Monday, March 30, 2009

Hasil Didikan

Saya tertarik kepada satu kenyatan dari seorang penulis, yang menyatakan di dalam bukunya, bahawa hasil didikan kita kepada anak-anak akan menampakkan hasilnya semasa mereka berumur 15 tahun.

Kebenarannya saya dapat lihat sendiri pada empat anak bujang saya (oop,..sejadi bapa, dan seorang lagi coming soon akan berkahwin) yang semuanya telah menjadi perokok.

Kenyataan ini agak menyentuh perasaan, kerana saya telah berhenti merokok sejak lebih 13 tahun lalu, untuk menjadi contoh yang baik kepada anak2 agar tidak merokok.

Tetapi hakikatnya, keempat2 anak lelaki saya ini telah membesar semasa saya masih lagi merokok. Mereka melihat (didikan cara senyap) dan mungkin menanam impian untuk menjadi seperti ayah mereka.

Apa yang mereka tidak ambil perhatian ialah betapa sukarnya untuk berhenti merokok apabila nakotin telah menjadi satu keperluan kepada otak.

Betapa ayahnya telah mencuba berkali-kali untuk berhenti, tetapi memulakan semula tabiat tersebut tidak lama kemudian. Hanya setelah hampir 25 tahun menjadi penagih, barulah berjaya sepenuhnya. Itu pun dengan dorongan yang amat berkesan dari mamanya.

Kepayahan ayahnya (semasa masih merokok) yang selalu terbatuk2 kerana pencemaran yang berlaku di dalam paru2nya juga, mereka tidak ambil perhatian. Mungkin mereka cuma nampak keseronokan sahaja.

Sekarang pun untuk mendaki tangga ke pejabat yang cuma dua tingkat pun ada kalanya sedikit kekurangan angin apabila sampai di destinasi. Ini juga mungkin berpunca dari paru2 yang telah didera dengan asap dan nakotin yang tidak diperlukan semasa melakukan amalan yang tidak berfaedah itu.

Oleh itu saya cadangkan kepada perokok2 ini agar bermulalah dengan kurangkan merokok dan seterusnya cuba berhenti.

Mereka juga mesti bertekad untuk berhenti merokok. Lihatlah amalan ini seperti membakar duit. Cuba ambil duit lima ringgit dan bakar di depan mata. Tentu anda tidak mahu melakukannya. Duit seringgit pun saya rasa anda tidak akan membakarnya.

Jika anda merokok sebungkus sehari yang berharga RM6, ini bermakna anda akan membakar dengan setianya RM6 setiap hari. Fikir2kanlah sendiri. Wallahua'lam..

Sunday, March 29, 2009

Ulang Tahun Ke 110

Sekolah ini mungkin antara yang tertua yang terdapat di kawasan segi tiga emas ini (pada pengetahuan saya lah).

Mengikut rekod pengetua yang tertera di atas, ia telah berusia 110 tahun pada tahun ini (2009). Saya mungkin tidak mengetahuinya jika sekolah ini tidak mengadakan Pertandingan Memancing sempena Karnival 110Tahun nya hari ini.

Ia diadakan di Taman Tasik Titiwangsa dari jam 7 pagi hingga 1 petang. Memandangkan saya bukan peminat memancing, tidaklah saya berpeluang mengambil bahagian, takut menghabiskan boreh saja. Hehehe...

Pemancing mula mengambil tempat stategik masing-masing.

Menunggu penuh sabar.

Seorang pemancing muda menunjukkan bakat.

Disamping itu diadakan juga acara senamrobik dan beberapa pertunjukan seperti pancaragam, nyanyian karaoke dan cabutan bertuah.

Saya tidak sempat lama di sana kerana ada tugas lain yang perlu dibereskan. Setelah menghantar anak dan mengambil beberpa gambar saya balik.

Gerai2 untuk jualan makanan dan lain2 barangan juga ada disediakan.

