Tuesday, November 27, 2007

Betul ke?

Ramai orang suka dipuji, walaupun ia tak betul.

Misalannya: Kita dah tengok banyak kali dalam cermin muka dah nampak berkedut dan rambut pun dah banyak gugur, tetapi bila ada orang berkata kepada kita, "Wah nampak semakin mudalah sekarang." Kita senyum2 seperti mengiyakan kata-kata orang itu, walaupun pada hakikatnya ia sesuatu yang tidak betul.

Tak ramai orang suka dikeji, walaupun ia betul.

Misalannya: BMI (body mass index) kita dah naik menjadi 30 dan perut pun dah jadi boroi, dan ada pula orang berkata, "Perut dah jadi boroi nampak, asyik makan tidur je ke?". Kita menjadi marah dan tak mahu menegur orang itu lagi, walaupun ia adalah satu kenyataan.

Nota: Takpa kalau nampak tua dan BMI dah 30, jika hati baik tentu ramai orang suka.

Thursday, November 22, 2007

Qurban 2

Saya pernah menulis tentang qurban di-sini. Seperti yang saya telah berniat, saya telah mengisikan borang di laman web yang saya maksudkan itu, dan membuat bayaran untuk berqurban satu bahagian lembu yang saya mampu (RM205).

Lebih kurang 2 minggu selepas itu, saya menerima satu bungkusan dari pengendali acara qurban di Kemboja ini. Dan mendapati mereka telah menghadiahkan empat buah buku untuk baca'an saya dan anak-anak, seperti gambar di bawah.

Dari harga yang tertulis dibelakang buku-buku tersebut, kesemuanya berjumlah lebih RM60. Saya terfikir juga, bahawa tentulah mereka tidak mengambil untung dalam acara qurban ini. Kalau ada pun tentulah sedikit sangat, mungkin untuk belanja pengurusan sahaja. Dan tertanya-tanya juga, tentulah murah harga lembu di sana. Wallahua'lam.

Wednesday, November 21, 2007

Sendiri

Sejak saya memulakan perniagaan di kawasan ini sejak 7 tahun lalu, Apek (gambar di bawah) ini telah pun berada di sini. Namun saya tidak pernah bercakap atau menegurnya. Saya cuma memerhatikannya dari jauh sahaja dan sesekali dari dekat apabila secara tak langsung dia berjalan melintasi saya pada jarak dekat.

Telah beberapa kali saya cuba untuk mengambil gambarnya sedang tidor, tetapi tidak berhasil. Peluang itu muncul, apabila saya sampai sedikit awal di kawasan pejabat pada suatu pagi dan terlihat beliau masih tidor dan sempat mengambil gambar di atas.

Walaupun sudah tentunya sejuk tidor di atas simen itu, tambahan pula hujan pada malamnya, Apek ini nampaknya tidor dengan selesa walaupun tanpa bantal dan tilam yang empuk.

Walaubagaimana pun, beberapa minit kemudian Apek terjaga, mungkin ada semut yang datang menggigit, memberi isyarat hari sudah siang. Apek kemudiannya bangun dan berjalan menuju ke sebuah restoran yang berhampiran.

Apek kelihatan sedikit hampa agaknya, kerana restoren itu belum bersedia untuk menyumbang makanan paginya, kerana masih awal. Namun dia tidak putus harapan kerana ada beberapa buah lagi restoren di persekitaran itu. Apek akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan rezeki, seperti mana yang telah dilakukannya selama ini dan akan terus melakukannya selagi masih bernyawa.

Ini pula gambar yang saya ambil semasa ke pasar tani di Taman Setiawangsa. Dia (sebelah kakinya kudung) bukan warga negara kita, tetapi menjadi penghuni tetap setiap Sabtu, di laluan orang ramai membeli-belah di Pasar Tani ini, meminta belas ikhsan.

Anda juga mungkin banyak berjumpa dengan insan-insan yang kurang bernasib baik seperti ini, di tempat-tempat anda. Kebanyaknya tidak terurus dan merayau-rayau tanpa diambil peduli. Mungkin tidak ada yang berlaku sekarang maka tidak adalah tindakan diambil untuk menjaga atau merawat mereka sewajarnya.

Kita tidak mahu apabila insan-insan ini, jika sudah terlalu tertekan, bertukar menjadi liar atau ganas, barulah ada pihak yang menyalahkan antara satu dengan yang lain. Barulah ada tindakan yang akan diambil, dan sudah tentulah ianya agak terlambat.

Monday, November 19, 2007

Kepala Ikan

Orang tua-tua selalu mengingatkan supaya jangan selalu makan kepala ikan, kerana takut cepat jadi pelupa. Tetapi biasanya amaran ini tidak diendahkan oleh anak-anak. Tetapi kini apabila sering menjadi pelupa, saya mula terfikir akan kebenaran kata orang tua-tua itu. Dan hadis juga ada mengatakan jangan banyak makan kepala ikan, nanti jadi pelupa sebab dalam kepala ikan ada acid yang boleh rosakkan neuron-neuron dalam otak kita (Wallahua'lam).

Friday, November 16, 2007

Pemimpin

Pemimpin Penipu adalah salah satu dari 70 Dosa Dosa Besar yang telah disenaraikan oleh Al-Hafizh Muhammad Bin Usman Adz-Dzahabi, di dalam bukunya yang sama tajuknya itu. Buku ini telah diterjemah, dibuat kesimpulan dan penutup bicaranya oleh Syed Ahmad Semait. Saya tertarik dengan kesimpulan yang dibuat penterjemah tersebut tentang pemimpin ini, dan ingin mengingatkan diri saya, anak-anak dan sesiapa yang sudi membacanya.

Pada zaman ini, orang yang hendak menjadi pemimpin sangatlah banyak sekali, namun pemimpin yang berazam akan membela nasib rakyat sangatlah sedikit pula. Sebab zaman ini telah rosak, zaman yang mengukur sesuatu dengan mata benda dan harta kekayaan; zaman yaag sudah tidak tahu untuk mengira harga diri, akhlak dan moraliti, kerana yang berharga sekarang adalah mata wang. Ukuran tinggi rendah ialah bergantung dengan kantong yang berisi dan kantong yang kosong, kalau sudah kantong itu kosong, tak usah beradu ilmu tinggi, atau berakhlak murni, atau pun bersih hati; semuanya sudah tidak dipandang orang lagi.


Sebab itulah "barangkali" apabila ada saja suatu jawatan kepemimpinan yang kosong, banyaklah orang yang hendak merebutnya. Dan hampir kesemua orang mengejar pangkat dan kedudukan itu telah terlebih dahulu merancang dalam kepalanya angan-angan yang besar; tergambar di dalam pemikirannya betapa bertuah nasib yang sedang menunggunya di hadapan, tidak payah lagi menetap di pondok yang kecil, menenggek di atas basikal atau motosikal dengan berpanas dan berhujan, sebab lailatul-kadar akan turun, akan mengubah segala yang bersifat payah menjadi mewah, dan yang susah akan hilang dan yang senang akan datang, kantong akan menjadi gembung, bertindih-tindih kertas yang disimpan di dalamnya, dan seterusnya segala angan-angan dan mimpi akan meruncup menjadi kenyataan.

Semua ini sebenarnya akan melupakan seseorang daripada tugas asalnya, yang akan diserahkan tugas kepemimpinan itu. Dan sememangnya pangkat dan kedudukannya dalam banyak hal akan menjadikan manusia lupakan daratan seperti kata orang tua-tua "seperti kacang lupakan kulit", dan kerana itulah juga, maka Nabi s.a.w. mengingatkan kita dari hal jawatan kepemimpinan ini, bukan boleh diberikan begitu saja kepada sesiapa yang memintanya. Akan tetapi tugas kepemimpinan itu ialah suatu tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul oleh orang yang ahli, kerana kalau ia tidak melaksanakan tugas ini dengan baik dan sempurna, padahnya sangat berat sekali di hadapan Tuhan semesta alam nanti di hari kiamat.

Dan kerana itu juga ramai dari orang-orang yang ahli di zaman dahulu melarikan diri, supaya tidak dipaksakan menjawat jawatan kepemimpinan itu, sebab khuatir tergelincir dari landasannya yang betul, padahal orang-orang itu sangat mulia akhlaknya, dalam ilmunya, lurus perjalanannya, warak dirinya dan seterusnya.

Lantaran itu bagi orang yang inginkan jawatan kepemimpinan ini, hendaklah berwaspada dan menjaga diri dari bahaya-bahaya yang boleh membawa diri ke jurang kecelakaan, bukan saja di dunia, malahan di akhirat nanti. Memang baiklah bagi mereka yang ahli, mencalonkan diri untuk menjadi pemimpin yang jujur dan adil, kerana mereka akan di calonkan kelak menjadi penghuni syurga, dan itu adalah sebaik-baik tempat bagi sebaik-baik manusia.

Wallahua'lam.

Thursday, November 15, 2007

Peningkatan

Dalam sebuah hadis, Rasul s.a.w bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam" - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Seperti sabda Rasulullah s.a.w di atas, orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ininya, adalah lebih baik daripada semalam. Ini bermakna dalam apa juga perkara perlu ada peningkatan dari semasa ke semasa. Baik untuk kehidupan di dunia mahu pun untuk kehidupan di akhirat (lebih2 lagi lah).

Apabila tiba musim cuti persekolahan ini, kita akan banyak menerima undangan untuk banyak majlis perkahwinan. Tetapi yang lebih kita kagumi ialah rakan-rakan yang telah dan akan menyambut ulang tahun perkahwian mereka, kerana pada musim cuti sekolah 18, 24 dan 28 tahun yang lalu mereka telah melansungkan perkahwinan mereka.

