Wednesday, November 26, 2008

Kebakaran

Pagi tadi semasa di dalam perjalanan ke pejabat, saya mendapat panggilan telefon dari pejabat, memberitahu Puan Zabs telah menalipon memberitahu ada kebakaran di rumah jiran bersebelahan dengan jiran di belakang rumah saya. Saya mengambil keputusan untuk balik semula ke rumah, untuk mengetahui keadaan sebenar, juga jika perlu berbuat sesuatu.

Apabila sampai di rumah, saya diberitahu kebakaran itu telah pun berjaya dipadamkan, walaupun pihak bomba (yang telah dipanggil) belum tiba lagi.

(Gambar dari internet)

Sebenarnya ia adalah kebakaran kecil sahaja di bahagian dapur yang berpunca dari kebocoran dapur gas. Apinya telah merebak hingga ke kabinet dapur. Mulanya ia cuba dipadamkan dengan menggunakan air, tetapi api menjadi lebih besar pula.

(Gambar dari internet)

Mujurlah pihak kontaktor yang sedang membuat kerja ubahsuai rumah seorang lagi jiran, ada membawa bersama alat pemadam api (mungkin seperti gambar di atas), dan berjaya diguna untuk memadamkan api tersebut.

Pihak bomba yang datang beberapa minit kemudian, mungkin merasa lega kerana api telah dipadamkan. Namun mereka mungkin telah memberi sedikit nasihat tentang pentingnya membuat pemerikaan berkala terhadap dapur2 gas yang digunakan di rumah2 untuk mengelak dari kebocoran. Ia berkemungkinan dapat mengelakkan kebakaran seperti ini dari berlaku. Ini mengingatkan saya untuk membeli alat pemadam api seperti itu juga. InsyaAllah.

Wednesday, November 19, 2008

Gotong Royong

Pada Sabtu yang lalu Persatuan Penduduk Taman kami telah mengadakan satu acara gotong royong untuk membersihkan kawasan perumahan. Di samping itu ia juga bertujuan untuk menambah lagi keahlian persatuan tersebut.

Sebelum acara bermula, pendaftaran ahli dilakukan dan
juga mengutip yuran pendaftaran dan tahunan.

Walaupun terdapat lebih 220 keluarga yang tinggal di taman ini, buat masa ini hanya lebih kurang 80 orang sahaja yang telah mendaftar menjadi ahli. Agak kurang memuaskan, dan usaha perlu ditingkatkan untuk menarik ramai lagi penduduk mendaftar dan bergiat dalam persatuan ini.

Sebahagian peralatan yang disediakan untuk kerja2 gotong royong tersebut.

Untuk acara gotong royong ini kami mendapat kerjasama dari pihak MPAJ dan kontraktor2 mereka yang telah menghantar pekerja2 mereka untuk membantu.

Pengerusi dan AJK makan sedang berkira2 samada makanan
yang disediakan cukup atau tidak untuk sarapan pagi itu.

Sebahagian penduduk tekun mendengar taklimat sebelum acara bermula.

Tujuan utama kerja gotong royong membersihan kawasan perumahan kami ini, ialah untuk membasmi pembiakkan makhluk di atas. Terdapat beberapa longkang yang tersumbat dan air tidak mengalir dan perlu dibersihkan. Juga terdapat beberapa pokok besar yang perlu dicantas.

Tempat kami ini adalah salah satu kawasan di mana penyakit denggi selalu berlaku. Setiap masa boleh dikatakan ada sahaja penduduk yang dijangkiti penyakit tersebut. Pernah berlaku seorang kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia kerana penyakit ini.

Kini telah ada pula penyakit baru bawaan nyamuk itu, Chikungunya. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Indonesia dan Filipina, dan kini telah merebak di Malaysia pula.

Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak, semua kerja, walau tidak 100% sempurna, dapat dilaksanakan. Walaupun pada hari tersebut, kurang dari 1/4 penduduk yang mengambil bahagian. Harap di masa akan datang, lebih ramai lagi akan dapat melibatkan diri. InsyaAllah.

Thursday, November 13, 2008

UPSR 2008 - Keputusan

12.11.2008

Pija: Ayah dulu masa UPSR dapat berapa A.

