Pagi tadi semasa di dalam perjalanan ke pejabat, saya mendapat panggilan telefon dari pejabat, memberitahu Puan Zabs telah menalipon memberitahu ada kebakaran di rumah jiran bersebelahan dengan jiran di belakang rumah saya. Saya mengambil keputusan untuk balik semula ke rumah, untuk mengetahui keadaan sebenar, juga jika perlu berbuat sesuatu.
Apabila sampai di rumah, saya diberitahu kebakaran itu telah pun berjaya dipadamkan, walaupun pihak bomba (yang telah dipanggil) belum tiba lagi.

Sebenarnya ia adalah kebakaran kecil sahaja di bahagian dapur yang berpunca dari kebocoran dapur gas. Apinya telah merebak hingga ke kabinet dapur. Mulanya ia cuba dipadamkan dengan menggunakan air, tetapi api menjadi lebih besar pula.

(Gambar dari internet)
Mujurlah pihak kontaktor yang sedang membuat kerja ubahsuai rumah seorang lagi jiran, ada membawa bersama alat pemadam api (mungkin seperti gambar di atas), dan berjaya diguna untuk memadamkan api tersebut.
Pihak bomba yang datang beberapa minit kemudian, mungkin merasa lega kerana api telah dipadamkan. Namun mereka mungkin telah memberi sedikit nasihat tentang pentingnya membuat pemerikaan berkala terhadap dapur2 gas yang digunakan di rumah2 untuk mengelak dari kebocoran. Ia berkemungkinan dapat mengelakkan kebakaran seperti ini dari berlaku. Ini mengingatkan saya untuk membeli alat pemadam api seperti itu juga. InsyaAllah.