Saturday, September 16, 2006

Wang

Saya tidak mempunyai kemahiran dalam ilmu kewangan dan tidak juga terlibat secara langsung dalam bidang kewangan. Tetapi sebagai orang LAMA, sedikit sebanyak saya telah banyak berurusan dan membelanjakan WANG, sama ada wang saya sendiri atau wang orang lain yang saya telah diberi hak untuk membelanjakannya. Dan saya merasakan perlu untuk memberi sedikit pandangan tentang keperluan untuk menguruskan kewangan dengan sebaiknya.

Dari ingatan saya, kita tidak pernah diajar secara formal cara-cara untuk menguruskan kewangan, melainkan jika kita mengambil kursus yang berkaitan dengannya. Kita hanya mengikut hati ketika berbelanja. Namun begitu telah menjadi kewajipan bagi kita berurusan atau terlibat dengan keperluan untuk menguruskan kewangan kita walau sedikit mana pun yang kita ada. Lagi sedikit wang yang kita ada, lagi perlu untuk kita lebih berhati-hati menguruskannya. Dari alam persekolahan sehingga ke universiti dan seterusnya apabila kita bekerja dan akhirnya bersara, kita sentiasa perlu menguruskan kewangan, tidak kira sedikit atau banyak, tidak kira kita mahu atau tidak.

Bagi mereka yang mempunyai banyak wang, sudah tentu mereka telah ada pengurus kewangan sendiri, maka apa yang yang saya ingin tuliskan adalah pengurusan kewangan secara orang biasa, kita, saya dan anda semua yang merasakan diri mereka tidak kaya.

Walau pun terdapat banyak buku berkenaan pengurusan kawasan di pasaran, samada di dalam bahasa Melayu atau Inggeris, yang memberikan cara-cara terkini mengumpul dan menguruskan kewangan kita, tetapi adakalanya ia adalah terlalu baik untuk menjadi kebenaran (too good to be true). Kalau begitu, tentulah mustahil untuk menjadi kenyataan.

Di bawah diturunkan beberapa prinsip yang jika diikuti dengan penuh kerelaan akan membantu kita menjadi seorang yang mempunyai kebebasan kewangan (financial freedom):

a. Bayar Diri Sendiri Dahulu. Bermaksud menyimpan terlebih dahulu sebahagian dari pendapatan (sekurang2nya 10% dari pendapatan) setiap kali mendapat gaji, biasiswa atau lain-lain punca pendapatan. Bukan untuk dibelanja untuk diri sendiri tetapi simpanan untuk hari depan, walau sedikit, jika berterusan akan menjadi banyak akhirnya dan bersara dengan selesa.

b. Belanja Secara Tunai. Kecuali untuk pembelian yang besar, seperti rumah, pembelian yang lain hendaklah secara tunai. Jika kita tidak boleh membeli tunai, bermakna kita belum mampu lagi memiliki barangan tersebut.

c. Berhati-Hati Dengan Kad Kredit. Mungkin Kad Kredit ini satu keperluan bagi mereka yang banyak membuat tugasan luar dan membawa wang tunai yang banyak pula mungkin tidak selamat pada masa sekarang. Jika perlukan kad kredit dapatkan yang ada yuran tahunan, boleh dibayar melalui internet, setiap transaksi dibayar setiap bulan dan berbelanja jika mampu membuat pembayaran apabila bilnya tiba.

d. Buat Perancangan. Biasa apabila perlu membuat perbelanjaan yang besar, ianya harus dirancang terlebih dahulu. Ini termasuklah bayaran untuk insuran, bercuti berkahwin dan seumpamanaya. Jika setiap tahun perlu mebayar insurans kereta sebanyak RM1,200 setahun. Maka perlulah mengumpul RM100 sebulan untuk dapat menbuat bayar tersebut dengan mudah. Begitu juga jika untuk berkahwin memerlukan belanja hangus RM24,000, dan kita hanya dapat mampu menyimpan RM200 sebulan, makan tunggu lah sepuluh tahun untuk berkahwin. Tetapi kalau tak sanggup tuinggu 10 tahun, berusahalah dengan lebih lagi untuk meningkatkan simpanan untuk kahwin tersebut. Perlu diingat rancangan simpanan yang ini adalah tambahan kepada Bayar Diri Sendiri Dahulu itu, kerana ia untuk simpanan masa hadapan.

e. Berbelanja Dengan Berhemah. Akhirnya kita perlu berbelanja secara berhemah. Jika kita rasa mampu makan di gerai, tetapi jika membeli bahan-bahan mentahnya dan memasak sendiri akan dapat mengurangkan perbelanjaan anda, kenapa tidak sesekali memasak sendiri. Begitu juga dengan tabiat suka membeli pakaian berjenama. Memakai pakaian berjenama sahaja tidak akan manaikkan martabat seseorang. Sebaliknya pemakai itu yang menaikkan martabat jenama tersebut. Jika tiada orang yang membeli sesuatu jenama itu, umpamanya jenama ini, . Ia tidak terkenal kerana tiada orang yang memberi publisiti untuknya.. Tetapi apabila ada yang membelinya dan meberikan pula publisiti hebat untuknya, barangan tersebut menjadi terkenal dan harganya pula menjadi mahal dan akhirnya anda sendiri menjadi tidak mampu untuk membelinya.

Ada banyak lagi perkara yang boleh di kongsi di dalam hal ini dan saya mengalu-alukan komen dan pandangan semua yang sudi menulis.

Salam Berhemah.

2 comments:

mohd azmir said...

waduh2!! nampak gayanyer ayah dah takleh ar pakai baju mahal2!! beli baju kat reject shop ar jawabnyer.. hehehe.. =)

ZABS said...

Yelah tu. Anak-anak dah tolong belanjakan.