Thursday, March 31, 2011

ZAMAN PERSEKOLAHAN

Saya mula bersekolah pada tahun 1958. Oleh kerana saya lahir pada 26 December 1951, saya mungkin antara yang termuda dalam kelas pada masa itu. Malaya pula baru tidak sampai setahun mencapai kemerdekaan dan tentunya serba-serbi masih kekurangan. Dari segi sambutan kemerdekaan pula, sebenarnya tidak ada sedikit pun kenangan tentangnya diingatan saya, maklumlah rumah pun tiada TV lagi pada masa itu…huhuhu.

Pada mulanya saya dimasukkan ke sekolah berbahasa penghantar bahasa Melayu, atau bahasa mudahnya aliran Melayu*, di Sekolah Umum Chembong. Merasa jugalah menulis di atas papan batu dengan kalam pada masa itu. Saya belajar sehingga darjah empat di sekolah ini. Tidak banyak yang saya ingat semasa belajar di sini. Satu yang saya masih ingat ialah saya ada berminat dengan seorang pelajar perempuan yang sama kelas dengan saya. Kemudiannya kami berpisah selepas darjah empat dan tidak bertemu lagi sehingga 12 tahun kemudian, apabila mula bekerja sementara di Kuala Lumpur. Juga pada satu peristiwa di mana saya dicubit oleh seorang guru, kerana didapati belari2 ketika menaiki tangga sekolah ketika berselisih dengannya, dan tidak mengucapakn selamat pagi. Guru ini juga kemudiannya telah dilantik menjadi Yang Mulia Datuk Undang Luak Rembau selang beberapa tahun kemudiannya.
Saya ke sekolah berjalan kaki sahaja pada masa itu, tak jauh cuma 1.5 km sahaja. Ini menjadikan kaki saya agak tegap, kerana banyak berjalan. Ramai kawan-kawan dari kampong yang berjalan bersama ke sekolah, meriah. Di samping itu ada juga yang dihantar oleh ibu atau bapa mereka dengan basikal atau mereka sendiri yang berbasikal.
Di sekolah ini juga saya belajar satu kelas dengan seorang budak nakal seperti Shariff Dol (samseng Kampong Dusun) itu. Kenakalannya sungguh tidak terlawan oleh yang lain-lain, dan beliau semakin menjadi-jadi apabila selalu dimenangkan oleh ibu-bapanya setiap kali dia bergaduh, walaupun selalunya dia yang bersalah. Rumahnya yang terletak di antara kampong kami dengan sekolah amat strategik sekali untuk dia membuli kami, apabila berjalan balik dari sekolah. Anak ini seterusnya membesar (seperti dijangkakan) tidak seperti diharapkan keluarganya. Wallahua’lam.
Di dalam kelas kami juga ada seorang lagi kawan yang tahap IQnya agak hampir sama dengan saya. Kami akan bergilir mendapat nombor satu dalam kelas, walaupun biasanya saya yang lebih baik markahnya (bukan masuk bakul ok). Hanya pada satu ketika, apabila saya demam dan tidak dapat hadir satu kertas peperiksaan, beliau telah dapat mengatasi saya. Dan satu kampong dimaklumkan hal ini oleh emaknya.…huhuhu. Kawan ini terus bersekolah aliran Melayu sehingga ke SPM dan dapat masuk belajar di sebuah Kolej di Kuala Lumpur. Namun panas tidak sampai ke petang. Di Kuala Lumpur pada masa itu, rupa-rupanya, “ganja” amat mudah didapati. Malah oleh pelajar kolej sekali pun. Apabila sudah terjebak, kreativiti untuk beralih kepada yang lebih “kick” bertambah, dan berterusan hingga ke hari ini. Wallahua’lam.
Pada masa tersebut, terdapat satu peperiksaan semasa di darjah 4, khas untuk pelajar yang bercita2 untuk memasuki sekolah beraliran Inggeris, diberi nama Special Malay Clas (SMC). Saya menduduki peperiksaan ini atas saranan dari emak tiri saya#. Saya lulus dengan baik dan mula bersekolah beraliran Inggeris di pekan Rembau, Sekolah Rendah Undang Rembau. Basikal mula menjadi tunggangan pasti saya untuk ke sekolah.
