Wednesday, January 30, 2008

Memberi dan Menerima

Beberapa hari lalu seorang kawan berkunjung ke pejabat saya untuk membincangkan sesuatu tentang kerja yang ingin dilakukannya dalam masa terdekat ini.

Kerja tersebut pada mulanya perlu dilakukan sebulan yang lalu. Oleh kerana masalah dalam mempersetujui harga, dan wang pendahuluan yang diminta, ia lewat dilaksanakan.

Pada kali terakhir perbincangan antara Kawan Saya (KS) dengan (MD) Syarikat itu, beginilah serba sedikit apa yang berlaku, seperti disampaikannya pada hari itu:

MD: Buat kali terakhir saya bersetuju membayar 10% sebagai pendahuluan untuk anda mulakan kerja dan akan membayar selebihnya selepas semua kerja selesai. Kami akan tulis cek hari ini juga.

KS: Bagini tuan, saya telah minta 30% sejak dari awal lagi untuk memulakan kerja dan telah memberi sebab kenapa saya perlukannya. Saya hanya akan mulakan kerja setelah dibayar sebanyak itu.

MD: Sebenarnya bukan kami tak mahu bayar, tetapi syarikat kecil ini selalunya bukan boleh dipercayai sangat. Apa jaminan yang kerja akan dibuat setelah mendapat bayaran?

KS: Kami pun tak pasti juga samaada syarikat tuan, akan membayar kami ataupun tidak selepas kerja tersebut selesai kami lakukan nanti. 30% itu sebagai jaminan kami.

MD: (Selepas diam sebentar) Baiklah kami akan bayar 20% dan selebihnya selepas kerja selesai.

KS: Saya masih mahukan 30%. 20% dibayar bersama "Letter of Award", dan 10% lagi selepas "mobilisation".

Ia akhirnya dipersetujui dan kini kawan itu telah pun memulakan kerjanya.

Monday, January 28, 2008

Tugas Juri

Malam tadi telah berlangsung Anugerah Juara Lagu ke22. Keputusan telah pun dibuat, dan pemenang telah menerima hadiah masing2. Namun demikian tidak semua keputusan yang dibuat oleh pihak juri tersebut dipersetujui sepenuhnya oleh orang ramai, walaupun juri2 yang dilantik itu bukan sebarangan orang. Mereka2 ini terdiri dari individu yang pakar dalam bidang masing2. Sepatutnya tidak timbul, juri membuat pilihan yang salah. Lainlah jika sekiranya keputusan itu dibuat oleh juri melalui "sms" atau juri bidan terjun!

Namun demikian ia tidak menghalang, saya untuk dilantik menjadi salah seorang juri dalam satu pertandingan kareoke, semasa satu pesa Hari Keluarga (Sabtu lepas), Kolej tempat isteri saya bekerja. Kami bertiga dipilih atas dasar, tidak menjadi berat sebelah kerana tidak mengenali langsung para peserta yang mengambil bahagaian.

Saya bersama seorang lagi juri, yang agak berpengalaman kerana beliau bekerja dengan Finas dan tentunya orang seni juga. Caranya dalam memberi markah juga nampak profesional.


Ketua juri, Pengarah Kolej tersebut. Nampak serius dan berhati-hati juga dalam membuat penilaian.





Peserta dengan pakaian yang betul mengikut tema pertandingan kaaoke tersebut "60an".










Peserta termuda.













Seorang dari dua peserta wanita pada malam itu.









Setelah memberi markah untuk setiap perserta, berbincang memilih peserta terbaik pada malam itu.





Pemenang pertandingan karaoke tersebut menerima hadiah dari Tuan Pengarah. Saya terkejut juga kerana lain yang saya beri markah untuk menang, orang lain pula yang muncul juara. Tetapi, rupa2nya orang yang sama. Dia dah menukar pakaian rupanya. Peserta wanita di atas itu adalah orang yang sama rupanya.


Juri pun dapat hadiah, sebagai cenderahati atas tugas yang dilaksanakan dengan memuaskan. Nampaknya tiada yang mempertikaikan keputusan juri2 itu. Mungkin hadiahnya pun hamper sahaja, bukan RM25,000, jadi takda yang nak buang masa, komplen. Apa pun, walau sebagus mana manusia itu, mereka tidak akan dapat membuat keputusan yang sempurna. Jika kita sedar akan hal ini, maka kita akan dapat menerima apa pun keputusan seadanya. Wallahua'lam.

Saturday, January 26, 2008

Oh Batik...

Ini bukan gambar kakitangan awam, berehat sebentar di hari Khamis, sambil menikmati makan tengah hari di kantin. Ini adalah pemandangan biasa yang dapat kita lihat di majlis-majlis pertunangan, perkahwinan atau majlis- majlis "open house".



Saya juga berminat memakai baju batik kerana selain warnanya yang ceria dan menarik, ia juga selesa kerana tak perlu bertali leher dan kelihatan macam orang koporat pula.

Saya biasanya memakai baju batik untuk ke majlis-majlis perkahwinan di siang hari. Lebih selesa dari memakai Baju Melayu lengkap seperti di sebelah, yang mana, selalunya hanya saya pakai untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga terdekat di tempat2 yang sesuai sahaja. Jika tidak saya lebih selesa berbaju batik.

Semasa di dalam perkhidmatan dahulu, saya hanya memakai pakaian seragam yang telah dikhaskan untuk ke tempat kerja. Kami hanya memakai baju batik untuk majlis-majlis tertentu sahaja. Dan adakalanya memakai "Mes Dress" seperti gambar di sebelah.


(Maaf gambar lama)

Baru-baru ini satu Arahan pemakaian batik setiap Khamis telah diumumkan menerusi Surat Pekeliling Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam. Ia tidak memerlukan apa-apa tindakan dari saya. Cuma isteri saya yang mungkin perlu membeli beberapa pasang lagi baju batik, kerana sekarang perlu memakainya setiap minggu pula.

Selamat memakai baju batik kepada semua kakitangan awam. Tetapi bagi saya apabila berbaju batik, saya tidak terasa untuk bertugas. Bila berbaju batik saya berasa ceria dan mahu bersenang-senang dan santai serta bersosial di majlis-majlis keramaian. Tidak ada mood untuk bekerja tetapi bersedia untuk makan-makan....

dan merenjis-rinjis di majlis perkahwinan... adalah....

Apa pandangan anda?

Thursday, January 24, 2008

Lembu Kereta

Gambar ini saya ambil dari surat khabar tabloid yang saya baca, di restoren yang saya selalu makan tengahari. Ia menarik minat saya apabila membaca tajuk yang tersiar hari ini. Pada mulanya saya menyangka ia gambar yang telah di tindih2kan (doctored).

Dan jika ditanya kepada lembu itu, ia mungkin akan berkata, saya lupa, mungkin saya terlalu banyak makan rumput-rampai, sampai perut saya sakit dan kepala saya berpinar-pinar. Tak tahu apa yang saya telah lakukan.

Untuk mengetahui cerita sebenarnya, saya telah membaca cerita selanjutnya di muka dalam. Begini cerita; Dua orang pencuri lembu telah mencuri lembu ini dan mahu membawanya lari dengan memasukkanya ke bahagian belakang kereta Wira ini.

Walau bagaimanapun penduduk kampong telah melihat mereka lalu mengejarnya dan memintas kereta tersebut. Kereta itu kemudian terbabas, dan pencuri dapat ditangkap. Sekarang sudah sahlah, kita telah ada alternatif baru untuk pengangkutan lembu di masa hadapan. Mungkin sedikit ubahsuai diperlukan, jika hendak dikeluarkan secara komersial. Kita boleh panggil Lembu Kereta dan bukan Kereta Lembu kot? Jangan marah.

(Untuk mengetahui cara untuk memasukkan lembu itu ke dalam kereta, perlu ditanya pakar tersebutlah).

Tuesday, January 22, 2008

Adakah Anda Lupa?

Surat khabar kami dihantar setiap hari oleh En. Segar (bukan nama sebenar), tidak kira hujan atau tidak pada pagi yang sentiasa nyaman. Biasanya pada jam 5.30 pagi, surat khabar tersebut telah berada di porch rumah kami. Beliau hanya bercuti beberapa hari setahun, terutama pada hari perayaannya, dan kini akan bertambah sehari lagi seperti yang diberitahu baru-baru ini.

Sebelum ke surau saya akan meletakkan surat khabar itu di atas bumbung kereta, dan mengambilnya untuk dibaca sebentar apabila balik dari surau, sebelum ke tempat kerja.

(Gambar dilakun semula)

Semalam, seperti biasa saya telah mengikut rutin yang sama, tetapi pada hari itu, saya terpaksa bertolak awal dari rumah untuk menghantar anak ke sekolah dan seterusnya menghantar isteri yang akan menghadiri satu bengkel.

Setelah meninggalkan rumah kira-kira 500m, dan berada di dalam jem yang biasa ditempuh di pagi hari seperti itu, saya teringat surat khabar yang saya letak di bumbung kereta. Saya yang hampir pasti, surat khabar itu telah diterbangkan angin, memberitahu isteri, saya tidak berniat untuk berhenti dan melihatnya.

Walaubagaimana pun, beberapa minit kemudian, seorang pemandu yang melitasi kereta saya semasa melalui satu lampu isyarat, telah menunjuk2 memberi isyarat ada sesuatu di bumbung kereta, kepada isteri. Ini membuatkan saya berfikir tentu surat-khabar itu masih di situ dan memurtuskan akan berhenti untuk melihatnya.

Setelah melepasi jem itu, saya merapat ke tepian jalan yang sedikit lenggang untuk berhenti. Seperti yang disangkakan, saya tidak perlu membeli surat khabar lain lagi, pada hari itu.

(Gambar lakunan semula)

Surat khabar itu dengan selamatnya masih berada di atas bumbung kereta, cuma kedudukannya sedikit berubah. Kalau tidak sudah tentu saya tidak dapat praktikkan pembacaan jawi saya pada minggu ini.

Petikan dari naskhah sisipan Utusan Melayu.

Selepas itu timbullah isu, apabila sudah berumur, memory lapse akan selalu berlaku, dan peristiwa ini adalah salah satu dari beberapa incident yang telah di alami, dan diperingatkan semula oleh, orang yang selalu berada di sebelah saya. Umpamanya:

* Kunci pintu, kunci kereta dan pelbagai kunci lagi yang selalu disalah letak.
* Meletak kereta ditempat lain, mencarinya ditempat lain.
* Masuk jalan bertol ikut laluan tunai, keluar ikut laluan smart tag.
* dan lain-lain lagi.

Ini baru lupa kecil2an, harap jangan sampai lupa jalan nak pulang ke rumah, sudah.. Semoga dijauhkan ianya dari berlaku. InsyaAllah.

Saturday, January 19, 2008

24 Jam Kita

Seorang penulis terkenal telah menulis di dalam bukunya bagaimana kita harus membahagikan masa kita, jika mahu menjadi orang yang berjaya dalam kerja yang kita lakukan. Mungkin ia tidak lagi relevan dengan rutin harian saya, tetapi ada baiknya, jika dikongsi dengan orang-orang muda yang mungkin terbaca N3 ini.

Pembahagian waktu kita biasanya adalah seperti berikut;

8 jam untuk tidor.






8 jam untuk bekerja.








8 jam lagi dihabiskan dengan lepak2, menonton tv, membeli-belah, bermain game dan ntah apa-apa lagi yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada diri kita, keluarga atau masyarakat.














Menurut beliau masa 24 jam kita perlu dibahagikan seperti berikut;

8 jam untuk tidur
8 jam untuk bekerja

4 jam untuk rekreasi dan kesihatan















2 jam untuk belajar dan persediaan





2 jam untuk kerja tambahan yang tidak dibayar.












Perbezaan di sini adalah penambahan 2 bahagian lagi, iaitu 2 jam setiap satu, yang terakhir itu. Ia amat penting untuk kemajuan diri kita dalam apa juga bidang/pekerjaan yang kita lakukan.

Dua jam untuk belajar dan membuat persediaan itu amat penting. Jika dimanfaat dengan baik akan dapat meningkatkan kemahiran kita dalam bidang/pekerjaan yang kita lakukan sekarang. Ia perlu dilakukan diluar waktu kerja 8 jam yang dikhas untuk bekerja. Kemahiran tambahan ini akan dapat meningkatkan keberkesanan kita dalam kerja seharian kita itu.

Dua jam untuk kerja tambahan yang tidak berbayar itu pula, adalah untuk kita memberikan mutu kerja yang lebih baik dari gaji yang dibayar untuknya. Ini juga bermakna kita mesti sentiasa melakukan kerja yang semakin baik dari semasa ke semasa.

Tetapi ia tidak pula bermakna yang kita perlu sentiasa bekerja lebih masa. Jika kita mampu melakukan kerja yang mungkin mengambil masa 10/12 jam, dalam 8 jam, itulah yang sebenarnya dimaksudkan dengan kerja tambahan tanpa bayaran itu, kualiti kerja yang kita lakukan.

Dua jam tambahan kerja berkualiti itu juga boleh dilakukan melalui aktiviti seperti berikut;

Memberi kerjasama yang lebih erat kepada rakan sekerja dan pihak pengurusan.
Menjadi pekerja yang periang dan berbudi bahasa.
Bekerja dengan gigih dan bersemangat.
Bekerja dengan matlamat dan tujuan yang dirancang kemas.
Memperoleh kemahiran yang sesuai untuk pekerjaan yang dilakukan.

Seperti kita sedia maklum, tidak ada kejayaan yang dicapai tanpa kerja kuat dan dedikasi. Kita perlu merancang dan bekerja keras untuk memperolehi kejayaan itu.

Oleh itu kita perlu merenung dengan teliti apa yang telah kita lakukan selama ini. Jika terdapat kekurangan yang ada dalam perancangan masa kita, maka ia perlulah diubah untuk kebaikan penggunaan masa itu.

Perancangan masa teratur juga perlu dalam aktiviti keagamaan seharian kita. Empat jam untuk rekreasi dan kesihatan itu, boleh digunakan sebahagiannya untuk menuntut ilmu dan beramal.

Malah, masa 2 jam untuk belajar dan persediaan itu juga boleh dimanfaatkan sebaiknya. Masa dua jam untuk kerja yang tidak dibayar itu pula boleh diguna untuk melakukan kerja-kerja amal. Wallahua'lam.

(Gambar-gambar adalah sebagai hiasan sahaja.)

Tuesday, January 15, 2008

Kependudukan

Mengambil kesempatan cuti Awal Muharram pada 10hb tempuh hari, Jawatankuasa Penaja untuk penubuhan Persatuan Penduduk taman kami, telah memanggil satu perjumpaan untuk membincangkan perkara tersebut.

Taman ini telah mula diduduki sejak 1991, dan telah pernah tertubuh Persatuan Penduduk sebelum ini. Tetapi terdapat sedikit salam faham antara dua pihak dan ia menjadi tidak aktif beberapa tahun selepas itu. Apa yang saya diberitahu ialah, ia berpunca dari campur tangan mereka yang berkepentingan dalam parti2 berkaitan. Saya tidak tinggal di taman itu dalam tempuh kekecuhan tersebut berlaku.

Terdapat lebih 220 keluarga tinggal di Taman kami, tetapi seperti diduga, kedatangan adalah lebih kurang 1/3 sahaja. Itu pun sudah mengembirakan hati Jawatankuasa Penaja, memandangkan ia Hari Cuti Am. Mungkin ramai telah pergi ke luar kawasan.

Mesyuarat telah diadakan di Dewan Orang Ramai, berhampiran Surau, yang suatu masa dulu adalah juga Dewan Orang Ramai yang pertama (sebelum diubahsuai menjadi surau).

Di sini saya tidak bercadang untuk membuat laporan penuh perjumpaan itu, tetapi hanya ingin memberikan beberapa kebaikan yang boleh diambil dari perjumpaan itu, dan masalah yang boleh diatasi bersama.

Pertamanya kami rasa gembira, kerana selepas lebih 10 tahun persatuan yang terdahulu dibubarkan, kami dapat menhidupkannya semula. Walaupun telah ada surau, yang mula berfungsi lebih 3 tahun lalu, tidak semua yang datang untuk solat berjemaah di sini, kerana banyak Surau2 dan Masjid berdekatan, dan ada yang masih selesa ke sana.

Persatuan ini diharap akan dapat mengeratkan lagi silaturrahim masyarakat di sini, dan dapat bersama bermuafakat untuk kebajikan penduduk2nya.

Pertemuan ini juga dianggap tepat pada masanya kerana banyak isu yang perlu diselesaikan dengan cepat, dan lebih mudah jika dibuat melalui satu persatuan.

