Monday, May 26, 2008

Perniagaan Diteruskan

Pengubahsuaian restoren makanan segera ini telah siap sepenuhnya sekarang. Pengubahsuaian itu dilakukan untuk keselesaan pengunjung setia mereka yang sememangnya ramai. Kerja-kerja yang dilakukan meliputi keseluruhan luar dan dalam restoren tersebut.


Tetapi semasa kerja-kerja itu dijalankan, ia tidak menghalang mereka dari terus beroperasi kerana masih ramai pengunjung yang tidak rela makan tanpa hidangan berkeju itu, termasuklah anakanda saya.



Sambil menikmati hidangan, boleh terus memerhatikan kecekapan pekerja-pekerja kontraktor tersebut melakukan kerja2 mereka.






Berapa agaknya kutipan yang mereka mungkin terlepas, jika ditutup untuk kerja pengubahsuaian itu ya?

Tentulah banyak, kerana perniagaan diteruskan, walaupun mungkin ada yang tidak selesa makan kerana kebisingan dari kerja-kerja pertukangan tersebut.

Walaubagaimanapun, itu pilihan kita. Tepuk dada tanya selera. Sendiri mahu ingatlah tentunya....

Friday, May 23, 2008

Pentingnya Ilmu..

Seorang YB dari Negeri di Bawah Bayu, apabila menjawab soalan seorang pengacara, apa perlu dibuat oleh kerajaan untuk dapat mengatasi kemiskinan di Sabah, berkata:

"Kemiskinan tidak mungkin terhapus hanya dengan memberi rumah dan bantuan dari masa ke masa kepada golongan miskin. Jika satu keluarga miskin mempunyai lima orang anak, kemungkinan seorang saja yang mampu dihantar bersekolah, sementara yang empat lagi tidak bersekolah dan akan terus mewarisi kemiskinan ibu/bapa mereka. Jumlah yang miskin akan berlipat kali ganda berbanding dengan hanya satu yang mungkin akan dapat memperbaiki hidupnya".

"Jika semua rakyat mendapat peluang belajar secukupnya, baru kemiskinan akan dapat diatasi, kerana hanya dengan ilmu pengetahuan sahaja baru seseorang itu dapat mengubah nasib mereka".

(SS Mufti Negeri Perlis juga ada berkata bahawa kutipan Zakat setiap tahun di seluruh negara adalah lebih kurang RM800 juta. Jika setiap asnaf diperuntukkan RM100 juta setahun, tentu masalah kemiskinan umat Islam di Malaysia, akan dapat diatasi, InsyaAllah, tanpa perlu "BERSAMAMU" bersusah payah "mempopularkan" orang yang di dalam kususahan itu.)

Kepentingan ilmu juga amat dititik beratkan oleh Imam Besar al-Ghazali. Di dalam bukunya yang terulung, Ihya Ulumiddin (saya baru berjinak2 untuk membacanya), beliau telah membicarakan tentang kepentingan ilmu ini dengan panjang lebar pada bab permulaan buku tulisannya itu.

Professor Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam buku Fiqh Keutamaan pula menulis bahwa ilmu mesti berdiri di hadapan perbuatan kerana ialah yang menjadi penunjuk dan pembimbing segala amalan.

Kerana keutamaan ilmu juga, Imam al-Bukhari telah mletakkan satu tajuk di dalam kitabnya yang bermaksud, "Bab: Ilmu Sebelum Perkataan dan Perbuatan".

Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: " Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri Cina". Juga membawa maksud betapa pentingnya ilmu itu dicari di dalam kehidupan ini.

Ilmu perlu dituntut, dicari, dibaca. Ia tidak datang di dalam mimpi. Tetapi orang yang berilmu akan sentiasa dicari kerana ilmunya. Wallahua'lam.

Wednesday, May 21, 2008

Umur Bukan Halangan...

Pada hari Sabtu, 17hb Mei, saya telah menemai isteri mendaftar di kolej ini, untuk beliau meneruskan usahanya mendapatkan kelulusan yang lebih baik, bagi memulakan kerjaya di sektor swasta, apabila bersara pilihan nanti.

Walaupun seharusnya telah menghabiskan pembelanjaran itu lama dahulu, tetapi kerana tanggungjawab sebagai ibu dan isteri yang lebih diutamakan, hanya kini baru beliau mempunyai kesempatan tersebut. Saya amat berbangga dengan komitmen yang telah ditunjukkan.

(Kini beliau yang akan memulakan pembelajaranya pada bulan Oktober, telah bergelar nenek pula).

Beliau akan menggunakan duit sendiri untuk pembelajaran itu. Di samping itu beliau juga telah ditawarkan untuk mengajar secara sambilan di kolej tersebut.

Setelah banyak pengorbanan yang telah beliau berikan kepada keluarga, maka kini adalah masa untuk kami pula menyokong usaha beliau untuk mendapatkan kelulusan yang lebih tinggi di dalam bidang yang amat di minatinya itu. Kami akan berbuat apa saja yang termampu untuk beliau dapat mencapai cita-citanya itu. InsyaAllah.

Sunday, May 18, 2008

Cucu Sulung

Tepat jam 0715 pagi 18hb Mei, saya dengan resminya telah menjadi datuk. Datuk kepada Muhammad Izz Zafran bin Mohd Irwan. Dengan beratnya 3.6kg, ia agak besar dan melebihi dari jangkaan doktor yang memeriksanya sejak ibunya, Nur Azilah, mula disahkan mengandung. Kedua-dua ibu dan anak di dalam keadaan sihat. Alhamdulillah.

Azilah telah dimasukkan ke hospital pada 17hb, hari beliau membuat pemeriksaan mingguan oleh doktor pakar yang bertanggungjawab. Tarikh "due" mengikut kiraan untuk beliau melahirkan ialah pada 16hb, jadi terlewat satu hari pada hari itu. Untuk tidak mengambil sebarang risiko, doktor telah mengambil keputusan menahan beliau di hospital untuk pemerhatian dan juga untuk "induce labour".

Saya dan isteri berada di hospital sehingga jam 8 malam dan balik ke rumah selepas itu dengan rasa bimbang. Tetapi juga bertujuan untuk membiarkan suami beliau menunggunya pada malam itu. Mamanya juga berkata, untuk memberi pengalaman, menantu itu melihat betapa sukarnya seorang isteri melahirkan.

Menurut Irwan, Azilah merasa sakit pada jam 4.30 pagi dan hanya pada jam 7.15 pagi cucu sulung kami selamat dilahirkan. Saya dan isteri sampai di hospital pada jam 7.35 pagi. Apabila bayi telah dibersihkan, saya sempat mengazan dan iqamatkan, serta membacakan dua surah untuk ambil berkat. Izz Zafran juga telah dirasakan air Zam zam dan buah kurma. Alhamdulillah.


Bapanya turut mengiqamatkan putera sulungnya itu..

Nenek ceria menatap cucu sulungnya....

Ceria bersama ibu dan anak. Ibu saudara muda ceria sekali.....

Friday, May 16, 2008

Rumah Oh Rumah....

Mempunyai rumah yang besar, cantik dan di lokasi yang menarik mungkin menjadi idaman ramai orang. Bahkan ia tidak menjadi masalah di ibu kota ini, jika kita mempunyai wang yang cukup. Terdapat banyak pilihan untuk memuaskan cita rasa sesiapa saja.

Walaubagaimana pun saya tidak berniat untuk memberi tip bagaimana hendak membuat pilihan untuk rumah idaman anda itu. Ia terpulang kepada kemampuan individu itu sendiri. Tepuk dada dan tanyalah "akaun anda" di bank.

Apa yang ingin saya ceritakan, ialah tentang beberapa kesilapan, berhubung keputusan membeli dan tidak membeli rumah, yang telah saya buat pada masa lalu, yang mungkin boleh dijadikan pengajaran.


a. Kerana Belum Bersedia...


Pada pertengahan tahun '70an, seorang bapa saudara, yang telah mempunyai beberapa rumah di sekitar KL, menasihatkan saya untuk membeli sebuah rumah, di satu projek perumahan di pingiran KL. Rumah teres setingkat itu berharga sekitar RM35k, pada ketika itu, dan saya hanya perlu mengadakan deposit RM3.5k, dan selebihnya akan diuruskan oleh beliau. Ia termasuk menyewakannya jika saya tidak tinggal di rumah itu, kerana ketika itu saya bertugas di JB. Saya hanya perlu membayar bulanan sebanyak RM300 selama 10 tahun.

Keputusan saya pada masa itu ialah belum bersedia untuk membeli rumah. Merasa masih muda, dan belum ada perancangan untuk memiliki apa2 hartanah lagi. Walaupun dinasihat dengan segala logik, saya tetap tidak membeli rumah itu.