Setelah dua tahun di SMC, kami belajar di darjah enam pula seperti pelajar sekolah yang lain. Tidak lagi ada “special treatment”. Ini bermakna tambahan setahun sebelum ke sekolah menengah. Sebelum tahun 1964, untuk ke sekolah menengah diadakan peperiksaan yang perlu lulus, semasa di darjah Enam. Murid2 yang Gagal tidak boleh sambung terus ke Tingkatan Satu. Mereka, samaada perlu mengambil peperiksaan semula pada tahun berikutnya atau berhenti. Pada masa itu untuk masuk askar perlu lulus darjah enam sahaja.
Perubahan berlaku pada tahun saya di darjah enam, di mana peperiksaan tersebut dimansuhkan dan semua orang boleh belajar sehingga ke tingkatan tiga. Mulai tingkatan satu lagi kami pula telah dilatih untuk menjawab soalan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada itu, secara objektif. Pertama kali akan diadakan semasa kami mengambil SRP (LCE) nanti (1967). Malah kami diberi pencil 2B untuk membuat latihannya…hahaha. Saya lulus dengan sederhananya dan terus meningkat ke tingkatan 4A dan seterusnya tingkatan 5A di sekolah yang sama. Ada 6 kelas untuk tingkatan 4 dan 5 ini. Peperiksaan tingkatan lima pada masa itu adalah kombinasi Oversea School Certificate/Malaysian Certificate of Education (OSC/MCE) untuk pelajar aliran Inggeris. Ia adalah kali terakhir diadakan pada tahun saya menduduki peperiksaan tingkatan lima itu (1969). Pada tahun berikutnya hanya MCE atau SPM sahaja diadakan.
Mungkin anda pernah mendengar nama Mustaza Ma’ah…Ya pembaca berita yang bersuara lemak merdu di RTM tu. Dia setahun senior dari saya. Kami pernah mengayuh basikal bersama ketika pulang dari sekolah. Beliau juga adalah adik kepada guru yang mencubit saya semasa di darjah empat itu. Pengalaman berbasikal agak banyak dan salah satu darinya ialah terjatuh apabila cuba mengewlak dari kerata yang datang dari hadapan ketika kami sedang berbasikal seolaholah jalan kami yang punya. Sampai sekarang parut sebesar duit lima puluh sen masih kekal di bawah lutu saya. Berbasikal sambil. Berbasikal pada sebelah pagi biasanya amat menyeronokkan kerana, ada sekumpulan budak perempuan juga berbasikal untuk bersama ke sekolah.
(Gambar Hiasan: Mereka2 ini tidak pernah ke sekolah berbasikal agaknya, itulah sebab dah jadi YB baru nak mencuba naik basikal pula)
Satu lagi kenangan ialah, saya merupakan orang kedua dari kampong itu yang belajar di sekolah aliran Inggeris. Kelebihan ini membolehkan memberi tuisyen kepada beberapa kawan yang junior yang masuk ke sekolah beraliran Inggeris itu, termasuk seseorang yang telah pernah menjadi YB untuk DUN Chembong. Kawan senior yang pertama itu pula, gagal setakat tingkatan 3 sahaja. Dia mungkin terlalu asyik berlaga ayam atau pun kerana sebab-sebab lain yang saya kurang pasti. Yang pasti beliau telah memasuki TLDM lebih awal dari saya, dalam bahagian Jurutera Merin. Dia sempat memberi tabik hormat kepada saya pada satu ketika semasa terjumpa di Lumut....Carry on Chief!
Saya lulus OSC/MCE dengan sederhana juga dan diberi tempat untuk belajar di tingkatan enam di Sekolah KGV, Seremban. Namun jodoh saya tidak lama di sana, kenapa?....tunggulah nanti saya ceritakan.

