Thursday, March 31, 2011

ZAMAN PERSEKOLAHAN

Saya mula bersekolah pada tahun 1958. Oleh kerana saya lahir pada 26 December 1951, saya mungkin antara yang termuda dalam kelas pada masa itu. Malaya pula baru tidak sampai setahun mencapai kemerdekaan dan tentunya serba-serbi masih kekurangan. Dari segi sambutan kemerdekaan pula, sebenarnya tidak ada sedikit pun kenangan tentangnya diingatan saya, maklumlah rumah pun tiada TV lagi pada masa itu…huhuhu.

Wednesday, March 30, 2011

SUNGAI DALAM KENANGAN

Di hadapan kampong kami terdapat sebatang sungai yang pada masa itu, masih banyak air, yang jernih mengalir antara 3 ke 5 kaki dalamnya. Tetapi pada musim hujan airnya akan menjadi agak keruh dan dalam. Di beberapa tempat ia boleh mencapai kedalaman antara 6 ke 10 kaki. Pernah terjadi air bah, dan air melimpah sehingga ke sawah padi di sekitarnya, sehingga memusnahkan padi yang sedang berbuah. Kata orang tua-tua masa itu naga sedang turun dari bukit mengalir ke laut….hahaha.

Tuesday, March 29, 2011

PERMAINAN ANAK KAMPONG

Kanak-kanak memang tidak boleh dipisahkan dengan permainan sejak dari zaman azali lagi. Namun ianya berubah mengikut keadaan, kemampuan dan masa. Tidak seperti sekarang, di mana semua permainan boleh dibeli, pada zaman saya di kampong, semuanya “made in” sendiri. Saya adalah antara yang agak kreatif dalam membuat alat mainan sendiri ini. Permainan ini juga bertukar2 mengikut masa dan musim.

Monday, March 28, 2011

KERJA KAMPONG

Walaupun tinggal di kampong, persekolahan anak-anak juga diambil berat, pakaian dan buku perlu di beli (takda skim pinjaman buku teks lagi). Makan pakai seadanya perlu disediakan. Sebagai anak kita tidak terfikir betapa ibu bapa kita betungkus lumus bekerja pada masa itu untuk menyediakan semuanya. Ada masanya kita mahukan sesuatu yang tidak termampu mereka adakan, tetapi tiba masanya dapat juga merasa/milikinya.

Sunday, March 27, 2011

IBU TIRIKU KAKAK SAUDARAKU

Walaupun Apak bercadang membawa kami balik ke Sepang, tetapi jauh di sudut hatinya, beliau mungkin tidak sampai hati untuk memisahkan kami dari saudara mara di Rembau itu. Peluang ini diambil sebaiknya oleh datuk untuk memujuk Apak agar berkahwin lain di Rembau juga. Beliau agak keberatan dan memberi alasan jika berkahwin dengan orang luar sudah tentu mereka tidak akan dapat memelihara kami berdua sebagai anak mereka sendiri.

Friday, March 25, 2011

SEMASA KU KECIL-KECIL

Kampong kelahiran saya ialah Kampong Chembong Halt*, Rembau, Negeri Sembilan. Ini adalah kampong asal arwah Emak, Mahanom binti Rentah yang lahir pada tahun 1928. Beliau anak ketiga dari 4 adik-beradik, berketurunan minang, suku Biduanda+, tetapi bukan SUKU yang boleh dilantik menjadi Undang Luak itu…takda nasiblah…hahaha. Saya tidak banyak tahu tentang nenek kerana meninggal semasa saya masih hingusan. Arwah datuk pula, Rentah bin Abu Bakar berkahwin lain setelah nenek meninggal dunia dan tinggal di rumah yang lain, walaupun di kampong yang sama.

Thursday, March 24, 2011

PERJALANAN HIDUP

Saya bukanlah seorang individu yang mempunyai kisah hidup yang menarik untuk dikongsi. Juga bukan penulis yang boleh bercerita sesuatu yang di luar minda. Namun keinginan itu sentiasa teruja untuk berkongsi serba sedikit pengalaman yang ada. Tiada niat untuk mencari publisiti yang memang tidak akan tiba, tetapi sekadar untuk dicerita kepada anak cucu semasa masih boleh bercerita. Juga kepada pengunjung siber yang kadangkala tersesat pula.