Ayah: Masa ayah sekolah dulu takda pepriksan UPSR kenapa?

Pija: Esok, kalau Pija tak dapat 5A, ayah marah ke?

Ayah: Kenapa nak marah pulak. Bukan ke Pija dah buat yang terbaik, kalau tak dapat 5A pun tak mengapalah, sudah nasiblah begitu.

13.11.2008
Sebahagian dari ibu-bapa yang lebih berdebar (dari anak2nya) menunggu keputusan UPSR yang sedang disampaikan satu persatu kepada setiap murid oleh guru yang bertugas.

Setiap kali murid yang mendapat 5A, mengambil keputusannya dari guru, mereka menjerit keriangan tetapi mengalirkan air mata kegembiraan juga. Ia kemudian disambut pekikan gembira oleh rakan2 lain dengan bangganya.

Saya mendengar nama Pija dipanggil dan memerhatikannya berjalan ke hadapan. Menandatangani borang penerimaan penyata keputusan peperiksaan. Dia mengambil keputusannya dari guru dan membacanya seketika. Selepas itu satu teriakan kegembiraan kedengaran darinya.

Kelihatan keceriaan diwajahnya, setelah saya melihatnya beberapa hari kebelakangan ini, agak muram sahaja, kerana ada sedikit batuk dan selsema. Saya turut merasa kegembiraan itu. Alhamdulllah. Segala kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil yang cemerlang. Semoga ini akan menjadi pendorong baginya untuk terus maju lagi. InsyaAllah.

Kepada semua ibu-bapa yang anak2 mereka baru sahaja menerima keputusan UPSR mereka, tahniah diucapkan. Tak kira apa keputusan yang mereka telah perolehi. Mereka telah lakukan yang terbaik dan keputusan itu perlu dilihat sebagai titik tolak untuk memajukan lagi diri mereka di masa akan datang. InsyaAllah.

Tuesday, November 11, 2008

Kekeluargaan

Masa yang paling seronok dapat bertemu ramai sanak saudara selain pada Hari Raya ialah semasa ada salah satu dari ahli keluarga mengadakan majlis perkahwinan atau seumpamanya.

Pada masa tersebut, bukan sahaja keluarga yang tinggal berdekatan, tetapi yang tinggal berjauhan pun akan berusaha untuk datang meraikan majlis tersebut.

Ada saudara yang sudah terkenal pun akan meluangkan sedikit masa untuk datang, dan sudi mengabadikan kenangan bersama peminat.

Dan tentunya tidak ketinggalan untuk bergambar bersama pengantin.

Kami mempunyai seorang Emak Saudara di pihak isteri yang sudah lama menetap di Singapura. Mungkin sejak sebelum perpisahan Singapura dari Malaysia lagi. Lima dari anak beliau juga telah bekerja dan menetap di sana. Dua orang lagi anak beliau, bekerja dan menetap di Kuala Lumpur. Jadi selalulah beliau berkunjung ke sini, terutama apabila ada majlis2 kekeluargaan.

Satu yang amat saya hargai ialah, jika beliau sendiri tidak dapat hadir, beliau akan pastikan ada wakil terdiri dari anak/menantu beliau yang akan hadir mengantikannya.

Beliau yang telah berusia di awal 70an, juga akan sanggup menaikki bas jika tiada sesiapa yang sanggup memandu jauh ke KL.

Baru2 ini kami telah sempat menghantar beliau ke stesen bas untuk balik ke Singapure. Beliau hanya mahu menaikki bas dari syarikat ini, atau satu lagi syarikat bas yang boleh diambil berhampiran Hotel Corus di Jalan Ampang. Mungkin kerana keselesaan bas yang disediakan, agaknya.

Contoh baik yang ditunjukkan oleh Mak Busu kami ini perlu diteruskan oleh kami generasi seterusnya untuk menentukan semangat kekeluargaan di antara kami semua berterusan hingga bila-bila. InsyaAllah.

