Pada satu pagi di hujung minggu lalu, seperti biasa saya telah melakukan perjalanan riadah selama satu jam. Saya tidak pasti berapa jauh, tetapi mungkin lebih kurang 4-5 km. Saya mungkin boleh berjalan lebih dari itu, mungkin 10 km atau lebih. Kalau YB yang telah berumur 70 tahun pun boleh, InsyaAllah saya pun boleh agaknya. Tetapi memandangkan saya tidak ada pun niat hendak menjadi YB (takde orang nak pilih pun), jadi tak perlulah saya buktikan.

Apa yang saya ingin perkatakan ialah saya telah melihat
permulaan kepada perang poster menjelang PRU ini. Belum ada lagi poster dari pihak yang satu lagi yang dijumpai di perjalanan itu.
Kehadiran poater-poster ini sebenarnya telah mengingatkan saya kepada satu peristiwa yang telah berlaku sekitar pertengahan tahun '80an dahulu. Pada masa itu kempen pilihanraya sedang berjalan, dan hari mengundi tinggal tidak berapa hari lagi.

Kapal kami ketika itu sedang berhimpit di dermaga Pelabuhan Labuan, beristirehat selepas hampir 2 minggu berada di laut. Kapal baru sahaja memasuki pelabuhan itu sehari sebelumnya dan anak-anak kapal diberi kelepasan untuk naik ke darat dan perlu balik ke kapal sebelum tengah malam.
Pada pagi itu, saya telah didatangi oleh seorang pegawai polis yang meminta saya pergi ke balai polis berhampiran untuk menjamin tiga orang anak kapal saya yang sedang ditahan di "lock-up" balai polis tersebut.

Tanpa banyak bicara saya telah pergi ke balai polis tersebut. Sesampai di sana saya diberitahu bahawa anak-anak kapal saya itu telah ditahan pada malamnya kerana ditemui sedang mencabut poster salah satu parti yang bertanding pada pilihanraya itu. (Gambar hiasan sahaja).
Mereka terpaksa tidur di "lock up" pada malam itu kerana mereka juga didapati berada di bawah pengaruh minuman keras (mereka bukan keturunan Melayu). Saya perlu menjamin mereka, jika tidak mereka terpaksa tidur di "lock-up" lagi sehingga kes selesai.
Saya bersetuju menjamin mereka, tetapi pegawai polis itu mengingatkan saya bahawa mereka masih belum dilepaskan. Jika ada pihak yang membuat pengaduan, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

Dalam perjalanan balik saya telah bertanyakan perkara sebenar. Mengikut cerita mereka, mereka cuma hendak menegakkan tiang poster yang hampir tumbang apabila ditangkap oleh pihak polis itu. Saya memberi "benefit of the doubt" kepada mereka.

Tetapi lain cerita yang saya dengar dari kawan mereka. Mereka sebenarnya ingin membawa balik poster itu untuk diletakkan di mess mereka di kapal untuk menunjukkan sokongan kepada parti pilihan mereka itu. (Gambar Hiasan sahaja).
Nasib mereka baik, tidak ada sesiapa yang membuat aduan dan kes mereka di tutup.
Nasihat bagi mereka yang mungkin terlibat di dalam perang poster nanti:
1. Jangan buat kerja pemasangan dan penurunan poster selagi tidak dibayar 100%.
2. Jangan pasang poster di kawasan berhampiran rumah penyokong parti lain, melainkan anda berani sanggup diacu dengan senapang patah.
3. Buat pemasangan pada waktu orang sedang tidor.
4. Buat pemasangan serentak bagi semua parti, untuk jimat kos.
5. Jangan tunjukkan sokongan kepada sesuatu parti.
6. Jangan buat sesuatu yang boleh menyebabkan anda di tahan polis (tak dapat mengundi nanti).
7. Undilah dengan penuh rasa tanggungjawab.

Siapa agaknya calon pilihan, penghuni rumah ini ya?