Nota kaki:
* Pada zaman saya bersekolah terdapat sekolah beraliran Melayu dan Inggeris. Murid boleh mula belajar dari darjah satu di mana-mana sekolah yang mereka didaftarkan. Tetapi selepas itu ada dua car pula boleh dipilih, jika ada murid-murid dari sekolah beraliran Melayu ini, hendak berpindah masuk ke sekolah beraliran Inggeris. Pertama dengan menduduki peperiksaan SMC dan kedua dengan memasuki “Remove Class” sebelum ke tingkatan satu. Kedua2 cara ini akan menyebabkan murid2 ini tercicir satu tahun dari kawan2 nya yang lain.
# Saya mengatakan bahawa ia adalah saranan dari emak tiri saya, kerana saya mendengar Apak dan beliau bercerita tentang hal itu pada satu malam. Apak pada mulanya memberitahu emak ttiri saya tentang pesanan arwah emak saya agar saya dimasukkan ke sekolah Inggeris. Namun Apak yang mungkin tahu akan kemampuan beliau, mahu saya bersekolah Melayu, dan itulah sebabnya saya dimasukkan ke sekolah Melayu pada mulanya. Emak tiri saya, menasihatkan Apak agar menghantar saya ke sekolah Inggeris seperti pesanan arwah emak itu. Saya anak lelaki yang tua katanya dan pandai pulak, eloklah bersekolah Inggeris. Maka itulah sebabnya saya di hantar untuk menduduki peperiksaan SMC itu. Dan nampaknya adik-adik yang lain tiada seorang pun dimasukkan ke sekolah Inggeris seperti saya. Maaf bro/sis.

12 comments:

Riz Ardy said...

Salam abg...
Pengalaman sekolah yang menarik.. Berjalan sejauh 1.5km tu jauh gak tu. Sekarang ni anak2 nak kesekolah depan rumah pun suruh ayah hantar naik motor... door to door... hehe..
Nasib baik tak join Sarip Doll tu..huahaha
(p/s: sorry jadi pengomen pertama. Dah bg peluang kat org lain..hehe)

Zabs said...

TQ Riz...kalau serba sedikit salah silap pada ejaan ke ayat ke, perbetulkan boleh?

Riz Ardy said...

hehehehe... bagi kat saya passwordnya... boleh saya edit kan...

Zabs said...

Bukan yang di sin Riz, yang disimpan tu.

Riz Ardy said...

lepas post komen tadi, baru saya terfikir.... ok... faham... hehe

aNIe said...

Salam... Pak Zabs.. bapak saya dulu bercita2 besar... semua anak hendak disekolahkan dibandar... maka seawal 5 pagi kami dah bangun untuk mandi air perigi yang sejuk ... kemudian menapak melalui pokok2 getah untuk menanti van ke sekolah... suasana masa tu masih gelap gulita... duduk lah tercongok di akar kayu menanti van yang akan membawa kami...

Firdaus said...
This comment has been removed by the author.
Firdaus said...

Salam,

Memori zaman sekolah memang tak dapat nak dilupakan,banyak sangat kenangan rasanya.

Pak Zabs pelajar yang pintar, sudah pasti ramai budak2 perempuan masa tu minat pada Pak Zabs.Sepanjang saya bersekolah rasanya tidak pernah ada budak perempuan yang mengetahui kewujudan saya kerana saya bukanlah seorang yang terkenal di sekolah. Mungkin saya lebih suka bersikap pendiam ketika itu.

walau apapun, sekolah telah mengajar saya agar lebih berani untuk bermimpi dan lebih berani mengejar cita-cita

Zabs said...

Anie,
Itu semua mengajar anda menjadi cekal dan tabah kan. Anak2 sekarang byk yang terlalu dimanjakan. kekadang tu salah ibu bapa sendiri.

Zabs said...

Firdaus,

saya pintar semasa darjah 4 ke bawah je....hihihi.
Apabila masuk ke sekolah Inggeris prestasi jadi sederhana sahaja.
Seperti anda saya juga seperti tidak wujud bagi pelajar perempuan semasa di sekolah menengah....bagus juga agaknya...haha.

ujang kutik said...

Akhirnya saya dapat juga susur "secondary school" tuan.URESS.Saya MCE 74.Syabas,berjaya hingga ke kemuncak kerjaya.

ujang kutik said...
This comment has been removed by the author.