Dalam satu lagi perkembangan, salah seorang dari keluarga sebelah isteri telah berjaya menyusur galur salasilah keturunan keluarga mereka sehingga 4 keturunan terdahulu dan membawa kepada 2 keturunan di bawah kami. Dari jumlah yang tidak rasmi setakat ini, mungkin telah mencecah 1,500 orang agaknya.

Perjumpaan antara wakil2 dari setiap keluarga masih diadakan untuk mengemaskinikan senarai ahli keluarga tersebut. Telah ada cadangan untuk mengadakan satu perjumpaan keluarga yang besar apabila senarai tersebut telah disediakan. Semoga ia akan menjadi satu realiti tidak lama lagi. InsyaAllah.

Friday, November 07, 2008

"Parking"

Sejak dikuatkuasakan bayaran untuk meletak kereta di kawasan pejabat, sejak akhir2 ini, telah dua kali saya mendapat surat saman, kerana tidak meletak kupon bayaran meletak kereta.

Walaubagaimana pun, sudah salah sendiri, perlulah terima hakikat tersebut. Dan dalam nada yang sama, sekurang2nya dapat menyumbang kepada pendapatan pihak berwajib tersebut. Nampaknya pihak penguatkuasa majlis bandaran ini, begitu aktif di tempat2 baru agaknya.

Walaupun begitu bukan itu, yang ingin saya perkatakan di sini. Tetapi tentang keprihatinan pemandu apabila meletak kereta mereka di kawasan ini yang saya ingin sentuh di sini.

Contohnya kereta ini, walaupun masih banyak ruang di hadapan, tetapi pemandunya dengan selesa meletak keretanya begitu sahaja dengan mengambil sedikit ruang dari petak belakang untuk keretanya.
Kerana kurang prihatinnya pemandu tersebut, meyebabkan kereta di belakang nya pula, tidak mendapat ruang yang secukupnya di dalam petak kedua itu, dan terpaksa pula mengunakan sedikit ruang dari petak dibelakangnya. Ini akan berterusan sehingga beberapa lagi petak di belakangnya.

Begitu juga dengan pemandu ini, yang hanya mementingkan diri sendiri.

Juga pemandu ini. Ada ketikanya, kereta yang disebelah dalam terpaksa menunggu lama untuk dapat keluar. Mungkin mereka ini tidak pernah mendapat saman, jadi masih belum serik, atau memang sudah "alah bisa tegal biasa".

("Bukan aku yang susah, siapa suruh kamu letak kereta di sini. Aku nak cepat ni. Tempat ni depan pejabat aku" - ini antara kemungkinan apa yang mereka fikirkan).

Monday, November 03, 2008

Mari Makan

Terdapat beberapa restoren Melayu di sekitar pejabat yang saya selalu kunjungi untuk makan tengahari dan salah satu darinya saya rasa dapat memenuhi sedikit cita rasa saya. Apabila makan di sana saya tidak berapa ambil berat tentang kebersihan dapur restoren tersebut.

Bagi saya masakan yang sedap, tentunya datang dari dapur yang bersih dan lengkap. Dan saya percaya tentu ramai lagi seperti saya, yang tidak berminat untuk melihat keadaan dapur restoren2 yang dikunjungi.

Pernah juga satu ketika dahulu, selepas makan nasi briani dari satu restoren mamak di TSG, saya telah keracunan makanan yang agak teruk, hinggakan tidak mampu untuk memandu sendiri ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Malam itu, buat pertama kali saya menjadi penumpang di dalam kereta yang di pandu oleh isteri. Laju juga dia memandu, mungkin dalam keadaan cemas begitu, dia tidak ada pilihan.

Sehingga kini nasi briani di restoren itu tidak menjadi kegemaran saya lagi, tambahan pula ia tidak sesuai untuk menurunkan berat badan.

Baru2 ini saya telah ditanya oleh seorang kawan, setelah melihat saya makan di restoren Melayu kegemaran saya itu, adakah saya selalu makan di sana. Dan apa yang saya diberitahu tentang kebersihan dapur restoren tersebut, telah menukar sama sekali minat saya untuk makan di sana lagi.

Mungkin saya perlu membawa makanan sendiri ke pejabat, atau buat lawatan ke dapur restoren dahulu sebelum membuat apa-apa pesanan.