Tuesday, September 05, 2006

MLM

Betulkah perniagaan MLM wujudkan banyak jutawan? Begitulah tajuk satu rencana yang telah ditulis oleh seorang bekas ahli MLM. Beliau telah menulis seperti berikut.
"KONON nya ramai rakyat Malaysia menjadi jutawan dengan menceburi dunia perniagaan yang berkonsepkan MLM (multi level marketing) atau pemasaran bertingkat.
Syarikat yang menggunakan konsep MLM ini telah mencanangkan perihal ramai yang menjadi jutawan melalui cara ini. Maka lebih ramailah yang terdorong untuk melanggani produk syarikat berkenaan kerana mahu menjadi jutawan.
Adakah benar konsep MLM ini melahirkan jutawan? Kini konsep MLM telah berubah kononnya menjadi lebih efisien dengan tidak perlu menjual barang untuk memperoleh pendapatan lumayan.
Konsep perniagaan MLM hari ini dilaksanakan hanya dengan membeli pakej daripada syarikat yang menjalankan perniagaan MLM itu dan menaja rakan supaya membeli pakej yang mengandungi beberapa jenis barang untuk kegunaan peribadi.
Tajaan demi tajaan akan memberikan hasil yang lumayan dalam masa yang singkat. Persoalannya bagaimana rakan niaga yang berikutnya yang tidak lagi berupaya menaja? Adakah mereka juga akan menikmati pendapatan yang lumayan seperti yang dijanjikan?
Saya menyertai sebuah syarikat jualan langsung berkonsep MLM yang diuar-uar sebagai konsep baru yang menakjubkan, menjana pendapatan yang menjanjikan saya menjadi jutawan tanpa menjual barang. Dengar memang seronok.
Memang benar saya tidak perlu jual barang. Saya hanya jual pakej produk dan pendaftaran keahlian kepada orang lain dan begitulah berikutnya kepada rakan niaga saya. Apabila terlibat, barulah saya nampak bahawa syarikat terbabit menangguk di air yang keruh.
Pakej produk mengandungi beberapa barang untuk kegunaan peribadi yang antaranya berharga tidak masuk akal! Bayangkan sekotak kopi mengandungi 10 paket kecil yang khasiatnya dikatakan sungguh menakjubkan itu berharga RM120.
Setelah mencuba, saya dapati kopi tersebut tiada bezanya dengan kopi keluaran syarikat perniagaan konvensional lain.
Keuntungan
Seseorang hanya boleh mendapat keuntungan jika berjaya menaja ramai ‘rakan kongsi’ yang akan mencari ‘rakan kongsi’ lain dalam usaha untuk menjadi jutawan.
Jika semua berusaha menjadi penjual kopi RM120 itu, berapa ramai yang akan jadi kaya?
Yang pasti syarikat berkenaan tetap beroleh keuntungan besar hasil ramai yang terpedaya mahu jadi jutawan ‘cara mudah’.
Saya lihat perniagaan cara ini mirip skim cepat kaya. Siapa yang cepat dia dapat. Siapa yang kemudian akan terlepas. Bezanya anda membayar dan mendapat barang yang berharga tidak munasabah.
Oleh itu saya berpendapat pihak berkuasa kerajaan berkenaan yang mengeluarkan lesen perniagaan ini hendaklah mengkaji skim MLM ini dan memantau semua syarikat skim perniagaan langsung yang terlibat.
Tidak dinafikan semakin ramai rakyat Malaysia yang apabila mendengar tentang tawaran menjadi jutawan MLM, akan mudah terpengaruh.
Melalui pengalaman, saya mendapati bahawa bercakap tentang skim pemasaran ini memang mudah, tetapi melaksanakannya tidak semudah apa yang kita dengar dan cakap!"


Pada keseluruhannya saya bersetuju dengan apa yang ditulis oleh beliau.


Salam Perubahan.


No comments: