Wednesday, January 28, 2009

Kawan

Dalam hidup ini kita akan bertemu ramai kawan. Ada kawan sekampong, kawan sekolah, kawan berkursus dan juga bekerja bersama.

Ada kawan kerana berjiran, kawan teh tarik dan juga sama ke masjid. Ada kawan di jalanan, bertemu semasa bercuti. Ada kawan di luar saja dan tidak perlu dibawa ke rumah. Ada juga kawan yang suka berumah tangga tak kira masa.

Kini ada pula kawan di internet dan sberms saja, walaupun tak pernah jumpa tapi cukup mesra berinteraksi di alam maya.

Tapi di sini saya cuma nak sebutkan sedikit jenis2 kawan ini yang berbagai karenahnya, untuk kita, jika perlu, berjaga2.

Ada kawan baik di depan dan begitu juga jika di belakang.

Ada kawan baik di depan tapi sanggup menikam dari belakang.

Ada pula nampak je garang tapi di belakang dia puji memanjang.

Tapi hati2 kawan yang di depan muka manis berseri, di belakang satu kampong dia mengeji.

Ada kawan mesra alam sentiasa, tak kira keadaan.

Ada pula mesra sakan cuma untuk mencapai tujuan, dan akan sentiasa mengambil kesempatan atas kebaikan kita sebagai kawan.

Ada yang baik jika dia selalu lebih dari kita, tapi mendengki pula jika kita terlebih rezeki.

Ada kawan suka diberi bantuan, tapi apabila tiba giliran, dia tak mengaku kawan. Ada juga yang ambil kesempatan, dah buat hutang, lupa daratan.

Ada kawan menolong kerana harap habuan. Jika tidak, jangan harap dapat bantuan.

Ada kawan mesra alam ketika susah, bila dah senang nak jumpa pun susah, apatah lagfi nak minta bantuan.

Mungkin ada banyak lagi kategori kawan yang tidak saya temui. Tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita harus menjadi kawan yang baik kepada kawan-kawan kita.

Manusia yang baik ialah yang boleh memberi kebaikan/manfaat kepada orang sekelilingnya. Wallhua'lam.Gambar kawan sekampong yang diambil lebih 30 tahun yang lalu. Telah lama tidak bertemu sebahagian besar dari mereka. Saya tidak ada di dalam gambar tersebut kerana ia diambil semasa majlis perkahwinan saya. Semoga mereka semua di dalam sehat didokan. InsyaAllah.

Thursday, January 22, 2009

Mengumpul Dana

Berbagai cara dilakukan oleh seseorang atau kumpulan, persatuan atau seumpamanya untuk mengumpul dana bagi membiayai sesuatu perkara/projek yang ingin dilakukan. Ia termasuklah untuk membiayai perbelanjaan rumah anak2 yatim, orang2 tua dan sebagainya.

Dana juga mungkin dikutip untuk pembinaan rumah2 kebajikan, maktab2 untuk anak belajar Al Quran, surau dan sebagainya. Dan tentunya yang cukup mendapat perhatian ialah kutipan derma untuk membantu mangsa kekejaman Yahudi di Palestin sekarang ini.

Tetapi apa yang saya ingin cerita di sini bukanlah tentang kutipan untuk tujuan tersebut di atas, tetapi derma yang dikutip untuk satu tujuan kebajikan lain yang saya juga terlibat secara tidak langsung.

Mungkin saya tidak perlu menceritakan secara terperinci segala apa yang telah dilakukan untuk meningkatkan kutipan yang diperolehi pada malam itu tetapi memadai jika dikatakan matlamat yang baik tidak menghalalkan cara ianya dijalankan.

Walaupun jamuan diadakan untuk menghargai sumbangan yang diberikan, tetapi majlis tersebut tidak seharusnya dibuat secara terlebih2an. Jika yang menderma dihiburkan dengan pelbagai acara yang mungkin ada yang menjolok mata, apakah lagi yang boleh diperoleh dari dermanya itu.

Juga diragukan apakah wang yang dikutip itu benar2 bersih untuk disalurkan kepada badan2 kebajikan yang memerlukannya.

Adalah lebih baik sekiranya derma yang dikumpul terus diberi kepada yang memerlukannya tanpa perlu ada majlis makan malam dan seumpamanya itu.

Jika kesemua derma dapat diberikan kepada yang memerlukannya, tentu banyak jumlahnya berbanding hanya mungkin 10 ke 20 % baki yang tinggal setelah digunakan untuk tujuan pembaziran itu terlebih dahulu. Wallahua'lam.

Sunday, January 18, 2009

D.U.K.E

Mulai 10 Januari yang lalu, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang merintangi kawasan berhampiran dengan Taman Perumahan kami, telah dibuka untuk kegunaan awam.

Namun ia menjadi rungutan ramai kerana ia belum siap sepenuhnya, dan tidak pula dimaklumkan sebenarnya. Ia mengelirukan pengguna pada mulanya, terutama bagi yang ingin ke jalan Duta. Sebaliknya sampai ke Jalan Gombak pula. Apa2 pun ia masih belum dikenakan tol, jadi kuranglah kerugiannya.

Tetapi apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah penggunaan jejantas yang banyak terdapat di lebuhraya ini. Di sepanjang jalan ini yang menuju ke Gombak, terdapat 3 jejantas yang cantik dan selesa digunakan, malah oleh motosikal juga.

Tetapi yang mushkilnya, di pagi yang saya telah melalui jalan ini, selama seminggu, saya dapati anak-anak sekolah berlumba2 melintas jalan tanpa menggunakan jejantas tersebut, walaupun ia hanya beberapa meter sahaja dari tempat mereka melintas itu.

Saya teringat tidak berapa lama dahulu, semasa seorang kanak2 sekolah di langgar lori semasa menyeberang jalan untuk ke sekolah di Kelang, jejantas diminta dibina untuk mengelakkan perkara tersebut dari berulang.

Tetapi di tempat ini, apabila jejantas telah sedia ada, ia tidak pula di gunakan. Adakah nanti jika telah berlaku perkara yang tidak diingini, kereta pula diminta supaya tidak melalui jalan itu?


Gambar ini sebagai hiasan sahaja. Jejantas yang dalam pembinaan di Jalan Kepong ini masih belum siap sepenuhnya. Mungkinkah ia juga akan dibiarkan tanpa digunakan nanti? Wallahua'lam.

Tuesday, January 13, 2009

Muda Sebelum Tua

Semua orang telah tahu akan nasihat yang lima itu, termasuklah gunakan masa mudamu sebelum tiba masa tuamu.

Saya teringatkan pesanan itu semasa duduk seltelah selesai solat sunat dan memerhati beberapa warga emas (yang lebih emas dari saya) sedang bersolat.

Saya terkesan dengan kepayahan mereka untuk menunaikan solat kerana keuzuran. Ada yang tidak boleh ruku' dengan betul kerana masalah sakit pinggang agaknya.

Ada yang terpaksa bersolat sambil duduk di atas kerusi, dan ada yang bersolat sambil duduk di lantai. Juga terdapat yang tidak boleh berdiri dengan luus kerana keuzuran, tetapi masih menggagahlan diri untuk bersolat seperti biasa.

Bagi mereka2 ini, pada hemat saya, mereka dapat mengekalkan untuk datang berjemaah kerana telah mempraktikkannya sejak muda lagi.

Bayangkan, jika apabila telah bersara, baru nak berjinak2 ke surau atau masjid, tentunya ia akan memerlukan keazaman yang tinggi. Lebih2 lagi dengan keuzuran yang biasanya menemani warga2 emas.

Pada usia muda, semua boleh dilakukan dengan baik, mudah dan sempurna, termasuklah segala amal ibadat yang telah diamanahkan kepada kita umat Islam, semuanya.

Oleh itu gunakan masa muda itu sebaiknya, agar ia akan terus berkekalan sehingga keakhir hayat nanti . InsyaAllah.

Thursday, January 08, 2009

Wira Ke?

