Friday, April 08, 2011

PELAYARAN DI LAUT MEDITTERANEAN

Setiba kami di Portsmouth kapal HMS INTREPID ini memang telah pun ada di pelabuhan dan sedang bersiap sedia untuk pelayaran yang agak lama (7 minggu) ke Laut Meditteranean. Ini tidak menjadi masalah kepada kapal itu, kerana ia mampu melakukan perjalanan sejauh 5000 batu notika (9260 km) pada kelajuan 20 knot tanpa mengisi minyak.  Di samping tugasnya yang lain kapal ini juga digunakan untuk latihan pelayaran pegawai2 kedet yang dilatih di BRNC.


Kapal ini mula dibina 1961, dilancarkan pada 1964, dan seterus ditauliahkan pada tahun 1967. Ia di kategorikan sebagai “Landing Platform Dock (LPD)”. Terdapat dua buah kapal dari  jenis ini selain HMS INTREPID, iaitu HMS FEARLESS. Panjang kapal ini ialah 160 mater, lebar 24 meter dengan “draught” 6.4 meter.  Terdapat lebih kurang 550 orang pegawai dan anak-anak kapal bekerja di kapal ini. Terlalu ramai anggotanya, sehinggakan, ada cerita tentang dua beradik yang bertugas di kapal ini, tidak tahu mereka di kapal yang sama, sehinggalah mereka balik bercuti bersama keluarga.
Selain anggota tetap kapal ini, ia juga mampu membawa sehingga 700 anggota tentera, 15 kereta kebal dan 27 kenderaan pelbagai guna. Kapal ini juga dilengkapkan dengan beberapa “Landing crafts” seperti di gambar untuk melakukan serangan dari laut. Terdapat juga beberapa helicopter beroperasi dari kapal tersebut. Kapal ini sebelum dilucutkan tauliahnya telah terlibat dalam tugasan untuk merampas semula Kepulauan Falksland yang telah diduduki oleh Argentina pada 1982.

