Tuesday, July 31, 2007

Pahlawan Ku

Hari ini 31 Julai, adalah Hari Pahlawan, yang disambut setiap tahun di Malaysia, biasanya dengan pelancaran Kempen Hari Pahlawan sebulan sebelumnya. Tetapi nampaknya tahun ini kempen tersebut yang telah dilancarkan pada awal bulan ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dari badan-badan koporat seperti yang dilaporkan oleh akbar arus perdana seperti berikut:
Kementerian Pertahanan hari ini kecewa dengan sikap sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya golongan korporat yang kurang memberi sambutan kepada Kempen Hari Pahlawan.

Timbalan Menterinya, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, selama ia dianjurkan, jumlah badan korporat yang mahu memberi sumbangan adalah terlalu sedikit hingga menyebabkan pihaknya gagal melepasi kutipan sasaran.

Ujarnya, sebagai contoh pada tahun lalu kutipan yang berjaya diperoleh adalah sekitar RM600,000 dan ia adalah hasil sumbangan daripada agensi yang berkaitan dengan dunia ketenteraan.

Sebenarnya saya bukanlah bermaksud untuk berkempen bagi tujuan tersebut, tetapi ingin membuat dedikasi untuk satu-satunya Pahlawan di dalam hidup saya. Walau pun kini beliau telah tiada lagi, namun kenangan terhadapnya akan kekal ke akhir hayat. Sungguhpun beliau tidak akan mendengar atau membaca apa yang saya ingin sampaikan, namun saya rasa perlu untuk menyatakannya, kerana dahulu saya tidak berpeluang berbuat demikian semasa beliau masih hidup. Mungkin ketika itu saya menganggap beliau tahu yang saya menyayanginya tanpa perlu memberitahu. Orang yang saya maksudkan ialah arwah bapa yang saya kasihi.


Saya tahu beliau sentiasa menyayangi saya, kerana, walaupun telah dewasa dan berkahwin, beliau masih mengambil berat tentang saya semasa hayatnya. Beliau akan menulis kepada saya jika saya pergi berkursus atau berada di luar negara. Beliau juga akan bertanyakan khabar keluarga saya, semasa saya berada jauh, dari isteri dan anak2.
Kali terakhir saya bersama beliau, ialah ketika akan ke New Zealand bersama keluarga pada 1982. Itulah kali terakhir saya bersamanya. Pesannya ketika itu ialah supaya saya menjaga keluarga dengan baik. Beliau meninggal pada tahun berikutnya semasa saya di NZ. Walaupun saya dapat pulang selepas menerima telegram dari kampong, tetapi tidak sempat untuk menatap wajahnya buat kali terakhir.
Kami adik beradik dibesarkan dengan penuh disiplin, kerana beliau adalah seorang bekas tentara darat. Saya berterima kasih kepada beliau kerana dengan disiplin itulah telah menjadikan saya seperti hari ini. Beliau bersara pada usia masih muda, lingkungan 30an, dan mendapat pencen RM60 pada masa itu. Ada misteri di sebalik kenapa beliau bersara awal tersebut, tetapi beliau tidak bercerita panjang, cuma memberi tahu, manusia ini tidak jujur dalam banyak hal dan beliau tidak mahu bersubahat.

Beliau seterusnya bekerja kampong untuk menyara keluarga, termasuklah bersawah padi, membela ternakan dan menoreh getah. Saya amat tersentuh dengan dedikasi beliau kerana sehingga berumur 60an masih bekerja seperti biasa. Dan tidak hairanlah kalau beliau kelihatan lebih muda dari usianya. Beliau meninggal pun tidak kerana sakit tua, tetapi kerana kemalangan motorsikal.

Di hari ini, pada Hari Pahlawan ini, di samping mengingati pahlawan2 bangsa kita, yang tidak syak lagi telah banyak berjasa kepada bangsa, negara dan agama, kita juga ada pahlawan kita tersendiri, seperti saya, arwah bapa adalah seorang pahlawan untuk keluarga saya, dan segala jasanya amat bermakna bagi kami sekeluarga. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang2 yang soleh. Al Fatehah.

8 comments:

alan zed said...

alfatihah untuk nenda. semoga roh beliau dicucuri rahmat. dan ditempatkan bersama orang yang beriman. amin.

(only good die young)

tokasid said...

Salam pak zabs:

Innalillahi wa inna ilahi roji'un buat arwah ayah pak zabs.
MasyaALLAH, hebat beliau,berhenti askar atas dasar prinsip.

Arwah ayah saya juga bekas askar.Mula2 British Army di Spore kemudian di serap ke dalam 2 Angkut. Lama di Taiping sehingga 6 adik2 saya adalah kelahiran Taiping.

Bila saya baca posting pak zabs ini, saya terus terkenang arwah bapak dan sekali gus lagu Ebiet G. Ade: Titip Rindu buat Ayah.

Saya doakan semoga ALLAH rahmatkan roh ayah pak zabs dan bapak saya dan sertakan mereka bersama org2 yg mendapat syafaat Rasulullah s.a.w. Ameen.

zabs said...

alan: Doa anak dan cucu yang soleh terbaik untuk arwah.

TA: Terima kasih atas doa tuan. Saya juga berdoa semoga ALLAH rahmatkan roh bapak tuan dan sertakannya bersama org2 yg mendapat syafaat Rasulullah s.a.w. Ameen.

Kak Lady said...

Salam buat en. Zabs...Al-Fatihah buat arwah yang telah pergi...moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat...

Memang benar...kita semua mempunyai pahlawan hati kita sendiri...

SELAMAT HARI PAHLAWAN UNTUK SEMUA PAHLAWAN2 NEGARA KITA....

zabs said...

Kak Lady: Terima kasih.

Fauziah Ismail said...

Salam Pak Zabs
Al-Fatihah for your late father.
Postings like these reminds me of my own late father and those elders who have since died.
Each and everyone of them were warriors in their respective ways.

acciacca2ra said...

salam pak zabs,
AlFatehah untuk arwahnya.

teringat kembali cita-cita saya memasuki RMC, yang tidak kesampaian tu.

zabs said...

Fauziah: Terima Kasih.

Accia: Kita merancang, Allah menentukan. Saya 3 bulan je di RMC. Selebihnya di tempat2 lain.