Sunday, September 17, 2006

Warisan 1

Pak Guru selalu berpesan bahawa warisan yang paling berharga bagi setiap umat Islam selain AL Quran, ialah Hadis Baginda Rasullullah SAW. Ianya lebih berguna dari harta yang bertimbun. Ini kerana harta apabila dibelanja akan habis tetapi Warisan ini akan menyelamatkan kita di akhirat kelak.
Pesanan Baginda SAW yang akan saya sampaikan pada kali ini, yang telah diterjemahankan, adalah seperti berikut:
“Lagi akan datang ke atas umatku suatu zaman di mana yang lebih penting baginya ialah perutnya, kemuliaan seseorang itu ialah perhiasaan/hartanya, kiblatnya ialah perempuan dan agama mereka ialah wang. Semua mereka ini adalah sejahat-jahat makhluk dan tidak akan mendapat habuan Allah nanti di akhirat”.
Jika kita amati dengan teliti keadaan zaman kita sekarang, kita akan menyedari adakah zaman tersebut telah datang atau sebaliknya. Apa yang hendak kita lakukan sekarang semuanya akan dikaitkan dengan makan. Untuk kenduri doa selamat disediakan makanan selepasnya. Mesyuarat dipejabat, menu untuk makan selepas mesyuarat ditentukan dahulu. Malam Jumaat akan ramai makmum di Masjid dan Surau, kerana ada jamuan yang enak disediakan selepas membaca Yasiin dan bertahlil. Walaupun makanan adalah keperluan asasi kita, tetapi janganlah pula kita hidup untuk makan sahaja dan akan lebih parah lagi jika makan untuk mati. Makanan yang berlebihan dan tidak seimbang adalah tidak elok untuk kesihatan. Ia boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung. Yang sebaiknya, biarlah kita makan untuk hidup dan dapat berbakti untuk Agama, Bangsa dan Negara. Sederhana dalam pemakanan adalah kunci untuk kesihatan semasa hidup kita yang singkat ini.
Zaman sekarang juga adalah zaman manusia berlumba-lumba untuk mencari kesenangan, Umum, manusia menganggap kemuliaan seseorang itu terletak pada perhiasan atau kekayaan yang dipunyainya. Mereka akan disanjung seolah-olah kekayaan itu yang akan menjamin kehidupan mereka di akhirat kelak. Di mana, hakikatnya, jika harta yang mereka punyai itu jika tidak di gunakan untuk kebaikkan, ia akan menjadi bahan bakar api yang akan membakar mereka kelak di neraka.
Perempuan pula menjadi kiblat atau arah tuju kaum lelaki dewasa ini. Sanggup membelanjakan wang yang banyak hanya semata mata untuk mendapat perempuan yang diingini. Mereka sanggup menghadapi risiko penyakit yang tiada ubatnya kerana perempuan. Kahwin di luar negara kerana perempuan. Dan seribu satu macam lagi perlakuan kerana perempuan.
Allah mewajibkan perkahwinan bagi menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita demi menjaga maruah wanita dan seterusnya keturunan manusia itu sendiri. Sebaiknyalah ia dijaga dengan penuh tanggungjawab.
Akhirnya, wang manjadi agama bagi mereka. Riba dan rasuah, di mana semua yang terlibat dengannya akan di laknat oleh Allah SWT, berlaku dengan meluasnya. Ada yang mengetahuinya tetapi terus melakukannya kerana “terpaksa” atau memang tidak merasa bersalah. Seperti kata Pak Guru, ada fulus semua lulus. Ada pelincir semua bergerak laju. Kalau tidak projek tak dapat, atau banyak masalah “ditimbulkan” dalam melaksanakan projek tersebut. Kerana wang manusia sanggup melakukan semua perkara. Seludup masuk PATI, edar dadah dan bermacam-macam lagikegiatan haram, hanya kerana wang adalah matlamat mereka, agama mereka.
Oleh yang demikian marilah kita bertekad untuk menjauhkan diri dari amalan-amalan tersebut. Semuga kita diberi taufik dan hidayahNya untuk melalui zaman yang serba mencabar dan penuh dengan pancaroba ini. Kalau dahulu hanya ketika berada di luar negara perkara-perkara ini akan di alami, tetapi di zaman globalisasi ini, yang mustahil tidak lagi mustahil, sebaliknya yang tidak mustahil menjadi mustahil pula.
Salam Ingatan.

No comments: