Tuesday, October 10, 2006

Mungkir

Seekor kala-jengking telah meminta seekor katak untuk membawanya menyeberangi sebuah sungai. Katak pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, kerana takut disengat kala-jengking yang pernah menyengat katak satu masa dahulu. Walau bagaimanapun kala-jengking memujuk dengan berjanji bahawa dia tidak akan berbuat demikian, kerana ia akan membahayakan dirinya juga. Setelah berpuashati dengan janji dari la-jengking itu, katak pun berenanglah membawa kala-jengking di atas belakangnya menyeberangi sungai tersebut. Di pertengahan jalan kala-jengking memungkiri janjinya dengan menyengat katak tersebut. Sengatan yang sangat bisa itu melemahkan katak dan sebelum tenggelam katak telah bertanya kepada kala-jengking buat kali terakhirnya kenapa dia berbuat kemudian kerana mereka akan tenggelam dan mati bersama di dalam sungai tersebut. Kala-jengking berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah tabiat semulajadinya dan dia akan berbuat demikian setiap kali ada kesempatan.
Mungkin cerita ini telah pernah anda dengar tetapi apa yang hendak dikongsi ialah iktibar yang boleh dipelajari. Seseorang yang telah biasa memungkiri janji, kebarangkaliannya adalah pada tahap 95% akan memungkirinya lagi janjinya pada masa hadapan.

Kita akan sering bertemu dengan orang-orang yang selalu tidak menepati perjanjian dalam perniagaan atau seumpamanya, dan akan terus menerus melakukannya dari masa ke samasa. Walaupun telah mengaku kesalahan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi, tetapi akan tetap melakukannya semula. Ini sudah menjadi adat manusia yang sering melakukan kesilapan dan sukar untuk berubah.

Orang-orang begini seharusnya tidak diberi muka lagi pada masa akan datang. Jika sekiranya pun mereka telah meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulanginya, kita perlu lebih berhati-hati dengan mereka kerana kebarangkalian untuk mereka melakukannya semula adalah lebih tinggi.

Kita akan lebih berhasil jika beralih kepada kenalan baru atau perkara baru untuk diberi tumpuan. "Dipatuk ular yang sama pada lubang yang sama dua kali adalah menunjukkan kebodohan diri kita sendiri".

No comments: