Wednesday, September 06, 2006

Remaja

Untuk Renungan Para Ibu Bapa, di bawah ini diturunkan satu tulisan yang telah di salin dari sebuah surat khabar harian kita.
"APA dah jadi dengan remaja Melayu Islam masa kini? Persoalan yang sedia wujud dan mungkin tidak begitu menarik perhatian ramai. Apa yang akan dibentangkan di ruangan ini adalah satu kenyataan yang patut direnung bersama.
Percaya atau tidak sebahagian besar remaja Melayu Islam sama ada lelaki atau perempuan tidak tahu perkara asas agama Islam termasuk mengucap dua kalimah syahadah.
Daripada 10 orang yang disoal hanya seorang yang boleh dikatakan `bolehlah' memahami dan mengetahui perkara asas agama Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah dan pengertiannya, mengetahui cara mandi wajib, mengetahui cara mengambil wuduk, tahu niat sembahyang dan bacaan asas dalam sembahyang serta rukun sembahyang. Kalau disoal secara lebih mendalam sudah pasti banyak lagi masalah yang akan diketahui.
Ini adalah statistik yang diperoleh daripada temu bual dengan anggota Perajurit Muda Tentera Darat yang baru memulakan perkhidmatan yang purata umur mereka adalah antara 19 hingga 23 tahun.
Syukur alhamdulillah mereka diberi petunjuk dan hidayat untuk memasuki Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana setiap individu akan disoal dan diuji sepenuhnya berkaitan pengetahuan mereka dalam asas agama Islam.
Segala kelemahan mereka akan dirujuk kepada guru agama pasukan untuk diberi bimbingan dan tunjuk ajar sehingga mereka mencapai tahap yang ditetapkan oleh perkhidmatan.
Timbul persoalan tentang rakan sebaya mereka yang bekerja di sektor awam, swasta, bekerja sendiri atau yang masih menganggur. Siapa yang akan memantau mereka di luar sana? Siapa yang akan menyoal mereka tentang tahap kefahaman mereka dalam aspek agama?
Kalau dalam perkhidmatan ATM, anggota baru diarah ke masjid dan surau bagi mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan dan perlu berada di tempat ibadah sehingga selesai majlis dan akhirnya dalam tempoh tertentu mereka akan dapat memahami tentang agama secara tidak langsung. Sikap mereka akan berubah melalui ilmu yang diajar.
Apa pula yang dapat dilakukan oleh masyarakat kita di luar sana dalam mendidik remaja ini. Kalau ditegur orang tersebut akan diherdik. Itu dikira bernasib baik jika tidak dipukul. Maka tidak hairanlah kalau kita dapati pelbagai kes jenayah dan pencemaran budaya yang melibatkan remaja berlaku secara berleluasa.
Mereka ini sudah pasti jahil tentang asas agama. Mereka tidak tahu tentang perkara-perkara yang haram dan halal kerana tiada asas agama yang kukuh.
Hasil kajian yang dijalankan, kebanyakan mereka ini kali terakhir melakukan suruhan asas agama Islam pada usia 13 tahun. Selepas itu mereka akan bercampur dengan rakan sebaya, termasuk yang tidak mengetahui asas agama, dan mula mengabaikan tuntutan asas agama dan akhirnya pengetahuan yang ada pada usia tersebut terhakis. Inilah kesimpulan yang diperoleh daripada soal selidik yang dijalankan ke atas perajurit muda yang dinyatakan di atas.
Oleh itu kita masyarakat Melayu Islam terutama ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan Islam secara total dan berterusan. Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan soal agama anak - anak hanya kerana mereka mencapai umur tertentu.
Mereka perlu terus dididik, diasuh dan dipantau sehingga mereka benar-benar boleh berdikari. Mereka juga perlu diajar dengan perkara-perkara hukum dan adat budaya.
Orang Melayu sebenarnya beruntung kerana mempunyai nilai adat budaya yang murni. Namun kini ia semakin terhakis akibat kurangnya perhatian kepada persoalan tersebut.
Sedikit nilai paksa dalam mendidik anak bangsa tidak akan mencerminkan pelanggaran hak asasi manusia kalau akhirnya hasil yang dilahirkan adalah mereka yang berilmu, beriman dan bertakwa.
Orang Melayu Islam harus sedar mereka adalah tonggak kepada negara ini. Lemah pegangan agama, maka lemahlah bangsa. Lemah bangsa maka lemahlah negara."


Salam Renungan.

No comments: