Friday, February 27, 2009

Melompatkah Ia?

Saya juga rasa terpanggil untuk menulis tentang lompat-melompat, kerana kemungkinan ada juga di antara kita yang tidak berapa perasan tentangnya.

Lompatan yang saya maksudkan di sini ialah tahun lompat di mana terdapat 29 hari di dalam bulan Februari yang biasanya hanya 28 hari pada tahun2 biasa. Ini menjadikan tahun lompat mempunyai 366 hari. Semua orang tahu tahun lompat terjadi setiap empat tahun. Tahun 2009 bukannya tahun lompat, tetapi banyak pula lompat-melompat berlaku. Tahun 2008 pula adalah tahun lompat, tetapi lompatan besar2an yang diwar-warkan itu tidak pula menjadi.

Tetapi apa yang kita mungkin tidak tahu ialah, jika tahun itu boleh dibahagi genap dengan empat dan boleh juga dibahagi genap dengan 100 ia tidak menjadi tahun lompat. Jumlah harinya masih 365 hari. Contohnya seperti tahun 1900 dan 2100.

Sebaliknya jika tahun itu pula boleh dibahagi genap dengan 400, ia juga akan merjadi Tahun Lompat seperti tahun 2000 dan 2400.

Satu lagi yang kita mungkin kurang ambil perhatian ialah di dalam kalendar Islam, kita hanya mempunyai 354 hari. Kurang 11 hari dari yang terdapat di dalam kalender "Gregorian" barat itu. Ini bermakna, setiap 33 tahun, umur kita mengikut kalendar barat, kita bertambah satu tahun mengikut kalendar Islam. Jika anda telah berumur 33 tahun, sebenarnya anda berumur 34 tahun mengikut kalendar Islam.

Sebenarnya saya cuma ingin bercerita tentang seorang kawan saya yang lahir pada 29hb Feb. Malangnya dia hanya bertemu dengan 29hb itu setiap 4 tahun. Oleh kerana dia baru 14 kali berjumpa tarikh itu, jangan pula dia berangan baru berumur 14 tahun pulak, hahahaha.... Jika dia telah mengikuti tarikh lahirnya mengikutn tarikh di dalam kalender Islam tentu ia tidak jadi begitu. Tetapi saya yakin kebanyakan kita tak berapa nak ingat tarikh lahir kita mengikut kalendar Islam kan? Betul tak?. Wallahua'lam.

Monday, February 23, 2009

Pilih Yang Mana?

Ramai orang berkata hidup ini sebenarnya penuh dengan pilihan. Kita membuat pelbagai pilihan setiap hari, setiap masa. Namun akhirnya kita sendiri yang akan menerima akibatnya, samada baik atau sebaliknya.

Memandangkan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang, saya ingin berkongsi cerita tentang pilihan berhubung keadaan kewangan yang benar2 terjadi. Walaupun ia tidak berlaku di negara kita, tetapi ia juga boleh berlaku di sini atau mungkin juga telah pun berlaku.

Ini kisah benar yang berlaku kepada dua individu dari dua latar belakang yang berbeza. Seorang adalah pemain "baseball" profesional, yang mempunyai pendapatan melebihi USD2-5 juta setahun semasa zaman gemilangnya. Seorang lagi adalah guru sekolah biasa yang mempunyai pendapatan tidak sampai USD10 ribu setahun.

Apabila sampai waktu persaraan, seorang darinya telah menjadi muflis dan seorang lagi menjadi jutawan berganda.

Tentulah tanpa banyak berfikir kita akan membuat andaian bahawa pemain "baseball" itu yang terus menjadi jutawan dan si guru pula menjadi muflis.

Sebenarnya apa yang berlaku ialah pemain "baseball" itu telah dibersarakan dari bermain "baseball" pada umur 38 tahun, dan menjadi muflis kerana tidak mampu lagi menanggung cara hidupnya yang terlalu boros. Semasa mempunyai pendapatan yang lumayan beliau memilih untuk membelanjakan semua pendapatannya untuk segala kemewahan yang diimpikannya. Beliau juga memilih untuk tidak membuat sebarang persediaan untuk persaraannya. Tiada simpanan atau pelaburan yang dimilikinya.

Sebaliknya guru perempuan itu, yang bersara pada umur 70 tahun dengan pendapatan tidak sampai USD10 ribu setahun, meninggalkan harta berjumlah hampir USD2 juta, semasa meninggal dunia pada umur 100 tahun. Ini adalah hasil dari pilihannya untuk berbelanja secara berhemah. Beliau juga memilih untuk menyimpan tanpa henti sejak mula bekerja pada umur 20 tahun, dan memilih untuk membiarkan simpanan dan pelaburannya berkembang (compounding) tanpa dikeluarkan.

Dari kisah ini saya tidak mengandaikan bahawa kita tidak perlu mempunyai pendapatan yang lumayan untuk menjadi jutawan. Sebenarnya lagi tinggi pendapatan kita lagi baik, kerana dengan pendapatan yang lebih, seseorang itu mungkin akan lebih cepat dapat membina sumber kewangan tambahan, seperti pelaburan jangka panjang.

Realitinya tentulah kita mahukan pendapatan seperti pemain "baseball" itu, dan keadaan kewangan apabila bersara seperti guru itu. Oleh itu buatlah pilihan dengan sebaiknya. InsyaAllah cerah masa depan...

