Friday, November 16, 2007

Pemimpin

Pemimpin Penipu adalah salah satu dari 70 Dosa Dosa Besar yang telah disenaraikan oleh Al-Hafizh Muhammad Bin Usman Adz-Dzahabi, di dalam bukunya yang sama tajuknya itu. Buku ini telah diterjemah, dibuat kesimpulan dan penutup bicaranya oleh Syed Ahmad Semait. Saya tertarik dengan kesimpulan yang dibuat penterjemah tersebut tentang pemimpin ini, dan ingin mengingatkan diri saya, anak-anak dan sesiapa yang sudi membacanya.

Pada zaman ini, orang yang hendak menjadi pemimpin sangatlah banyak sekali, namun pemimpin yang berazam akan membela nasib rakyat sangatlah sedikit pula. Sebab zaman ini telah rosak, zaman yang mengukur sesuatu dengan mata benda dan harta kekayaan; zaman yaag sudah tidak tahu untuk mengira harga diri, akhlak dan moraliti, kerana yang berharga sekarang adalah mata wang. Ukuran tinggi rendah ialah bergantung dengan kantong yang berisi dan kantong yang kosong, kalau sudah kantong itu kosong, tak usah beradu ilmu tinggi, atau berakhlak murni, atau pun bersih hati; semuanya sudah tidak dipandang orang lagi.


Sebab itulah "barangkali" apabila ada saja suatu jawatan kepemimpinan yang kosong, banyaklah orang yang hendak merebutnya. Dan hampir kesemua orang mengejar pangkat dan kedudukan itu telah terlebih dahulu merancang dalam kepalanya angan-angan yang besar; tergambar di dalam pemikirannya betapa bertuah nasib yang sedang menunggunya di hadapan, tidak payah lagi menetap di pondok yang kecil, menenggek di atas basikal atau motosikal dengan berpanas dan berhujan, sebab lailatul-kadar akan turun, akan mengubah segala yang bersifat payah menjadi mewah, dan yang susah akan hilang dan yang senang akan datang, kantong akan menjadi gembung, bertindih-tindih kertas yang disimpan di dalamnya, dan seterusnya segala angan-angan dan mimpi akan meruncup menjadi kenyataan.

Semua ini sebenarnya akan melupakan seseorang daripada tugas asalnya, yang akan diserahkan tugas kepemimpinan itu. Dan sememangnya pangkat dan kedudukannya dalam banyak hal akan menjadikan manusia lupakan daratan seperti kata orang tua-tua "seperti kacang lupakan kulit", dan kerana itulah juga, maka Nabi s.a.w. mengingatkan kita dari hal jawatan kepemimpinan ini, bukan boleh diberikan begitu saja kepada sesiapa yang memintanya. Akan tetapi tugas kepemimpinan itu ialah suatu tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul oleh orang yang ahli, kerana kalau ia tidak melaksanakan tugas ini dengan baik dan sempurna, padahnya sangat berat sekali di hadapan Tuhan semesta alam nanti di hari kiamat.

Dan kerana itu juga ramai dari orang-orang yang ahli di zaman dahulu melarikan diri, supaya tidak dipaksakan menjawat jawatan kepemimpinan itu, sebab khuatir tergelincir dari landasannya yang betul, padahal orang-orang itu sangat mulia akhlaknya, dalam ilmunya, lurus perjalanannya, warak dirinya dan seterusnya.

Lantaran itu bagi orang yang inginkan jawatan kepemimpinan ini, hendaklah berwaspada dan menjaga diri dari bahaya-bahaya yang boleh membawa diri ke jurang kecelakaan, bukan saja di dunia, malahan di akhirat nanti. Memang baiklah bagi mereka yang ahli, mencalonkan diri untuk menjadi pemimpin yang jujur dan adil, kerana mereka akan di calonkan kelak menjadi penghuni syurga, dan itu adalah sebaik-baik tempat bagi sebaik-baik manusia.

Wallahua'lam.

10 comments:

Mak Su said...

susah nak jumpa orang lari dari pangkat ek

Unknown said...

:-) setuju sungguh dgn apa yg d tulis...besar sungguh tanggung jawap pemimpin!
sebab tu lah, saya tak de memegang jawatan memimpin masyarakat....setakat menjadi pemimpin rumah dan pemimpin di tempat kerja jer la...hehehe

idham

KAMATO said...

oleh itu pilih la pemimpin yang betul2 boleh memimpin

Azlan Zed said...

bukan senang nak jadi pemimpin...

zino said...

kalau semua pemimpin mempunyai kesedaran sebegini.. maka akan aman seluruh dunia..

ZABS said...

Mak Su,
Bukan suruh lari dari pangkat, tapi unakan pangkat untuk kebaikan orang yang mnangkat kita tu. Jangan nak ponohan tompolok sondighi yo.

ZABS said...

Idham,
Biasanya orang yang layak, selalu merendah diri, tak mahu, tapi orang yang tak layak seboleh2nya mahu dipilih, kerana mereka nampak pada keuntungsn untuk diri mereka, bukan apa kebaikan yang mereka boleh sumbangkan. Tu yang jadi hilang priority tu.

ZABS said...

Kamato,
Terima kasih kerana sudi datang. Memang sukar untuk memilih pemimpin yang boleh memberi kepuasan kepada semua pihak. Dan ada pula pemimpin yang berubah apabila sudah jadi pemimpin. Kalau sebelum dipilih kata akan kerja untuk rakyat, tetapi selepas menang, rakyat pula jadi hamba kepada pemimpin. Jadi gunakan undi anda dengan bila tiba masanya nanti. Sudak mendaftar ke? Kalau belu rugilah.

ZABS said...

Alan,
Susah atau senang bukan isu, tetapi apabila dah jadi pemimpin ada tangungjawab yang perlu dilaksa sebaik mungkin.

Zino,
Tu kena pilih yang ada kesedaran diri dan pengetahuan Agama yang kuat. Bukan kepimpinan yang ikut2an sahaja.

Lily Abdullah said...

Pak Zabs yang dihormati,
Pangkat itu kuasa dan kuasa itu wang....punya wang bermaksud orang bodoh/bengap pun akan dianggap pandai.....biarpun dia hanya pandai BERCAKAP :)