Gerai makanan ini menarik perhatian saya. Dengarnya ia milik seorang artis. Patutlah pagi2 lagi sudah nampak ramai pelangan yang singgah.

Doa saya semoga sekolah ini akan terus mengeluarkan pelajar2 yang cemerlang setiap tahun. InsyaAllah.

Friday, March 27, 2009

Agar Ada Perubahan

Pemilihan Agong UMNO 2008-2011 sudah pun selesai.

Keputusan telah pun diketahui. Yang menang tentu gembira sakan, yang kalah bersedih dan nak letak jawatan.

Ada calon pilihan terpilih, dan ada juga yang tidak terpilih.

Ada calon bukan pilihan terpilih, dan ada juga yang tidak terpilih.

Pemerhati bukan ahli tapi simpati, puas hati tetapi sedikit terkilan.

Pemerhati bukan ahli tapi ahli pakatan lain, sedikit pun tak peduli. Mana ada kebaikan, kalau ia berkaitan lawan. Hanya kesalahan sahaja yang akan terbayang. Buruk sahaja malam dan siang.

Begitulah adat di dunia ini. Tidak ada sesuatu yang baik bagi sesuatu puak, akan baik juga bagi satu puak yang lain. Tidak ada sesuatu keadaan walau sebaik mana pun, akan memuaskan hati semua pihak. Apatah lagi jika puak2 ini sememangnya tidak sehaluan.

Mungkin ada baiknya jika kita boleh sesekali berbaik sangka tentang sesuatu perkara itu. Walaupun ada kemungkinan ia tidak sebaik yang kita sangkakan, ia hanya setakat itu sahaja. Sekurang2nya kita tidak menabur fitnah. Kita pun tahu, puak kita juga tidaklah sebaik mana.

Jika lwan kita telah berbuat yang terbaik, kita seharusnya berdoa agar mereka diberi hidayah dan petunjuk agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. InsyaAllah.

Nota Zabs: Saya bukan ahli mana-mana parti pun sehingga kini dan mungkin selamanya.

Sunday, March 22, 2009

Pertanian Moden

Hujung minggu lepas saya balik kampong sekejap untuk bertemu adik beradik yang ada di sana. Kebetulan mereka ada mengadakan sedikit jamuan, jadi dapatlah merasa lemang dimakan dengan rendang ayam kampong.

Semasa di kampong saya tertarik dengan satu projek kecil yang sedang diusahakan oleh salah seorang adik yang telah lama mencari sesuatu yang sesuai dilakukan, setelah bersara awal dari perkhidmatan TLDM. Dia telah menanam pokok cili secara fertigasi sebanyak seribu pokok di belakang rumah.

Ini adalah pertama kali saya mendengar pertanian secara fertigasi itu. Ketinggalan zaman betul saya ni. Saya telah googlekan dan inilah apa yang saya dapati:

Fertigasi atau fertigation sebenarnya berasal daripada gabungan dua perkataan fertilization (pembajaan) dan irrigation (pengairan). Oleh itu, fertigasi bermaksud proses pembajaan dan pengairan berjalan serentak terhadap tanaman tertentu. Terdapat dua cara digunakan dalam proses fertigasi ini. Cara tersebut ialah sistem graviti dan sistem anti graviti. Sistem graviti selalunya digunakan di tempat atau ladang yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti sumber elektrik. Tangki air diletakkan di tempat yang tinggi seperti di atas bukit atau atas bangunan. Cara pengendalian yang digunakan ialah pengusaha akan sentiasa membuka valve air secara manual setiap hari (pagi, tengahari dan petang). Manakala bagi sistem anti graviti pula selalunya digunakan di tempat atau ladang yang mempunyai sumber elektrik. Lokasi tangki air boleh di letak di mana sahaja. Cara pengendalian yang digunakan ialah menggunakan pam air. Di samping itu juga, penggunaan alat digital timer dapat mengurangkan beban pengusaha mengendali ladang dengan lebih efisien.