Peta di atas perlu dirujuk untuk mengetahui laluan yang telah dilalui oleh kapal ini semasa belayar ke Laut Meditteranean itu. Ia mungkin tidak setepat yang saya mahukan, tetapi begitulah kira2nya seperti yang saya ingat. Kapal bertolak dari Portsmouth menuju Laut Meditteranean, melalui laut dan lautan yang ditunjukkan di kedua-dua peta di atas. Memandangkan ini adalah kali pertama kami belayar di laut dalam, dan semasa cuaca yang kurang baik pula, maka banyaklah pengalaman kurang selesa ditempuhi dan dialami.
Sebagai pelatih di atas kapal itu, kami ditugaskan mengikut giliran di beberapa tempat tugasan tertentu semasa pelayaran. Tugas yang paling mencabar ialah apabila perlu berugas selama 4 jam di bilik radar.  Memerhatikan kontek2 yang berada di sekeliling, yang dirakamkan di skrin radar oleh peralatan radar kapal. Keadaan bilik yang bertutup dengan peredaran angin yang kurang baik, menyebabkan bilik agak merimaskan. Keadaan laut yang bergelora, ombak sehingga ketinggian 5 meter, juga tidak membantu. Kapal sebesar Interpid itu pun turut bergoyang dibuatnya. Jam pertama dan kedua boleh dilalui dengan sedikit kegagahan, tetapi akhirnya ke tandas juga dituju mengeluarkan segala isi perut yang ada sehingga muntah hijau pun keluar. Untuk mengelak selalu keluar ke tandas, setiap seorang pelatih yang datang bertugas akan membawa sendiri baldi untuk tujuan tersebut. Mujurlah keadaan ini tidak lama, kerana apabila kapal telah memasuki Laut Meditteranean, cuaca menjadi bertambah baik dan suhu juga menjadi bertambah panas.
Namun ada ketikanya, laut agak bergelora juga di Laut Meditteranean ini, apabila angin menjadi kencang tanpa diduga. Keadaan ini pernah terjadi semasa kami di Cannes, France. Kapal ketika itu hanya berlabuh di tengah laut, dan ramai anak-anak kapal dibenar naik ke darat untuk beriadah dan sebagainya. Apabila tiba masa untuk menjemput mereka yang telah ke darat ini, kapal tidak dapat menghantar bot, kerana cuaca agak buruk dengan angin bertiup kencang. Oleh yang demikian anak-anak kapal yang telah naik ke darat untuk bersiar-siar itu (termasuklah beberapa orang dari kami) terpaksa bermalam di darat. Pihak kedutaan akhirnya telah menyewakan hotel untuk kami bermalam di bandar tersebut sehingga keesokkan harinya.
Selain mendapat latihan sebagai bakal pegawai, kami juga turut ditugas, melakukan kerja pembersihan di tempat kediaman, tandas dan dek kapal. Ini semua kami perlu lakukan tanpa kecuali, malahan semua kedet dari semua negara melakukannya. Hanya satu peristiwa ynag tidak dapat saya lupakan iaitu ketika bulan Puasa dan Hari Raya pada tahun itu jatuh pada masa kami dalam pelayaran. Hendak dijadikan sejarah, kami bertugas mencuci tandas pada masa Hari Raya disambut. Sudah tentulah kami tidak merasakan sedikit pun kegembiaran menyambut Hari Raya, tetapi tidak juga merasa sedih, kerana semua orang tidak menyambutnya. Kami tahu tarikh tersebut kerana mendapat surat, yang hanya diterima sebulan sekali.
Pelayaran di Laut Meditteranean ini adalah satu cara pihak Britsh menunjukkan keupayaan ketenteraan mereka kepada kuasa-kuasa di rantau itu di samping mengadakan lawatan tidak resmi ke pelabuhan2 di sepanjangan laluan kapal tersebut. Kapal telah berlabuh atau merapat di beberpaa pelabuhan yang mana pada ingatan saya ialah, Gibraltar, Malta, Cannes, Istanbul, Cyprus dan beberapa lagi yang saya kurang pasti. Kapal akan berhenti selama 2/3 hari, untuk mengambil ration, air dan minyak semasa berlabuh, dan juga memberi peluang kepada anak-anak kapal berehat dan melancong.
Di dalam pelayaran ini juga, HMS Interpid telah melakukan beberapa siri latihan di laut apabila bertemu dengan kapal2 dari UK juga yang sentiasa ada di perairan itu silih berganti. Latihan pendaratan tentera dari laut ke darat juga kerap kali dilakukan dengan melibatkan ramai anggota, termasuk anggota2 Royal Marines, antara pasukan tentera elit yang di banggakan oleh pihak British ini. Pasukan ini umpama pasukan Komando atau Paskal kita, Cuma mereka lebih terlatih.


Pelayaran di Laut Meditteranean berakhir dengan jaya, dengan banyaknya ilmu pelayaran yang telah diperoleh dan banyak tempat telah disinggahi. Betul juga seperti kata orang ”Join the Navy and see the World”, walaupun ini baru sedikit, yang telah dapat dilihat, akan ada banyak  lagi kesempatan untuk melihat dunia dari kapal yang akan saya ikut pelayarannya di masa-masa akan datang…itu kita tunggu dulu.

3 comments:

Riz Ardy said...

Rasa teringin nak jadi Navy pulak bila tengok gambar dan cerita2 abg tu.... huhu... Tapi dah tuo dah takkan nak start ngan kelasi kot, kalau ada vacancy Comander... nak ler...haha.

Sham said...

salam kenal...

wow jauh perjalanan luas pengalaman...best...salute tuan...!

ZABS said...

Riz: Allah dah rancang yang terbaik untuk setiap orang. Ada yang kita suka tetapi tak semesti baik untuk kita. Ada pula kita tak suka tapi ia sebenanya baik untuk kita. Wallahua'lam.

Sham: Terima kasih kerana sudi menjenguk ke sini. InsyaAllah akan cuba dikongsi serba sedikit pengalaman yang ada, mana tahu ada manfaatnya.