Friday, March 25, 2011

SEMASA KU KECIL-KECIL

Kampong kelahiran saya ialah Kampong Chembong Halt*, Rembau, Negeri Sembilan. Ini adalah kampong asal arwah Emak, Mahanom binti Rentah yang lahir pada tahun 1928. Beliau anak ketiga dari 4 adik-beradik, berketurunan minang, suku Biduanda+, tetapi bukan SUKU yang boleh dilantik menjadi Undang Luak itu…takda nasiblah…hahaha. Saya tidak banyak tahu tentang nenek kerana meninggal semasa saya masih hingusan. Arwah datuk pula, Rentah bin Abu Bakar berkahwin lain setelah nenek meninggal dunia dan tinggal di rumah yang lain, walaupun di kampong yang sama.
Bapa, atau panggilan dari anak2 “Apak” ialah, Soot bin Haji Tahir, dilahirkan pada 1917 di Kampong Batu Dua, Sepang, Selangor. Beliau berdarah Jawa dari sebelah bapanya. Bapa adalah yang kedua dari 6 adik beradik. Sedikit yang saya tahu tentang arwah datuk ialah, beliau telah datang ke Malaya dari pulau Jawa, semasa masih remaja, dan terus menetap di Sepang dan berkahwin dengan gadis tempatan. Apak membesar di Sepang dan kemudiannya memasuki pasukan bersenjata. Gambar beliau yang segak beruniform dan banyak tergantung di dinding di rumah kami, sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya untuk mengikuti jejak beliau. Beliau berkhidmat di dalam pasukan Askar Melayu agaknya. Pangkat terakhir beliau sebelum bersara ialah Sarjan Mejor.
Menurut cerita bapa, beliau memohon berhenti awal kerana tidak mahu berkhidmat di bawah pegawai yang dahulunya adalah anggota lain-lain pangkat, semasa sebelum Malaya jatuh ke tangan Jepun. Apabila pihak British kembali memerintah, ada di kalangan rakan2nya telah mengaku berpangkat pegawai, dan diterima seadanya kerana tiada rekod perkhidmatan yang lengkap pada masa tersebut.
Bagi yang jujur pula, mereka mengakui pangkat sebenar mereka, iaitu anggota lain-lain pangkat, dan mereka juga diterima seadanya. Apabila perkara (mengaku pegawai) ini diketahui beberapa tahun kemudiannya, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian dari mereka termasuk juga Apak. Tiada tindakan diambil kerana berkemungkinan pihak British tidak mahu perkara ini menjadi isu. Apak akhirnya mengambil keputusan untuk bersara awal. Beliau di bayar pencen sebanyak RM45# sebulan pada masa itu dan seterusnya menetap di kampong dan melakukan kerja2 kampong.
Apak dan emak berkahwin pada tahun 1946. Oleh kerana Apak bukan orang Negeri Sembilan dan tidak bersuku, Apak perlu masuk “suku” dahulu, baru boleh berkahwin dengan emak. Untuk tujuan itu, Apak telah diambil sebagai anak angkat oleh salah seorang kerabat kepada datuk, yang bersuku lain dari emak. Lupa pula suku apa, tetapi begitulah adatnya pada masa itu. Alhamdulillah mereka selamat dinikahkan.
Jodoh mereka tidak panjang sebenarnya. Emak meninggal muda (1956), ketika berusia 28 tahun, ketika itu saya belum pun berusia 5 tahun. Mereka dikurniakan dua orang anak, kakak saya Zainab, yang 4 tahun lebih tu, dan saya yang dilahirkan pada Disember 1951. Seperti yang saya diberitahu emak sakit batuk darah dan tidak dapat diselamatkan lagi. (Al-Fatehah untuk semua arwah yang telah meninggal dunia....Aamiiin).
Selepas kematian emak, bapa yang begitu merasai kehilangannya bercadang membawa kami dua beradik balik ke kampongnya di Sepang, kerana tiada siapa lagi yang akan menjaga kami yang masih kecil. Cadangan bapa ini tidak direstui oleh arwah datuk pada masa itu dan sedikit salah faham berlaku. Apa yang terjadi selepas itu? Harap ikuti sambungannya pada entri akan datang….TK.
Nota Kaki:
*Kampong Chembong Halt ini mendapat namanya kerana pada satu masa dahulu, terdapat satu stesen kereta di tengah2 kampong itu. Keretapi akan berhenti di sini untuk mengambil penumpang. Tetapi ia telah lama ditutup dan kini stesennya pun sudah tiada lagi. Stesen keretapi terdekat sekarang ialah di pekan Rembau. Teringat semasa kecil dahulu, apabila keretapi melalui kampong itu, ramai kanak-kanak akan melambai2 kepada penumpang di dalam keretapi, yang kebanyakannya orang putih dan tentera. Ada penumpang yang baik hati akan menjatuhkan gula2 atau coklat kepada kanak2 tersebut, yang dengan gembira akan berebut2 mengambil “hadiah” dari penumpang2 tersebut.

+Tidak banyak yang saya tahu tentang persukuan ini. Namun jika hendak ditulis panjang jugalah. Mungkin satu masa nanti. Ada banyak juga buku yang boleh dirujuk jika perlukan maklumat tentangnya.

#Pencen Apak bertambah mengikut peredaran masa, dan sekarang ini pencen tersebut, masih diterima oleh emak tiri (ini akan diceritakan pada lain entri) saya, telah bertambah menjadi lebih RM350.

7 comments:

Riz Ardy said...

tercari-cari butang 'like', rupanya takde kat sini. Episod pertama dah menarik, nak tunggu episod seterusnya.... jeng jeng jeng..
Nota kai tu menarik... Teringat zaman kecik2 dulu, mmg ada satu tren yang membawa anggota tentera dari Utara ke Selatan, tp Melayu lah, sbb dah merdeka. Kami pun sama, melambai2 ke arah mereka, dan kalau ada rezeki, dapatlah gula gula, atau makanan askar yang dalam aluminium foil tu... hehe..
Tunggu episod brikutnya..

Zabs said...

Salam Riz. Takda hadiah untuk pengomen pertama ok! Tapi terima kasih lah juga kerana membaca tulisan orang yang dah lama tak pergi sekolah ni...haha.

Riz Ardy said...

oooo..biasanya ada hadiah ke? tak tau pulak...hehe.
Ok lah tu dah lama tak pergi sekolah masih boleh tulis, yg tak berapa lama tinggal sekolah ni takleh tulis, apa citer? hehe.

PakMail said...

Saudara Zabs.

Handsome Apaknya itu,

Zabs said...

Terima kasoh Pak Mail. Itu je antara beberaap gambarnya yang ada disimpan. Maklum dulu2 manalah nak mampu beli kamera...huhu.

MA said...

Interesting!
Saya dan my other siblings pun sedang berusaha interview sedara mara yg lebih tua utk dapatkan sejarah kehidupan org tua kami.

Zabs said...

MA: Saya cerita apa yang teringat je ni. Nak research2 ni akan ambil masa dan tak bertulis pulak nanti. Kalau dapat maklumat baru boleh tokok tambah je nanti, asalkan sudah dimulakan. Penulisan sebuah Memoir bermula denga perkataan yang pertama...cewaaah..