Nota Zabs: Ini tidak bermakna saya telah mengikut salah satu dari contoh itu, tetapi hanya untuk perbandingan sahaja. Walahua'lam.

Wednesday, February 18, 2009

Sendiri Suka, Orang Lain Tak Boleh...

Semua isteri suka kalau suami dia hantar/jemput ke tempat kerja.
Mereka suka kalau suami lebih selesa duduk di rumah.
Mereka suka kalau suami membantu buat kerja rumah.
Mereka suka kalau suami temankan mereka membeli belah.
Mereka suka kalau suami menyokong aktiviti jabatan mereka.

Tetapi............

Mereka tak suka lihat suami kawannya selalu hantar dan jemput isteri ke tempat kerja. Kata mereka, "Suami engkau takda kerja lain ke nak buat?"

Mereka tak suka lihat suami kawan dia tidak lepak2 di gerai teh tarik, asyik duduk di rumah je. Kata mereka, "Kamu kontrol suami kamu ke?"

Mereka pandang serong suami kawan yang sering bantu isterinya di rumah. Kata mereka, "Apa kamu dah bagi dengan suami kamu?"

Mereka iri-hati tengok suami kawan selalu temankan isteri membeli-belah. Mereka kata, "Suami kamu suka jadi pembantu untuk tolong angkat barang2 ke?"

Mereka jeling semacam bila suami kawannya datang untuk sokong aktiviti jabatan mereka. Kata mereka, "Suami kamu takda aktiviti sendiri ke?"

Saya tunggu juga kalau mereka sudi cakap terus terang dengan saya... nak kono cili padilah mulut agak eei...

Tapi bila teringat cerita Lokman Hakim dan anaknya semasa membawa keldai untuk dijual ke pasar, mententeramkan hati saya. Wallahua'lam.

Wednesday, February 11, 2009

Tanggung Jawab

Pekerja yang dijanjikan bayaran gaji setiap bulan, akan sanggup dan rela melakukan apa sahaja tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Ada yang akan sanggup bekerja siang dan malam jika diperlukan. Ada yang berjaga malam kerana ditugas mengikut "tukaran perkuburan" (graveyard shift) tanpa ada rungutan.

Ada pekerja yang bertugas nun jauh di lautan, di pelantar minyak, di kapal kontena, atau di kapal laut meronda perairan negara tanpa bosan.

Ada yang sanggup meninggalkan keluarga, sanak saudara kerana bekerja di negara seberang lautan. Tidak ketinggalan juga yang bekerja di negara jiran.

Semua ini dilakukan demi mengikut arahan, kerana nak cari makan dan mendapat duniawi punya imbuhan.

Tetapi ada perkara yang lebih perlu lagi kita jalankan tanggungjawabnya. Namun kita selalu ambil mudah sahaja.

Kadang kala kita tidak berterima kasih atas ni'mat yang tidak ternilai yang telah kita perolehi. Kita mungkiri perjanjian kita sebagai Khalifah di muka bumi ini.

Di samping itu kita dijanjikan pula dengan nikmat yang lebih lagi jika telah menunaikan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya, oleh Dia, Yang Tidak Memungkiri JanjiNya.

Perlukah kita diingatkan kepada ni'mat2 yang telah kita perolehi terlebih dahulu itu, tetapi tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab kita yang kita diamanahkan itu?

Dua mata berapa nilainya?
Dua kaki dan dua tangan sanggupkah dijualbelikan?
Dua telinga bolehkah ditukar ganti? Wallahua'lam.

Maka ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman 55:13).

Monday, February 02, 2009

Pakar Motivasi

Saya mungkin sudah terlewat 40 tahun untuk mengikut seminar yang dijalankan oleh Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah (DMFK) ini. Tetapi masih belum terlewat untuk mengamalkan setiap apa yang disarankannya sepanjang seminar satu hari itu.

Seminar yang bertajuk Transformasi Diri Ke arah Kecemerlangan itu diadakan di KSKB (saya ada menulis tentang kolej itu di sini) untuk para pelatih baru mereka.

Seperti biasa saya terpanggil untuk bersama isteri, menambah sedikit lagi ilmu yang mungkin boleh dikongsi bersama anak-anak dan cucu.

Pengalaman berpuluh tahun DMFK dalam bidang motivasi, mungkin belum ada lagi (setahu saya) yang dapat menyainginya di Malaysia ini.

Sempat bergambar kenangan bersama beliau selepas berakhir seminar.

Beliau melepaskan jawatan sebagai pensyarah, bergelar Profesor Madya, untuk menceburi bidang ini sejak pertengahan 1980an. Yang lain seperti kata orang "is history".

Di akhir seminar semua peserta kelihatannya amat teruja untuk bergambar kenangan bersama beliau.

Hinggakan sampai ke kereta pun masih ramai yang menunggu beliau untuk mendapatkan otograf agaknya.

Satu yang amat terkesan kepada saya ialah ketika beliau mengingatkan kepada semua, supaya mengucapkan terima kasih kepada ibu/emak/bonda kerana telah melahirlkan kita, jika belum pernah berbuat demikian lagi.

Malangnya saya sebenarnya tidak pernah sempat berbuat demikian, kerana ibu meninggal semasa saya baru berusia 5 tahun. Hanya doa untuk ibu yang dapat dihulurkan.

Bagi yang masih berkesempatan, harap dapat berbuat demikian kerana ini sesungguhnya akan amat mengembirakan ibu anda. Wallahua'lam.