(Sepuluh tahun kemudian, saya telah ditugaskan di KL dan menyewa rumah RM600/sebulan. Rumah dahulu yang saya tidak berminat hanya beberapa km sahaja dari rumah sewaan saya. Sewa untuk rumah itu ialah RM500/bulan. Harga semasa rumah itu juga telah mencapai RM75k.)

b. Terburu-buru...

Pada pertengahan tahun '80an pula, setelah berkhidmat selama 2 tahun di NZ, saya telah ditugaskan di Lumut, dan mendapat tahu bahawa Lumut dan kawasan persekitarannya akan menjadi penempatan saya sehingga bersara dari TLDM.

Ini membuat saya merancang untuk membeli rumah di sana. Keputusan dibuat dengan cepat (terburu-buru) tanpa mendapat maklumbalas dari isteri (bertugas di Melaka ketika itu) yang hanya diberitahu setelah pinjaman dibuat. Walaupun mendapat sedikit bangkangan tetapi tujuan asal diteruskan.

(Walaupun rumah itu telah siap dibina, kami tidak pernah mendudukinya kerana isteri tidak dapat berpindah ke Lumut. Satelah dua tahun di Lumut saya sekali lagi ditukar ke KL ( kami akhirnya membeli sebuah rumah di KL). Rumah di Lumut itu disewakan pada harga yang sungguh murah kerana tiada "demand" dan akhirnya dijual pada harga dibawah pasaran.)

c. Inginkan yang lebih baik...

Pada 2004, selepas bersara pilihan dari TLDM, dan inginkan kediaman yang lebih baik, saya dan dua rakan kongsi telah membeli lot tanah untuk dibuat rumah yang lebih selesa. Rumah itu kini telah pun siap untuk di diami.

(Tetapi....kedudukan rumah itu agak jauh di pinggiran Shah Alam dan ahli keluarga mengundi untuk tidak tinggal ke sana. Anak-anak yang telah berkahwin pula, lebih berminat membeli rumah sendiri di persekitaran kawasan yang kami tinggal sekarang. Yang lebih penting lagi, hutang yang perlu ditanggung pada usia yang telah senja ini, perlu cepat diselesaikan.) (Jadi...rumah itu kini sedia untuk dijual. Ada yang berminat?).

Monday, May 12, 2008

Kesesakan dan Hari Ibu

Sabtu:

i. Pagi seawal jam 7 pagi saya dan isteri menghantar anakanda ke sekolah kerana, anakanda akan mengikuti rombongan untuk kem motivasi bagi pengawas sekolahnya. Bas bertolak pada jam 8.15 pagi. Sebelum berlepas anakanda memberitahu supaya kami datang menjemputnya pada hari Ahad tepat jam 3 petang. Guru memberitahu, sesiapa yang ibu/bapanya lewat datang, akan di kecualikan dari mengikut rombongan akan datang ( saya anggap ia sebagai satu peras ugut (HP pula tidak dibenar bawa bersama)).

ii. Jam 10.45 pagi kami bertolak ke Seremban untuk melawat kakak ipar yang baru sahaja menjalani pembedahan lutut. Pembedahan telah dilakukan pada hari Khamis dengan selamatnya, tetapi beliau masih di hospital untuk "observation".

Dalam perjalanan telah dimaklumkan tentang kesesakan lalu lintas di PLUS menghala ke Seremban, tetapi tidak ambil berat kerana tidak ada perancangan lain pada hari itu.


Sesampai di persimpangan Nilai, kira-kira jam 11.15 pagi, kereta telah berada di belakang kesesakan yang diberitahu itu. Dan bermulalah pengalaman menempuh kesesakan yang paling lama untuk perjalanan KL-Seremban.

Punca kesesakan kerana lori membawa besi kemalangan. Walaupun hanya satu lorong yang tidak boleh diguna, ketidak sabaran pemandu menjadi punca kesesakan. Perebutan untuk mendahului melalui dua lorong yang ada melambatkan pergerakan kereta. Terdapat juga beberapa kereta yang berhenti di tepi jalan, mungkin kerana kepanasan enjin. Kami hanya sampai di hospital itu pada jam 2.45 petang.

Semasa dalam perjalanan pulang ke KL pula, lebih kurang jam 4 petang, masih terdapat sedikit kesesakan di jalan menghala ke Seremban itu.