Isu pertama ialah tentang Bil Cukai Pintu. Selepas lebih 16 tahun tinggal di sini masih ada lagi penduduk yang tidak pernah menerima bil Cukai Pintu untuk rumah mereka.

Kedua, ialah tentang Bil Hasil Tanah. Ada penduduk yang masih tidak mendapat Bil Hasil Tanah untuk rumah mereka. Ada pula yang menerima Bil yang tertunggak sehingga beribu ringgit dan atas nama PKNS, pihak pemaju perumahan itu. Projek perumahan ini adalah Pajakan 99 tahun. Bermakna dari 1991 hingga 2090. Bil Hasil Tanah saya menunjukkan tarikh yang betul, tetapi ada yang mendapati tarikh luput pajakan mereka ialah 2060.

Perkara ketiga ialah tentang keselamatan di kawasan perumahan itu. Terlalu banyak kejadian ragut dan kecurian berlaku. Satu tindakan berkesan diperlukan untuk mengatasinya.

Rumah ini yang sedang dilakukan pengubahsuaian, kehilangan beberapa peralatan yang diletakkan di luar rumah untuk sementara waktu. Pengumpul barang terpakai dengan selamba je, pada siang hari, datang mengambil barang2 tersebut.

Keempat ialah tentang infra struktur yang tidak mendapat perhatian terutama jalan2 di dalam taman tersebut. Jalan2nya banyak yang tidak rata dan sedikit berlobang. Tidak ada tindakan untuk menurap semula jalan2 ini sejak ia dibina. Tidak seperti jalan di luar taman itu, yang setiap tahun diturap, terutama apabila tiba hujung tahun atau musim pilihanraya..

Hanya dua bonggol yang telah dibina oleh pihak berkenaan sejak setahun lalu. Tetapi menurut seorang makcik, yang rumahnya berhampiran bonggol itu, ia menyebabkan air bertakung semasa hujan lebat, sehingga air melimpah masuk ke dalam kawasan halaman rumahnya..

Satu lagi masalah ialah kereta yang diletakkan di pinggir2 jalan. Pada waktu malam jalan menjadi sempit kerana terlalu banyak kereta di kiri kanan jalan. Ada satu ketika pihak bomba yang datang untuk memadamkan kebakaran menghadapi masalah untuk melalui jalan-jalan tersebut.Padang permainan kanak-kanak juga sudah lama tidak diselenggara, walaupun kini telah ada sebuah court untuk bermain street football yang cantik, baru dibina. Namun begitu tidak semua berpeluang dapat bermain di situ. Oleh itu court, basket ball seperti di bawah perlu juga diperbaiki.

Inilah rupanya tiang gol di court, basket ball tersebut. Ia telah diguna sejak 10 tahun lalu, dan masid aktiof digunakan. Padang disekeliling nyapula, tidak selesa untuk digunakan kerana selalu becak dan berair.

Masalah yang terakhir buat masa ini ialah keadaan sekeliling taman yang penuh dengan tumbuhan yang tidak terbela.

Ada rumah setinggan pula yang baru didirikan di belakang rumah penduduk ini.

Longkang besar ini tertutup kebanyakannya oleh rimbunan pokok2 yang hidup subur tanpa di jaga itu.
Longkang besar itu berada di bawah rimbunan tumbuhan2 ini. Ada juga pokok2 besar di kiri kanan jalan, yang mungkin merbahaya jika dibiarkan terus membesar (sekarang pun ada yang sudah layak dipanggil balak). Kemungkinan untuk ia rebah ke rumah2 berhampiran jika angin kuat juga adalah besar.

Walaupun belum ditubuhkan secara rasmi Jawatankuasa Penaja telah memulakan usaha untuk mengatasi masalah2 yang telah di kenalpasti itu. Melihat dari reaksi dari penduduk yang hadir pada hari itu, ia mengarah kepada sesuatu yang amat positif. Diharap dengan tertubuhnya Persatuan Penduduk ini nanti, lebih ramai penduduk (bukan setakat 1/3 sahaja) akan tampil untuk menyokong usaha Jawatankuasa Persatuan itu nanti. InsyaAllah.

ps: Gambar-gambar diambil dengan N73.