
Mempunyai rumah yang besar, cantik dan di lokasi yang menarik mungkin menjadi idaman ramai orang. Bahkan ia tidak menjadi masalah di ibu kota ini, jika kita mempunyai wang yang cukup. Terdapat banyak pilihan untuk memuaskan cita rasa sesiapa saja.

Walaubagaimana pun saya tidak berniat untuk memberi tip bagaimana hendak membuat pilihan untuk rumah idaman anda itu. Ia terpulang kepada kemampuan individu itu sendiri. Tepuk dada dan tanyalah "akaun anda" di bank.

Apa yang ingin saya ceritakan, ialah tentang beberapa kesilapan, berhubung keputusan membeli dan tidak membeli rumah, yang telah saya buat pada masa lalu, yang mungkin boleh dijadikan pengajaran.
a. Kerana Belum Bersedia... Pada pertengahan tahun '70an, seorang bapa saudara, yang telah mempunyai beberapa rumah di sekitar KL, menasihatkan saya untuk membeli sebuah rumah, di satu projek perumahan di pingiran KL. Rumah teres setingkat itu berharga sekitar RM35k, pada ketika itu, dan saya hanya perlu mengadakan deposit RM3.5k, dan selebihnya akan diuruskan oleh beliau. Ia termasuk menyewakannya jika saya tidak tinggal di rumah itu, kerana ketika itu saya bertugas di JB. Saya hanya perlu membayar bulanan sebanyak RM300 selama 10 tahun.
Keputusan saya pada masa itu ialah belum bersedia untuk membeli rumah. Merasa masih muda, dan belum ada perancangan untuk memiliki apa2 hartanah lagi. Walaupun dinasihat dengan segala logik, saya tetap tidak membeli rumah itu.
(Sepuluh tahun kemudian, saya telah ditugaskan di KL dan menyewa rumah RM600/sebulan. Rumah dahulu yang saya tidak berminat hanya beberapa km sahaja dari rumah sewaan saya. Sewa untuk rumah itu ialah RM500/bulan. Harga semasa rumah itu juga telah mencapai RM75k.)
b. Terburu-buru...
Pada pertengahan tahun '80an pula, setelah berkhidmat selama 2 tahun di NZ, saya telah ditugaskan di Lumut, dan mendapat tahu bahawa Lumut dan kawasan persekitarannya akan menjadi penempatan saya sehingga bersara dari TLDM.
Ini membuat saya merancang untuk membeli rumah di sana. Keputusan dibuat dengan cepat (terburu-buru) tanpa mendapat maklumbalas dari isteri (bertugas di Melaka ketika itu) yang hanya diberitahu setelah pinjaman dibuat. Walaupun mendapat sedikit bangkangan tetapi tujuan asal diteruskan.
(Walaupun rumah itu telah siap dibina, kami tidak pernah mendudukinya kerana isteri tidak dapat berpindah ke Lumut. Satelah dua tahun di Lumut saya sekali lagi ditukar ke KL ( kami akhirnya membeli sebuah rumah di KL). Rumah di Lumut itu disewakan pada harga yang sungguh murah kerana tiada "demand" dan akhirnya dijual pada harga dibawah pasaran.)
c. Inginkan yang lebih baik...Pada 2004, selepas bersara pilihan dari TLDM, dan inginkan kediaman yang lebih baik, saya dan dua rakan kongsi telah membeli lot tanah untuk dibuat rumah yang lebih selesa. Rumah itu kini telah pun siap untuk di diami.
(Tetapi....kedudukan rumah itu agak jauh di pinggiran Shah Alam dan ahli keluarga mengundi untuk tidak tinggal ke sana. Anak-anak yang telah berkahwin pula, lebih berminat membeli rumah sendiri di persekitaran kawasan yang kami tinggal sekarang. Yang lebih penting lagi, hutang yang perlu ditanggung pada usia yang telah senja ini, perlu cepat diselesaikan.) (Jadi...rumah itu kini sedia untuk dijual. Ada yang berminat?).