Menurut adik saya itu, dia berbelanja lebih kurang RM10 ribu untuk projek perintisnya ini dan jika berjaya dia mungkin akan menanam lebih banyak lagi.

Pokok ini dijangka akan mula berbuah setelah 1 setengah bulan. Dalam kes ini mungkin pada penghujung April saya akan dapat melihat gambar pokok cili ini telah berbuah, diMMS kepada saya.

Semoga beliau mendapat pulangan yang baik dari usaha dan titik peluh beliau itu. InsyaAllah.

Percutian Singkat

Cuti sekolah sudah pun sampai ke penghujung. Tapi anak yang bercuti tidak dibawa ke mana-mana semasa bercuti. Jadi pada hari Jumat/Sabtu lalu kami berada di sini. Takda apa yang hendak dituliskan, cuma gambar-gambar berikut akan menceritakannya.

Tempat yang sesuai untuk kanak-kanak, namun begitu bapa-bapa juga nampaknya turut gembira bersama.

Thursday, March 19, 2009

Bersamalah Kita

Sejak mula disiarkan di tivi, saya selalu juga menonton rancangan Bersamamu yang membawakan kisah sedih rakyat kita di Malaysia yang telah menjadi negara membangun ini.


Kekadang tu saya merasa amat teharu dengan keadaan mereka yang disiarkan itu. Sehinggakan untuk mendapat makan sekali sehari pun tidak mampu. Dengan anak yang agak ramai pula, tentulah tidak mampu untuk dihantar belajar ke sekolah.Jika ini berlaku, tentunya, mereka juga akan mewarisi kemiskinan yang dirasai oleh ibu bapa mereka itu.


Ironinya, satelah keluarga ini dikenalpasti oleh pihak tivi, dengan sekelip mata, semua mereka yang dermawan telah datang dengan bantuan yang mencurah2 untuk mereka. Termasuklah jabatan kerajaan yang sepatutnya betanggungjawab untuk menghapuskan kemiskinan ini. Badan zakat pula mula menjalankan siasatan untuk mengesahkan mereka ini layak dan turut menghulurkan bantuan sewajarnya, di mana sepatutnya telah ada tersedia bahagian tertentu untuk asnaf ini.


Persoalannya perlukah golongan ini di”malukan” begitu rupa untuk tontonan jutaan rakyat di negara kita ini sebelum mereka mendapat bantuan? Tidak bolehkah mereka2 ini dibantu tanpa perlu diberi publisiti yang negatif itu?


Sebenarnya bukan mereka sekeluarga sahaja yang mungkin akan merasa malu dengan pendedahan tersebut, tetapi sanak saudara mereka juga mungkin akan merasa tempiasnya. Mereka mungkin akan dianggap tidak bertanggungjawab kerana membiarkan saudara mereka itu kelaparan dan hidup dalam kedaifan.


Memang betul tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah, tetapi biarlah, apabila tangan kanan memberi, ia tidak diketahui oleh tangan kiri. Wallahua’lam.


Nota Zabs: Anak ini baru berusia 12 tahun dan masih bersekolah. Dia sudah pandai berusaha sendiri untuk mencari rezeki. Tentu tidak bermasalah apabila dewasa kelak. InsyaAllah.

Wednesday, March 18, 2009

Cucu Kedua

N3 ini sepatutnya telah dikeluarkan 3 minggu lepas. Tetapi atas sebab2 tertentu kini baru berjaya dikeluarkan. Walaubagaimana ia telah diwarwarkan melalui facebook pada hari berikutnya.

Pada 26hb Februari lalu kami menerima kelahiran cucu yang kedua dari anak ketiga saya Mohd Hafidz dan pasangannya Sheemi Mayanti. Tahniah kepada pasangan bahagia ini.

Umar Nafidz dilahirkan secara normal di Hospital Gleneagles Intan, KL pada jam 7.49 malam. Beratnya ialah 3.43 kg dan ketinggian 49 cm. Gambar di atas adalah gambar di hari keduanya.


