Wednesday, September 13, 2006

Halal Ke?

PERSOALAN halal dan haram bukanlah suatu yang boleh dipandang ringan bagi umat Islam. Jika berada di luar negara, kita pasti akan sangat berhati-hati untuk memilih makanan seharian kita. Namun demikian kita tidaklah merasakan ia sesuatu yang membebankan. Kita boleh melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Kenapa? Kerana kita berada di Negara bukan Islam yang sememangnya kita perlu berbuat demikian. Ia tidak dapat dielakkan.
Tetapi jika kita menghadapi masalah untuk memilih makanan yang halal di tanah air kita sendiri, yang majoriti penduduknya beragama Islam, ia adalah sesuatu yang sangat pelik. Dahulu ada pandangan bahawa produk di Malaysia memang sepatutnya halal dan tidak perlu dilabelkan ‘HALAL’ kecuali bagi produk yang tidak halal yang perlu dilabelkan dengan ‘TIDAK HALAL’.

Namun, walau pun dengan adanya label 'HALAL', kita masih perlu berhati-hati mencari makanan yang betul-betul halal kerana masih terdapat label ‘HALAL’ palsu yang digunakan oleh pengeluar produk. Sekiranya gejala ini tidak dibendung, akan muncul lebih ramai pengeluar dan pengusaha makanan yang memperlekehkan persoalan halal dan haram ini.
Sebagai pengguna kita harus lebih peka dan berhati-hati di dalam hal ini. Adalah tidak mencukup dengan memilih yang halal sahaja, tetapi ianya perlu juga bersih, baik dan diperolehi dari sumber yang halal juga. Makanan juga merupakan musuh yang tidak disedari. Makanan adalah punca kebanyakan penyakit yang dihidapi oeh manusia. Semoga dengan tibanya bulan Ramadan, dalam berapa hari lagi, akan dapat melatih kita untuk berhati-hati dalam memilih makan untuk hidup, dan bukan hidup untuk makan.
Salam Ingatan.

No comments: