, pemandu lori dan budak despatch pun akan di lakukan oleh pemegang ijazah dan diploma ini. Pertambahan jumlah graduan yang mengganggur setiap tahunjuga semakin tinggi. Jadi perkara-perkara seperti ini tidak mustahil akan berlaku. Jika tidak hutang Mara dan PTPTN tidak akan dapat dikutip semuanya.
Apa yang perlu di lakukan sekarang ialah supaya menjadikan semua jenis kerja yang ada sebagai sesuatu yang menarik untuk dilakukan. Tahap gaji minima juga perlu ada supaya, walau apa juga kerja yang di sandang, pekerja tersebut masih mampu untuk menjalani kehidupan yang selesa dengan gaji yang diterima. Mereka pula seharusnya tidak merasa rendah diri untuk melakukan kerja-kerja tersebut.
Namun demikian kelulusan akademik sahaja tidak menjamin pemegang sesuatu jawatan boleh berfungsi dengan baik. Terutama bagi jawatan-jawatan yang memerlukan tahap keperihatinan kepada rakyat dan masalah yang berbeza setiap masa, seperti penghulu, wakil rakyat dan Menteri Besar umpamanya. Mereka perlu ada satu kemahiran lain yang hanya dapat di pupuk melalui pengalaman, kemanusiaan. Tidak semua manusia ada sifat tersebut.
Salam Kemanusiaan.

Sunday, September 03, 2006

Hutang

Hari ini semasa mendengar kuliah Tuan Guru, kami diingatkan lagi tentang kebaikan menderma, di mana balasannya adalah 10 kali ganda. Tetapi jika memberi hutang atau pinjaman akan dibalas 18 kali ganda. Namun demikian, sepemberi hutang masih mahu peminjam membayarnya semula. Peminjam pula seharusnya berniat untuk membayar semula hutang tersebut apabila mempunyai lebihan wang.

Ini nampaknya tidak berlaku kepada hutang Pinjaman Pelajaran Mara. Akhir-akhir ini perkara tersebut telah banyak dibincangkan di akhbar-akhbar. RM 298 juta adalah satu jumlah yang banyak, dan pihak Mara telah mencadangkan agar ianya di kutip dari simpanan KWSP peminjam2 tersebut. Tetapi perkara ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana belum dibenarkan oleh kerajaan.
Selain hutang Pinjaman Pelajaran Mara ini, PTPTN juga masih belum dapat mengutip pinjaman sebanyak RM 248 juta yang dikeluarkan kepada pelajar IPTA dan IPTS.

Kegagalan membayar balik wang pinjaman menunjukkan keperihatinan para peminjam kepada tanggungjawab membayar hutang. Mereka telah memungkiri janji semasa memohon pinjaman tersebut. Menidakkan hak peminjam selepas mereka. Dan jika di lihat pembelajaran mereka sebagai satu perniagaan, dan mereka kini sedang menikmati keuntangan perniagaan tersebut, maka modal yang telah mereka guna itu adalah dari wang yang bukan milik mereka (haram??).


Walau bagaimana pun, pada amnya majoriti peminjam ini adalah orang Islam. Apabila meminjam wajib dibayar melainkan ia telah hihalalkan. Jika tidak nanti apabila mati roh akan tergantung. Mungkin pada peminjam2 ini yang, masih dalam kesempitan untuk membayar hutang tersebut, tetapi setidak2nya mereka perlu ada niat untuk membayar setiap hutang yang diambil, tidak kira dari sesiapa. Semoga dengan niat yang ikhlas untuk membayar hutang2 tersebut, Allah akan memberi kita rezki yang lebih, bagi melunaskan hutang2 tersebut, InsyaAllah.



Salam Harapan.

Saturday, September 02, 2006

Bajet 2007

Semalam Pak Lah telah membentangkan Bajet '07 di parlimen untuk di luluskan sebelum akhir tahun untuk di implementasi pada tahun 2007. Antara intipati Bajet 2007 adalah seperti berikut untuk rakyat Marhain seperti kita adalah seperti berikut:

Bonus sebulan gaji atau minimum RM1,500 bagi kakitangan awam,
Bayaran khas sekali sahaja sebanyak RM200 hingga RM400 kepada 542,000 pesara dan penerima pencen,
Pelepasan cukai RM3,000 ganti rebat cukai RM500 bagi pembelian komputer,
Pelajar perolehi 10 A1 dalam SPM dari keluarga berpendapatan RM1,500 sebulan ke bawah diberi biasiswa,
Yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM di semua sekolah kerajaan dimansuhkan,
Pelepasan cukai bagi pembelian buku dinaikkan dari RM700 ke RM1,000 setahun,
Perbadanan Kemajuan Industri Halal ditubuhkan di bawah JPM,
Kadar cukai korporat dikurangkan dari 28% kepada 26%,
Duti eksais rokok naik 20 peratus,
Duti eksais produk tembakau dan minuman keras yang kandungan alkoholnya melebihi 40 peratus naik 15 peratus.
Seperti biasa Penyokong kerajaan berkata ia satu bajet amat baik, bajet kemerdekaan, bajet yang mesra serba serbi dan bermacam lagi pujian. Tetapi pihak pembangkang pula berkata, bajet ini tak ada yang ummph pun, macam biasa je. Tak cukup untuk memberi kebaikan kepada rakyat. Hutang kepada kontraktor sebanyak 28 bilion masih belum berbayar dan banyak lagi.
Tetapi dari apa yang kita lihat kerajaan masih meminjam untuk berbelanja. Walau pun ia dari dalam negara sendiri. Berbelanja lebih dari pendapatan, tak kira dalam apa juga keadaan adalah sesuatu yang tidak baik. Baik dalam bajet persendirian keluarga atau negara sekalipun.
Walau bagaimana pun sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dengan nikmat yang Allah telah berikan. Walaupun tidak mendapat bonus 2 bulan gaji, kita telah diberi dengan kemudahan lain yang sedikit sebanyak meringankan lagi perbelanjaan kita. Seperti kata seorang kawan, sekurang-kurangnya, pesara kerajaan dapat beli sekurang2 nya sepasang Baju Melayu untuk Hari Raya nanti.
Salam Hari Bajet.

Friday, September 01, 2006

10 Perkara

Pergi bersembahyang Jumaat di Masjid Muaz bin Jabal hari ini. Terlalu ramai orang berniaga hingga laluan pejalan kaki pun menjadi sempit. Bukan tak suka orang berniaga mencari rezeki, tetapi takut nanti apabila dah terlalu siok makan, Imam dah naik mimbar nak baca khutbah pun tak masuk masjid lagi. Habis pahala Jumaat.

Namun begitu satu yang menarik bersembahyang di Masjid ini ialah nashkah Suara Masjid yang ada diedarkan. Pada minggu ini apa yang dituliskan di dalmnya dirasa baik untuk dikongsi bersama. 10 perkara yang termasuk dalam kategori sia-sia.

1. Orang yang berdoa untuk dirinya sendiri sahaja tanpa memohon untuk ibu bapanya dan kaum muslimin yang lain.

2. Orang yang sering membaca Al-Quran walau sampai 100 ayat sehari, tetapi tidak secara tertib.

3. Orang yang masuk ke dalam masjid dan kemudian keluar kembali tanpa mengerjakan solat tahyatul masjid.

4. Orang yang melawat tanah perkuburan, tanpa mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan keselamatan arwah-arwah mereka.

5. Orang yang tinggal di satu lingkungan dengan seorang ulama, tetapi tidak menggunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

6. Orang yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian dia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan solat Jumaat berjemaah.

7. Dua lelaki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tenang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8. Lelaki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak melayan tetamunya itu.

9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya begitu sahaja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi perkerti.

10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang dia sendiri makan kekenyangan di rumahnya.

Semuga kita dapat manfaat dari menghindari perkara-perkar di atas.

Salam Jumaat.

Beberapa Perkara

MERDEKA. Semalam kita menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke 49, sungguh meriah tetapi..... adakah itu sahaja yang kita banggakan kemeriahan sambutan? Hiburan dan berhiburan yang keterlaluan? Semangat yang cuba diterapkan melalui hiburan tidak akan membawa banyak manfaat kepada jenerasi muda kita. Penghayatan yang lebih berbentuk patriotik dan jati diri perlu untuk mengekalkan kemerdekaan ini. Bukan hanya Merdeka Negara, tetapi lebih-lebih lagi kemerdekaan minda, budaya dan ekonomi.
Semalam juga telah mendapat sms dari Kdr S yang kini berada di Dubai, UAE, untuk meneroka bidang baru dalam memberi khidmat hidrografi di sana. Walaupun menempuh banyak kesulitan, dalam persediaan untuk kesana, ia sedikit tidak melemahkan semangatnya untuk menabur bakti di sana. Semoga beliau dapat melaksana tanggungjawab dengan cemerlang, seperti juga Mat Salleh-Mat Salleh lain yang setugas dengannya di sana. Sebenarnya kita mempunyai keupayan yang tinggi dan mampu bersaing di peringkat global bukan hanya menjadi jaguh kampung. Mari kita menjadi Jaguh Global dan juga Lokal (GLOKAL).
Pada 30 Ogos malam juga bekesempatan untuk melawat ke satu pameran yang di beri nama Gerakan Usahawan 2006. Usaha dari Kemeterian Pembangunan Usahawan dan Kooperasi. Walaupun ini merupakan satu usaha uyang patut dipuji, tetapi adalah dirasakan ia tidak mencapai matlamat yang diharapkan. Kemah-kemah besar yang didirikan tidak cukup untuk mengamit lebih orang untuk mengunjunginya. Ada beberapa sebab untuk yang menyebabkan perkara tersebut.
Pertamanya, lokasi yang dipilih, tidak strategik. Banyak tempat lain yang lebih sesuai di sekitar lembah Klang yang boleh dipilih. Kurangnya pulisiti yang diberikan. Jenis barangan yang dipilih untuk dipromosi, tidak mampu menimbul keterujaan pengunjung. Sesuatu yang dirasakan perlu difikirkan ialah tarikh untuk mengadakan pameran ini tidak tapat. Tarikh perayaan hari kemerdekaan menghilang minat warga kota untuk menyaksikan pameran ini. Cuti yang panjang dan hiburan yang banyak dan lebih menyelerakan di tempat lain (KLCC umpamanya), menjadi saingan kepada pameran ini. Semoga menjadi pengajaran di masa hadapan.
Salam Harapan...

Wednesday, August 30, 2006

Empat Perkara

Assalammualaikum,

Sebagai permulaan saya ingin memulakan catatan saya di blog ini dengan sesuatu yang baik, yang berunsur nasihat agar dapat di manfaat bersama. Ingat mengingati sebagai insan yang sentiasa lupa, lalai dan selalu melakukan kesilapan. Khas untuk anak-anak remajaku atau sesiapa sahaja yang mungkin akan terbaca blog ini. Mungkin akan di selitkan juga sedikit humor, kritikan dan pandangan yang membena dari masa ke semasa agar dapat menghidupkan perbincangan, sesuai dengan tema blog in Realiti Kehidupan InsyaAllah.
Pada Sabtu 26 Ogos '06, saya dan isteri telah menghadiri sati Majlis Perkahwinan, anak seorang kawan. (Gambar sebagai hiasan sahaja). Walaupun telah diberitahu untuk berada di Dewan sebelum jam 8.30 malam, tetapi masih ada lagi jemputan yang tercari2 meja pada jam 9 malam semasa Pengantin diarak masuk untuk majjlis persandingan. Memang itulah realiti hidup ini, perkara semudah itu pun tidak mampu dipatuhi. Namun demikian apa yang menarik pada malam tersebut ialah sedikit tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz jemputan pada malam itu. Sebelum membacakan doa, beliau telah memberi sedikit nasihat untuk kedua2 Pengantin dan para jemputan yang hadir. Empat perkara yang jika sentiasa diamalkan, akan menjamin hidup kita sentiasa di berkati.
Yang pertama, Fikir. Allah menjadikan manusia mempunyai akal yang membezakannya dari makluk yang lain itu. Berfikir adalah sesuatu kelebihan yang ada pada kita. Berfikir sebelum berbuat seuatu akan menghindar kita dari menyesal di kemudian hari. Hasil dari berfikir atau tidak adalah untung atau rugi, berjaya atau gagal, senang atau susah, bahagia atau derita, hidup atau mati dan akhirnya Surga atau Neraka. Jika kita sentiasa pula memikirkan alam ciptaan Allah ini, kita tidak akan terlalu memuji berlebihan yang ada pada manusia. Keran apa yang pasti yang kaya akan menjadi miskin, yang cantik akan hilang kecantikannya, masa lapang menjadi sibuk, yang muda menjadi tua, yang sihat akan sakit dan yang hidup akan mati.

Kedua pula ialah ZIKIR. Kita diingatkan supaya sentiasa berzikir, iaitu mengingati Allah dengan menyebut namaNya yang suci dan puji-pujian ke atasNya. Sebagai hamba itu yang seharusnya selalu kita lalukan, tak kira semasa kita berdiri, duduk atau berbaring. Menyebut, memuji dan dan membesar2kan manusia tidak ada kebaikannya baik di dunia atau di akhirat. Tetapi dengan menyebut dan membesar2kan Allah S.A.W kita akan mendapat ganjaran dan Allah sentiasa bersama kita. Jika kita mengingati Allah semasa kita senang, Allah akan mengingati kita semasa kita susah.

Ketiga pula ialah SYUKUR. Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang sedia ada pada kita, atau apa yang kita perolehi atau nikmati, atau apa yang terhindar dari kita, samaada kebaikan atau keburukan. Semua ini ada hikmah disebaliknya. Kita tidak seharusnya, bersyukur atas kebaikan yang diterima sahaja. Tetapi perlu reda dengan kesusahan yang di alami, kerana ia juga adalah satu bentuk kesyukuran.

Keempat ialah SABAR. Sabar adalah satu sifat yang amat terpuji. Sabar separuh dari Iman, adalah ungkapan selalu diperkatakan. Walaupun kurang tepat, ia membawa maksud betapa pentingnya kita bersifat sabar dalam segala aspek. Bukan pada perkara2 tertentu sahaja. Sabar menunggu kawan berjam2 untuk keluar berdating, tetapi tidak sabar menunggu 2 minit untuk lampu hijau menyala dan sebagainya.

Akhirnya kepada kedua2 pegantin dan pengantin2 lain yang baru sahaja disatukan diucapkan selamat menempuh alam berumah tangga dan kekal ke akhir hayat. Kepada pengantin2 lama dan separuh lama, anda telah berjaya sehingga kini, teruskan dengan sabar dan membuat pembetulan dari semasa ke semasa. Alam rumah tangga perlu kepada komitmen untuk menjadikannya berjaya.

Salam Peringatan..,