Ahad:

i. Hari Ibu, isteri dan saya dijemput oleh seorang kawan untuk bersama-sama meraikannya di Hotel Dynasty. Gambar-gambar berikut dapat memberi sedikit petunjuk, suasana semasa makan tengahari itu.














































ii. Jam 3 ptg. telah berada di sekolah anakanda untuk menunggu kepulangannya. sehingga jam 3.30 ptg. Bas tidak muncul. Risau. Dapat sms dari anakanda (guna HP kawan yang secara senyap membawanya) mengatakan bas lewat dan baru berlepas dari resort. Menjangkakan bas akan sampai lebih kurang jam 4.30 ptg, kami balik dahulu. Tetapi ada yang terus menunggu kerana jauh untuk balik ke rumah dan datang semula. Seharusnya pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk membertrahui ibu/bapa tentang kelewatan ini.

Thursday, May 08, 2008

"You Is Wrong"

Ait, 10 tahun , balik awal dari sekolah hari itu. Oleh kerana sekolahnya dekat sahaja dengan rumah, beliau berjalan kaki pulang ke rumah, walaupun selaluya dihantar dan diambil setiap hari oleh emaknya.

Emaknya merasa hairan kenapa pula Ait balik lebih awal hari itu, jam baru menunjukkan pukul 11.30 pagi. Mengagakkan ada sesuatu yang tidak kena, emaknya bertanya kepada Ait:

Emak: Kenapa Ait balik awal hari ini?

Ait: Che' gu suruh balik.

Emak: Semua orang balik awal ke?

Ait: Tidak. Ait sorang je.

Emak: Kenapa?

Ait: Sebab Che'gu bercakap bahasa Inggeris tak betul, Ait katalah “ Teacher, you are wrong.” Tapi Che' gu kata “You is wrong, I is right”. Bila Ait kata “ You are wrong” lagi, Che' gu marah dan suruh Ait balik kalau tak mahu belajar dan dengar cakap Che' gu. Ait pun baliklah.

ps: Cerita ini mungkin betul atau sebaliknya. Tetapi agak malang jika anak kita yang mungkin telah diajar serba sedikit menggunakan bahasa Inggeris yang betul di rumah, menjadi keliru apabila di dedahkan kepada penggunaan bahasa Inggeris yang tidak tepat di sekolah.

Tuesday, May 06, 2008

Muda Akan Tua Juga

TG Dato' Nik Aziz dalam sebuah bukunya, menulis, "Jika masa remaja tidak digunakan menurut selayaknya, pastilah akan meninggalkan kenangan pahit di masa tua."
Masa muda adalah masa yang paling berharga kerana pada masa itu, kita mempunyai kecerdasan fikiran dan mental. Pergerakan jasmani yang kuat untuk bekerja dan kecerdasan fikiran untuk menuntut ilmu yang pelbagai. Tetapi masa muda tidak bertahan lama, kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya masa tua akan tiba juga.

Semasa muda boleh bermain skuash empat lima set, bila dah tua guna reket skuash untuk halau lalat saja. Masa muda boleh bermain bola sepak "full time", bila dah tua tengok bola di tv pun sampai terlena. Dulu naik tangga tiga anak mata sekali langkah, bila dah tua untuk ke tingkat satu pun nak guna lif.

Semasa muda malas nak ke surau, bila dah tua segan nak pergi sebab duduk pun dah tak boleh nak betul (walau pun semasa muda pernah berkata, bila dah pencen akan sentiasa duduk beramal di surau).

Namun demikian, sebenarnya manusia ini semula jadinya, dalam diri mereka telah sedia ada unsur-unsur kebaikan atau sebaliknya. Jika kita mahu, kita berupaya menunjulkan kebaikan itu dan begitulah juga sebaiknya. Walaupun pada mulanya, mungkin terpaksa, tetapi apabila ia telah menjadi kebiasaan maka akan mudahlah perbuatan itu dilaksanakan, walau yang baik atau sebaliknya.

Oleh itu jika dari usia muda, telah terlatih dengan segala amal perbuatan yang baik, InsyaAllah akan berterusanlah hingga ke tua dan begitulah sebaliknya. Namun demikian manusia sentiasa boleh berubah. Semoga perubahan itu dapat membawa kebaikan kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.

(Hadis Riwayat Ibnu Majah: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:" Bermula sesuatu yang baik (khair) ibarat peti besi (khazanah) dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penyelak (penghalang) kepada kejahatan. Sebaliknya, celaka (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kejahatan dan penyelak (penghalang) kepada kebaikan").

Wallahua'lam.