Gambar ini pula diambil pada hari keempat satelah pulang ke rumah.


Gambar ini diambil setelah 2 minggu, semasa dia datang kerumah untuk bersama meraikan hari lahir Nekmanya. Gaya seorang datuk dan cucunya.

Cucu pertama juga ada datang pada hari itu dan sempat berkenalan

Semoga kedua-dua cucu ini akan menjadi anak yang soleh dan berjasa kepada kedua ibu-bapa, agama, bangsa dan negara. Semoga diberi kejayaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Monday, March 16, 2009

Masih Boleh Bercuti

Saya ke KK beberapa hari menemani istri yang menghadir satu seminar berkaitan dengan kerjanya. Untuk memudahkan urusan kami tinggal d hotel di mana seminar itu diadakan.

Isteri hadir seminar dan saya ambil kesempatan berehat, walau sebenarnya, memang sntiasa berehat pun, tetapi di rumah dan di pejabat sahaja.





Apa yang ingin dituliskan ialah, keadaan di hotel ini sama sahaja seperti di tahun2 lain yang saya pernah ke sini. Meriah. Bising. Penuh aktiviti. Orang ramai masih boleh bercuti seperti biasa. Tidak terasa kegawatan yang berlaku agaknya.

Saya berdoa semoga kita semua tidak merasa kegawatan yang diwarwarkan itu. InsyaAllah.

Tuesday, March 10, 2009

Keperluan Atau Keinginan

Saya tertarik dengan salah satu nasihat dari seorang billioner terkenal Amerika, yang disarabkab kepada semua untuk diikuti dalam menempuh zaman kemelesetan ekonomi sekarang ini. Bukanlah saya peminat setia beliau tetapi jika ia nasihat yang baik perlulah diikuti jika mampu. Tak gitu?

Nasihatnya lebih kurang bermaksud, "Jangan terlalu ghairah membeli barangan yang tidak kita perlukan, kerana suatu hari nanti kita mungkin terpaksa menjual barangan yang kita amat perlukan."

Apa yang beliau maksudkan di sini amat jelas. Saya ingin mengingatkan diri saya dan sesiapa juga yang ingin dingatkan supaya berfikir dahulu, terutama pada masa2 gawat sekarang ini, samaada ianya hanya satu keinginan atau memang betul2 diperlukan sebelum berbelanja. Jangan berbelanja mengikut keinginan, tetapi ikut keperluan.

Secara fitrahnya, manusia sentiasa mempunyai keinginan yang berbagai. Begitu juga kerajaan yang memerintah. Malah dalam mengemukakan Bajet Tambahan pun kemungkinan perbelanjaan besar yang akan dikeluarkan bukan benar2 satu keperluan, tetapi hanya satu keinginan yang mungkin tidak akan memberi nilai tambah untuk menjana kelembapan ekonomi negara sekarang ini.

Saya bukan pakar ekonomi untuk memberi komen tentang perkara ini. Apa yang saya mampu lakukan ialah berdoa, agar semua langkah yang diambil untuk merangsang ekonomi negara akan berjalan seperti dirancangkan. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya nanti. Wallahaua'lam.

Sunday, March 08, 2009

PPSMI

Saya anak kampong, ibu bapa pun tak tahu berbahasa Inggeris. Pada masa itu terdapat dua aliran sekolah. Sekolah Melayu dan sekolah Inggeris. Boleh pilih. Saya memulakan pembelajaran saya dari sekolah Melayu (Sekolah Umum Chembong), sehingga darjah empat. Kami belajar semua mata pelajaran dalam Bahasa Melayu. Takda masalah.

Kemudian bapa mahukan saya belajar di sekolah Inggeris untuk cerah masa depan agaknya, maka saya diberitahu supaya menduduki peperiksaan untuk ke sekolah berpengantar Bahasa Inggeris di panggil Special Malay Class (SMC). Saya lulus dan dapat masuk belajar di sekolah Undang Rembau English School (Primary), di dalam kelas SMC One (sama dengan Darjah 4) dan SMC Two (Darjah 5). Semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris. Takda masalah termasuk pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik, tanpa ada keciciran.

