Sunday, September 28, 2008

Salam Aidilfitri

Kepada semua rakan-rakan bloggers yang berkesempatan melayari blog ini, diucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Kalau ada salah dan silap semasa komen mengomen harap dimaafkan.

Kepada yang balik beraya di kampong, pandu cermat, jiwa selamat, kampong kita tu tak akan ke mana, tetap akan ada di situ, lambat atau cepat kita akan sampai ke sana juga.

Yang bekerja di Hari Raya, syabas, kerana apabila anda bekerja, rakan anda yang lain akan dapat beraya di kampong. Di lain tahun mungkin anda pula akan beraya di kampong.

Bagi yang beraya di perantauan, banyakkan bersabar, anda antara yang BERTUAH dapat peluang belajar/bekerja atau menemani suami/isteri di luar negara. Ada jutaan lagi rakyat Malaysia, yang menunggu2 peluang tersebut.

Walau apa pun, apabila beraya nanti, ingatlah, kita sudah pun berlatih diet di bulan puasa (saya mengingatkan diri saya juga), jangan pula lupa diet tersebut kerana ia baik untuk kesihatan kita. Berhati-hati di meja makan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Thursday, September 25, 2008

Bubur Lambuk

Sepanjang minggu saya telah melalui jalan di Kampong Baru ini, untuk menuju ke tempat mengambil anak saya dari sekolah.

Di penghujung jalan ini terdapat satu gerai yang menjual bubur lambuk, dan ia terletak berdepan dengan sebuah U swasta.

Mungkin bubur yang dijual di sini agak istimewa, menjadikan ia telah mula dikunjungi oleh para pelangannya sejak tengah hari lagi.

Oleh kerana jalan yang sibuk dan terpaksa memandu perlahan, saya sempat mengambil gambar2 ini. Kelihatan ada yang membeli satu bekas sahaja seorang dan pula yang membeli sampai 5 sekali. Mungkin ada yang berkirim agaknya.

Tukang masak bubur lambuk ini tentu telah mula memasak sejak awal pagi, agar dapat menyediakan bubur itu untuk sedia dijual sebelum jam satu petang. Wallahua'lam.

Wednesday, September 24, 2008

Majlis Berbuka Puasa

Sepanjang bulan Ramadhan ini, surau di tempat kami mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai setiap Sabtu dan Ahad. Pada hari2 lain hanya dua tiga orang sahaja yang berkesempatan untuk berbuka di surau, iaitu Bilal dan Iman.

Pada hari Sabtu (20.09.08) lepas, telah diadakan satu Majlis Berbuka Puasa yang telah dihadiri oleh lebih ramai jemaah dari kebiasaannya.

Pada majlis ini (untuk kali ke5) telah juga diadakan juga majlis penyerahan sumbangan HR kepada individu2 berikut:

i. 11 Orang Warga Emas
ii. 15 Orang Anak Istimewa/OKU
iii. 14 Orang Anak Yatim
iv. Seorang Ibu Tunggal &
v. 10 Orang Saudara Baru

Pengerusi Surau Al-Ittifaq sedang memberi ucapan sambil mengalu2kan para tetamu yang hadir pada hari itu.

Salah seoang tetamu OKU yang hadir pada hari itu.

Penyampaian sumbangan kepada seorang anak istimewa.

Sumbangan kepada sebhagaian anak yatim yang hadir.

Salah seorang saudara baru yang diberi sumbangan

Satu2nya syarikat bumiputra yang mengeluarkan aiskrim lembut (soft ice-cream), dengan jenama "mingomingo" turut menyumbang aiskrim untuk berbuka puasa.

Pengarah syarikat tersebut menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

YB yang berjiwa rakyat turtut hadir untuk berbuka puasa bersama.

Sabar menunggu waktu berbuka puasa.

Menikmati hidangan yang serba sederhana. Semoga puasa dan amal kebajikan yang dapat kita laksanakan pada bulan Ramadhan ini diterima Allah s.w.t. InsyaAllah.

Sunday, September 21, 2008

Hari Raya Di Perantauan

Semakin dekat tibanya Hari Raya (HR), semakin sayu agaknya, mereka2 yang berada jauh dari keluarga, sama ada yang berada di luar negara atau di dalam negeri (tetapi tidak dapat bercuti HR) .

Salah seorang anak saya juga akan beraya di perantauan untuk kali ketiga pada tahun ini, kerana melanjutkan pelajaran di NZ.

Namun demikian, kuih raya telah pun dikirim (dah terima pun) semoga ia akan dapat menghilangkan sedikit rasa rindu untuk beraya bersama keluarga.

Saya juga sepanjang perkhidmatan dahulu pernah beberapa kali berHR di perantauan, samaada semasa masih bujang atau setelah berumahtangga.

Pengalaman pertama berHR di perantauan ialah pada tahun 1973, semasa menjalani latihan kadet di UK. Saya bersama rakan seangkatan berada di atas kapal latihan Tentera Laut Diraja British, HMS Interepid, pada masa tersebut.

Kapal tersebut sedang dalam rangka lawatan persahabatan ke negara2 di kawasan Lautan Meditteranean selama 7 minggu.

Oleh kerana berada jauh di laut, tiada pula kedengaran lagu raya, tidak juga mendapat kiriman kad raya atau sesuatu yang berkaitan dengannya, maka tidak terasa apa pun pada masa itu. Tambahan pula kami hanya bertiga sahaja yang beragama Islam di kapal itu agaknya.

Pada HR kami bekerja seperti biasa, kena giliran mencuci bilik air lagi pada hari itu...

Kali kedua saya berHR di perantauan ialah semasa berkursus di Jepun pada 1979. Pada masa itu baru 6 bulan berkahwin, dan terpilih untuk berkursus pula. Tentulah sedih.., tambahan terpaksa berpuasa dan berHR di sana pula.

Kali ini terasa juga sedihnya kerana terdapat ramai rakan yang beragama Islam. Komunikasi juga telah bertambah baik. Dapat telefon isteri dan kiriman kuih dan sebagainya.

Di Tokyo pula sudah ada masjid pada masa itu dan kami beramai2 dapat bersolat Aidilfitri di sana. Siap ada jamuan pula di sediakan oleh pihak masjid.

Dari 1982 hingga 1984 bersama keluarga berada di NZ, kerana saya bertugas bersama Tentera Laut Diraja NZ.

Pada tahun pertama di sana saya masih bertugas di pejabat dan dapatlah berHR dengan keluarga dan rakan2 dari Malaysia yang belajar atau menetap di sana.

Pada tahun kedua saya telah ditugaskan di kapal seperti di atas (HMNZS Monowai), dan terpaksa pula belayar ke perairan Fiji pada semasa perayaan tersebut. Isteri dan anak2 saya benarkan pulang ke Malaysia sementara untuk berpuasa dan berHR di sana (Selepas Raya Haji baru diorang balik semula ke NZ).

Kali terakhir saya dan keluarga berHR di perantauan ialah pada 1995/97 semasa berada di Wales, UK. Pada masa tersebut terdapat lebih kurang 13 keluarga Malaysia berada di sana (Bangor) dan beberapa orang pelajar lain yang masih solo.

Hubungan kami agak akrab pada masa itu, dan selalu kunjung mengunjung dan menjamu antara satu dengan yang lain. Kami bergilir mengadakan majlis berbuka di rumah masing2 dan yang datang selalunya membawa bersama "pot-luck" untuk dikongsi bersama.

Ini adalah salah satu gambar kenangan semasa rakan-rakan datang berHR di rumah. Walaupun telah lebih 10 tahun berlalu ia masih dalam ingatan.

Kapada semua bloggers yang berada jauh di perantauan, samaada di Christchurch, Dunedin, London, Dubai, Leverpool, Saudi Arabia atau di mana sahaja anda berada, Selamat Hari Raya Aidil-fitri diucapakan. Pengalaman beraya di perantauan akan menjadikan anda lebih merasakan keseronokan beraya di kampong halaman pada satu masa apabila anda sudah balik ke Malaysia nanti. Wallahua'lam.

Wednesday, September 17, 2008

Dugaan Berpuasa

Semalam semasa dalam perjalanan pulang setelah mengambil anak dari sekolah berlaku perbualan berikut:

"Sejuk lah
air-cond ni "(sambil menutup switch air-cond kereta).

"Ayah boleh lah cakap sejuk. Ayah dari opis ada air-cond, dalam kereta pun ada air-cond. Kita kat sekolah tadi kipas pun takda, elektrik takda.

Saya terkedu dan terus menghidupkan semula air-cond kereta dan teringat kepada orang2 lain yang berpuasa dan tidak berada dalam keadaan selesa seperti saya pada masa ini.

Pertamanya kepada sebahagian kaki-tangan dan pekerja "free-lance" syarikat yang sedang menjalankan kerja-kerja pengukuran di perairan Selat Melaka sekarang.

Walaupun pada masa-masa tertentu keadaan laut setenang air di kolam renang.

Tetapi ada ketikanya ia boleh bertukar bergelombang tinggi begini.

Dan apabila ombak bertambah tinggi kerja-kerja tidak dapat dilakukan lagi dan terpaksa balik ke pelabuhan.

Telah lebih dua bulan mereka menjalankan kerja di sana, dan ini bermakna sepanjang lebih dua minggu berpuasa mereka telah dengan tabah mengharungi keadaan yang tidak selesa dilaut itu, berpuasa. Syabas kepada mereka. Jasamu tetap dikenang.

Dan tentunya ramai lagi, pekerja2 yang bekerja di tempat2 lapang, di bawah panahan cahaya matahari yang terik, tetapi terus tabah berpuasa. Mereka2 ini tentunya dapat merasakan betapa sukarnya tidak makan dan minum di siang hari.


(Gambar2 semua hasil googlelan dari internet)

(Gambar ini mungkin diambil bukan pada bulan puasa)

Puasa pula bukan hanya sekadar tidak makan dan minum di siang hari tetapi berbagai lagi dan ini telah banyak diperkata oleh penulis2 blog yang lain. Keimanan yang kuat sahaja yang akan membolehkan kita, dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. InsyaAllah.

Monday, September 15, 2008

Di Hujung Minggu

Di beberapa tempat yang saya kunjungi di hujung minggu ini, kelihatannya, orang ramai telah memulakan "shopping" untuk Hari Raya mereka. Untuk meraikan para pelanggan mereka, pusat2 membeli belah telah mula menghias premis mereka untuk tujuan tersebut. Tetapi kelihatanya tidaklah sehebat untuk perayaan yang diadakan pada setiap hujung tahun itu.

Hiasannya seperti ala kadar sahaja nampaknya.

Untuk penjimatan tempat, sebahagian tempat letak kereta juga telah dijadikan sebagai tempat pameran.

Juga tempat untuk pejalan kaki telah menjadi semakin sempit.

Terlalu banyak untuk diperagakan di tempat yang tidak seberapa.

Begitu juga di sini.

Di satu kawasan yang lain, seperti lumrahnya telah diadakan jualan murah permaidani. Jualan murah sehingga 85% diskaun seperti diiklankan. Entahlah.....

Melihat kepada sambutan yang diberikan, nampaknya, stok tambahan diperlu setiap hari tentunya.

Satelah dua minggu berpuasa, inilah pertama kali kami berbuka di luar. Di tempat biasa yang kami sekeluarga pernah berbuka puasa setiap tahun. Untuk meraikan anak-anak yang balik ke rumah pada hujung minggu.

Beratur untuk mengambil juadah untuk berbuka. Ada 99 jenis, tapi bila dah berumur ni, kalau mampu makan 10 jenis tu dah lebih dari keperluan dah. Anak-anak yang masih muda pun tidak seghairah mana selera mereka. Latihan yang baik menjadikan mereka juga tidak makan berlebih2an. Alhamdulillah.

Sebahagian pengunjung dewan tempat berbuka puasa tersebut. Seperti majlis menyambut Hari Raya kelihatannya.

Seperti yang saya pernah tulis, orang kita bila dikaitkan dengan makan, memang tidak lokek. Diharapkan janganlah kenikmatan makanan yang enak2 sahaja yang kita perolehi setelah sebulan berpuasa. Wallahua'lam.