Dalam tulisan terbaru di blognya, Ruby telah mengariskan empat permintaan untuk diperbaiki oleh pihak Media pada tahun 2009 ini.

Salah satu darinya ialah supaya pemberita bersikap lebih profesional di dalam membuat laporan. Antara sifat profesional itu, saya rasa termasuk mempunyai pengetahuan am yang baik tentang hal-hal yang mereka ditugas untuk melaporkan.

Jika perlu melaporkan tentang sesuatu acara yang dihadiri oleh seseorang menteri misalnya, mereka perlu tahu nama dan gelaran menteri tersebut sekurang2nya.

Jika pemberita atau pengarang surat khabar ini telah membuat "homework"nya, tentu "caption" untuk gambar semasa Timbalan Menteri Pertahanan, YB Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop yang sedang menyampaikan anugerah seperti di atas, tidak ditulis begitu.

Walaupun ia satu perkara kecil sahaja, tetapi ia memperlihatkan betapa kurangnya perhatian yang diberi untuk menentukan kualiti surat khabar kita pada hari ini menjadi bertambah baik. Wallahua'lam.

Update:

Satu contoh lagi betapa tidak telitinya pihak akhbar ini.

Nota: Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) adalah anugerah yang membawa gelaran Datuk Wira itu.

Tuesday, January 06, 2009

Pemandu Baru

Pada 5hb, anak lelaki saya yang masih belajar, lulus ujian memandu, setelah dua kali mengambilnya. Jika diambil kira rakan sebayanya yang lain, beliau agak terlambat, dalam mendapatkan lesen memandunya itu.

Tetapi kelihatannya, beliau tidak merasa ketinggalan pun kerana kebanyakan kawan2nya sudah ada kenderaan sendiri dan sentiasa boleh diharap untuk mengambil dan menghantarnya ke mana sahaja dia hendak pergi. Malahan untuk balik ke Universiti pun mereka sanggup menghantarnya.

Walau apa pun, pada hari itu, anak saya adalah salah seorang dari ribuan pemandu baru yang telah diberi kebenaran untuk memandu di jalan raya kita, di seluruh Malaysia.

Mereka2 ini akan menjadi penyumbang kepada kesesakan dan keselamatan di jalan2 raya kita nanti.

Untuk mempraktikkan kemahiran mereka, mereka tentu tidak boleh sentiasa menggunakan kereta saudara mara atau rakan2 sahaja. Mereka tentunya mahukan kereta sendiri. Apa pun itu tidak menjadi masaalah asalkan mampu.

Tentunya ia akan memberi sedikit bisnes kepada penjual2 kereta baru atau terpakai, kerana tentunya mereka2 ini kebanyakannya tidak mempunyai kereta lagi .

Tetapi apa yang dirisaukan nanti ialah akan bertambah lagi pemandu yang tidak berpengalaman, berdarah muda dan sukakan kepada kelajuan, di jalan2 raya kita.

Diharap semua pemandu2 muda dan baru ini (yang dah lama dan berpengalaman pun begitu juga), supaya sentiasa ingat, kenderaan itu adalah satu amanah (nikmat) yang diberi kepada kita untuk mudah begerak ke destinasi yang kita ingin pergi.

Jika kita memandu ke JB dari KL yang jauhnya 300km misalnya, pada kelajuan 100km, mungkin akan mengambil masa selama 3 jam. Pada kelajuan 150km pula kita mungkin akan mengambil masa 2 jam sahaja.

Ini bermakna kita boleh sampai 1 jam lebih awal. Tetapi ada kemungkinan, kita tidak akan sampai langsung ke JB, sebaliknya akan sampai ke "Batu Dua" pula.

Tetapi ini bukan pula bermakna, dengan memandu perlahan tidak akan berlaku kemalangan, tetapi pada kelajuan yang kurang itu, impak dari perlanggaran juga akan kurang dan tali pinggang keledar mungkin boleh menahan penumpang dari tercampak keluar. Wallahua'lam.

APA-APA PUN, SENTIASALAH BERHATI2 DI JALAN RAYA.