Sunday, March 27, 2011

IBU TIRIKU KAKAK SAUDARAKU

Walaupun Apak bercadang membawa kami balik ke Sepang, tetapi jauh di sudut hatinya, beliau mungkin tidak sampai hati untuk memisahkan kami dari saudara mara di Rembau itu. Peluang ini diambil sebaiknya oleh datuk untuk memujuk Apak agar berkahwin lain di Rembau juga. Beliau agak keberatan dan memberi alasan jika berkahwin dengan orang luar sudah tentu mereka tidak akan dapat memelihara kami berdua sebagai anak mereka sendiri.

Datuk yang lebih arif tentang hal itu mencadangkan agar Apak berkahwin dengan anak buahnya yang pada masa di dalam peliharaannya, Puan Inchom Binti Jani, yang baru berumur 17 tahun agaknya pada masa itu dan selalu menjaga kami semasa kecil dan memanggilnya kakak sahaja. Dipendekkan cerita mereka berkahwin dah saya terus memanggilnya kakak* sehingga sekarang (emak tiriku adalah juga kakak saudaraku).
Setelah berkahwin, Apak dan emak baru berpindah ke Kampong Air Hitam (di Rembau juga), membina rumah baru di tanah milik emak tiriku itu. Memandangkan emak baru masih muda maka kakak saya, Zainab, diminta untuk dipelihara oleh emak saudara sebelah emak. Puan Halijah Binti Rentah, yang tinggal di Kampong Chembong Halt itu. Tambahan pula, Mak Andah, panggilan kami kepadanya, masih belum ada anak perempuan lagi (beliau mendapat 2 anak perempuan selepas itu disamping 3 anak lelaki). Mak Andah juga adalah satu2nya adik-beradik emak saya yang masih hidup hingga sekarang, masih sihat, Alhamdulillah.
Kami berpindah ke kampong baru itu sekitar tahun 57/58 agaknya, dan bermulalah episod hidup baru di tempat baru. Saya bertemu kawan2 baru dan memulakan alam persekolahan juga dari kampong itu, Kampong Air Hitam (ada beberapa kampong bernama Kampong Air Hitam di NS) Kampong ini agak terkenal juga, kerana pada masa tersebut terdapat seorang Dukun yang agak terkenal tinggal di sana. Kabarnya pernah seseorang dari Istana datang untuk mendapatkan pertolongan darinya. Wallahua’lam.
Pada masa tersebut kebanyakan penduduk kampong bekerja kampong seperti menoreh getah, bersawah, membela ternakan seperti kerbau, ayam dan itek serta bercucuk tanam sayur2an untuk makanan sendiri. Apak pula ada kemahiran tambahan ia-itu menganyam atap dari daun rumbia dan bertukang membuat rumah.
Jika diikutkan, secara amalinya penduduk kampong telah terlebih dahulu mengamalkan penjanaan pendapatan yang berbilang. Namun begitu mereka berbuat demikian adalah kerana satu pendapatan sahaja tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga, walaupun tiada hutang rumah, bil air, bil api dan seumpamanya. Hanya lessen radio sebanyak RM12 setahun yang perlu dibayar, itu pun jika ada radio di rumah.. Lesen meningkat menjadi RM24 sebelum saya meninggalkan kampong untuk bekerja. Radio adalah adalah satunya punca maklumat disamping akbar yang dapat dibeli apaabila Apak keluar ke pekan Rembau atau Pedas.
Sebagai pesara tentera yang hanya menerima pencen RM45 pada mulanya dan bertambah menjadi RM60 dan seterusnya sehingga lebih RM250 semasa Apak meninggal pada tahun 1983 (akan diceritakan pada entri berikutnya). Untuk mnenapung keperluan keluarga yang bertambah ramai dari tahun ke setahun, Apak telah melakukan banyak pekerjaan dan berusaha dengan tulang empat keratnya untuk kebajikan keluarga…..apakah kerja/usaha yang dijalankannya kita tunggu entri seterusnya. Salam.

Nota kaki:
* Seperti apa yang saya masih ingat, kami dua beradik pada mulanya disuruh memanggil emak kepada kakak saudara kami itu, setelah beliau berkahwin dengan Apak. Tetapi oleh kerana beliau masih muda dan telah terbiasa kami memanggilnya kakak sahaja, kami diminta terus memanggilnya kakak. Maka kekallah panggilan kakak ini dan pada mulanya isteri saya juga agak keliru apabila saya memanggil emak mertuanya kakak…..hahaha. Namun begitu, walaupun dipanggil kakak, saya sungguh merasa bertuah. Benar seperti sangkaan datuk, kami telah dipelihara dengan baik dan dianggap seperti anak sendiri oleh “emak tiri” saya ini. Malahan tiada bezanya dengan adik2 tiri saya (ada tujuh semuanya), jika tidak lebih baik lagi, walaupun kini telah dewasa.

8 comments:

aNIe said...

Alhamdulillah... dpt mak tiri dari sedara sendiri... kerana rasanya lebih mudah untuk menyesuaikan diri...

Azlan Zed said...

wah, baru saya tahu wan andah namanya Halijah juger.

Fakta menarik hari ini.

:)

ZABS said...

Salam Anie. Ya, amat beruntung, kerana semasa dikampong berjiran dgn satu keluarga yang juga beranak tiri, sungguh terasa perbezaannya. Alhamdulillah.

ZABS said...

Alan, takpa, teruskan mengikuti memoir ini, anknda akan tahu lebih byk lagi ...haha.

Ismail aka Pak Mail said...

Saudara Zabs,

'Lesen meningkat menjadi RM24.....'

Teringat saya didenda oleh Peg. Jab. Penerangan suatu ketika dahulu kerana lesen radio/tv telah expired.

Riz Ardy said...

Bertambah menarik....
Saya setuju dengan kak Anie... Alhamdulillah kasih sayang dapat diteruskan..

ZABS said...

Pak Mail, RM24 untuk lesen TV dan radio kan?....kami tak pernash pula kena denda ..hihi.

ZABS said...

Riz...terima kasih kerana sudi baca cerita orang2 lama ni...hahaha.