Di darjah enam kami di kumpulkan semula bersama2 murid2 yang masuk sekolah Inggeris dari darjah satu. Pada masa itu peperiksaan darjah 6 ke sekolah menengah telah ditiadakan dan saya telah ke sekolah menengah Undang Rembau English School untuk pembelajaran seterusnya. Semua pembelajaran juga di dalam bahasa Inggeris. Takda masalah.

Pada masa tu takdelah orang nak tunjuk2 perasaan kenapa ada dua jenis sekolah, mereka merasa bersyukur anak2 dapat pembelajaran percuma dan boleh menjadi pandai. Bahasa pengantar tidak dipentingkan sangat agaknya. Tidak ada campur tangan politik. Yang penting anak2 boleh faham apa yang diajarkan.

Mungkin pada masa itu isu utama ialah untuk membasmi kemiskinan dan buta huruf. Siapa yang mampu belajar di sekolah Inggeris boleh belajar dan siapa yang mahu belajar di sekolah Melayu juga boleh. Yang penting, belajar dengan bersungguh-sungguh. Kini ramai rakan2 dari sekolah dua aliran itu menikmati kejayaan tanpa ada halangan.

Korikulum sekolah dan dasar pelajaran negara telah banyak berubah sejak itu, tetapi yang penting pembelajaran semakin meningkat. Keputusan peperiksaan setiap tahun bertambah baik.

Secara teorinya jika semua pembelajaran telah bertambah baik, tentulah dasar yang digubal telah dapat diimplementasi dengan baik dapat memenuhi keperluan pembelajaran di negara ini.

Jadi, saya merasa hairan apabila ia dianggap begitu teruk hingga perlu diketepikan. Ia terlalu banyak di perkatakan termasuk oleh cerdik pandai bahasa kita.

Anak bongsu saya yang kini belajar di menengah satu dan telah mula belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sejak ia diperkenalkan, merasakan adalah lebih mudah belajar dalam bahasa Inggeris dari bahasa Melayu, mata-mata pelajaran tersebut. Kawan-kawannya juga merasa begitu. Jika boleh dia mahu ia kekal begitu.

Saya rasa pandangan kanak-kanak ini jujur, apatah lagi mereka yang akan belajar dan mereka juga yang akan menerima akibatnya. Wallauhua'lam.

Tuesday, March 03, 2009

Pakar Dalam Bidangnya

Mereka pandai membezakan emas tulin atau hanya saduran. Kerana tak pernah orang memakai emas saduran diragut.

Mereka pantas memotong rantai emas yang diragut, tanpa mencederakan pemakainya, walau dari atas motosikal yang dipandu laju oleh rakannya.

Mereka mungkin ada guna ilmu pelindung kerana orang tidak perasaan akan kehadiran mereka.

Mereka pandai menggunakan taktik "element of surprise".

Mereka juga tidak simpan apa2 perasaan. Walau tua atau muda mereka sapu sama saja.

Mereka cekap memecah tingkap kereta untuk mengambil apa sahaja yang berharga yang boleh diambil.

Mereka tahu kedudukan banyak masjid2 dan surau2 tempat untuk menjalankan operasi.

Mereka tahu dengan tepat waktu orang sedang bersolat jemaah untuk melakukan operasi mereka.

Mereka datang dan pergi tanpa disedari. Hanya selepas mahu meninggalkan masjid, baru jemaah perasan mereka telah datang dan pergi.

Ya Allah, apabila mereka sudah terlanjur berada di masjid semasa orang sedang solat berjemaah itu, Kau lembutkanlah hati2 mereka ini untuk turut sama bersolat.

Dan jika selepas itu, mereka masih mahu mengambil kasut2 dan sandal2 kami, untuk dijual kerana tidak berwang untuk membeli makanan, kami redho, Ya Allah.