Friday, September 12, 2008

Alamanda Putrajaya

Saya telah beberapa kali berkesempatan melakukan "window shopping" di satu2nya pusat membeli-belah di Putrajaya ini. Dari pemerhatian, saya merasakan bahawa ia masih tidak mendapat sambutan yang memuaskan dari warganya.

Walau sekarang musim perayaan telah hampir tetapi temapt ini masih sunyi.

Walaupun terdapat "Sales" yang di buat oleh gedung pakaian ini.

Mungkin semasa saya ke sana, waktu pejabat masih dibuka. Warga Putrajaya pula mungkin hanya membei-belah di waktu malam atau di hujung minggu sahaja.

Walau apa pun, diharapkan peniaga-peniaga di sini boleh bertahan. Tentunya sewa yang mahal boleh membebankan jika jualan yang diperolehi setiap hari tidak setimpal.

Tuesday, September 09, 2008

UPSR 2008 Bermula

Hari ini, 09.09.08, hari pertama peperiksaaan UPSR untuk tahun ini. Ia akan berlangsung selama tiga hari sehingga 11.9.08. Pija, anak bongsu saya mengambil peperiksaan ini.

Seperti biasa isteri mengambil cuti selama tiga hari untuk meraikan anak yang akan mengambil peperiksaan. Kami menghantar anak ke sekolah bersama hari ini, dan menunggu bersama sehingga murid tahun 6 tersebut memasuki Dewan Peperiksaan.

Sebahagian murid-murid tahun 6 yang akan "berjuang" di Dewan Peperiksaan dari 9hb hingga 11hb ini. Juga kelihatan sebahagian ibu/bapa yang hadir.

Sebahagian dari ibu/bapa dan murid2 tahun 6 lagi.

Taklimat terakhir dan Puan Guru Besar.

Murid tekun mendengar arahan terakhir dari guru penyelia. Selepas doa dibacakan oleh Ustazahnya, murid-murid beratur untuk masuk ke Dewan Peperiksaan.

Usaha telah dilakukan, segala persiapan telah dibuat dengan sebaik mungkin, sekarang mereka hanya perlu menjawab soalan dengan bersungguh2 dan seterusnya berserah kepada Allah s.w.t. untuk menentukannya. Semoga anak-anak ini berjaya mengharumkan lagi nama sekolah mereka dan membuatkan ibu/bapa mereka bangga/gembira dengan keputusan yang cemerlang nanti. InsyaAllah.

Monday, September 08, 2008

Pasar Ramadhan 2008


Masih meriah walaupun ada yang mengatakan harga kebanyakan kuih muih dan makanan yang dijual terdapat sedikit peningkatan. Biasalah kan... inflasi...

Saturday, September 06, 2008

Mahal Harganya Ni...

Biasanya apabila ke pasar tani atau ke pasar Ramadhan, bila bertanyakan harga, peniaga akan sentiasa berkata harga yang mereka jual adalah lebih murah dari murah. Tetapi kini ia tidak lagi begitu.

Situasi Pertama:

Oleh kerana teringin makan goreng cempedak, kami singgah di satu gerai yang ada menjualnya.

Melihat keadaan cempedak yang sudah siap digoreng di situ, kurang menarik, isteri bercadang membuat sendiri dan ingin membeli cempedak yang ada dijual.

Apabila di tanya harganya tuan gerai dengan perasan serba salah memberitahu: "Mahal harganya ni."
Isteri berkata: "Takpalah kalau mahal pun, kami nak beli juga". Maka makan goreng cempedak mahallah kami pada petang itu.

Situasi Kedua:

Semasa berhenti membeli ikan bakar di sebuah gerai di satu pasar Ramadhan, isteri bertanya kepada tokeh ikan bakar, apa ikan yang baru diletaknya itu.

Tokeh itu dengan endah tidah endah je dan dengan selambanya berkata: "Ini ikan siakap. Mahal ikan ini."

Oleh kerana telah memilih ikan lain untuk dibeli, maka komen mahalnya itu, tidaklah kami endahkan. Tetapi di dalam hati ingin juga berkata: "Bukan ikan tu je yang mahal. Semua apa yang kamu jual ni pun, harganya memang cekek darah".

Asraghfirrullah.... Nasib baik tidak berkata begitu.