Ramai yang kagum dengan jangka masa yang panjang pasangan2 ini telah hidup bersama dan ingin tahu resepi kejayaan tersebut. Dan setiap mereka tentu ada rahsia yang tersendiri dan mungkin boleh dikongsi dengan yang berhajat.

Seperti yang disarankan hadis di atas, hari ini perlu lebih baik dari semalam, begitulah juga perhubungan suami isteri, ia perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa. Hubungan perkahwinan ini ibarat satu perniagan, samaada ia bertambah baik (berjaya) atau menjadi bertambah buruk (gagal). Ia tidak tetap begitu sahaja tanpa peru
bahan (terpedaya). Jka ia kekal begitu selamanya, bermakna kita tidak mempelajari apa-apa dari perhudungan itu.

Saya bukanlah orang yang pakar dalam hal ini seperti Dato' Dr. Fadilah Kamsah, tetapi satelah hampir 29 tahun bersama, saya akui, kita perlu meningkatkan perhubungan kita dari masa ke semasa. Ia tidak boleh meningkat dengan sendiri tanpa ada usaha dari kedua-dua belah pihak. Perniagaan perlu kepada keuntungan yang akan dapat dinikmati oleh kesemua rakan kongsi. Kepuasan rakan kongsi akan membolehkan perniagaan berjalan dengan lancar dan dapat bertahan, meningkat dan maju. Wallahua'lam.

Monday, November 12, 2007

Pertemuan

Pertama kali saya bertemu dengan beliau ialah lebih kurang 20 tahun yang lalu. Pada masa itu kami bekerjasama di dalam satu Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk menyediakan istilah Astronomi di dalam Bahasa Melayu. Saya terpaksa meninggalkan Jawatankuasa tersebut separuh jalan kerana bertukar tempat kerja.

Walau bagaimana saya masih mengikuti perkembanagan beliau dari masa ke semasa, termasuklah apabila beliau dilantik sebagai Director General of Science, Technlogy and Environment Ministry's Space Science Studies Division pada tahun 1995 dan seterusnya dilantik sebagai Head and Director of the United Nations Office for Outer Space Affairs di Vienna pada 1999.

Beliau kemudiannya kembali semula ke Malaysia untuk menerajui program ke angkasa lepas, dan yang lainnya adalah sejarah.

Pada 11hb malam saya dan isteri, telah ke Petaling Jaya untuk menghadiri Majlis Pernikahan anak kepada saudara dua pupu isteri saya. Dan inilah yang dikatakan dunia ini kecil sahaja, dan seperti kata Dato' Ismail Kamus, dunia ini di lihat seperti sebutir pasir sahaja pada pandangan malaikat.

Kedatangan kami di sambut oleh beliau bagi pihak tuan rumah yang tentunya sibuk dengan majlis yang sedang berlansung itu. Ia menimbulkan teka-teki juga kepada kami, akan kaitan beliau dengan keluarga tersebut. Akhirnya kami diberitahu bahawa beliau adalah adik kepada isteri, saudara dua pupu isteri saya itu.

Dan untuk merakamkan pertemuan ini isteri saya dengan sukacitanya telah meminta untuk diambil gambar bersama beliau. Inilah dia hasilnya dari kamera D40 saya.

Wednesday, November 07, 2007

Cakar

Semasa saya melihat gambar ini di muka 6 NST, hari ini (7 Nov 2007), saya teringat kepada Ustazah Siti Nor Bahyah yang menulis buku d bawah ini.

Saya lihat kuku Che Puan di dalam gambar tu sedikit panjang, dan nampak tajam. Kalau nak praktikkan cakar harimau yang Ustazah, sarankan itu tentu tak berapa boleh agaknya.

Dan kalau tersilap cakar mahu calar balar si suami.

Monday, November 05, 2007

Dana

Pada 4hb malam, sekolah anak saya yang bongsu, telah mengadakan malam gala di sebuah hotel terkemuka di Ibu Kota, bagi mengutip dana bagi membiayai pembinaan tembok di sekeliling sekolah yang sudah agak uzur.

Untuk tujuan itu, ibu bapa dipelawa untuk membeli meja untuk sepuluh orang, yang berharga dari RM1,000 hingga RM5,000 semeja. Bagi yang tidak mahu membeli meja boleh juga membeli kerusi yang berharga dari RM100 hingga RM500 sebuah.

Bagi menyerikan majlis pada malam itu, diadakan persembahan oleh murid-murid sekolah tersebut. Mereka telah mula berlatih untuk persembahan tersebut sejak dua minggu sebelumnya, dan anak saya juga terlibat sama.

Saya bukanlah hendak mempertikaikan tentang penglibatan anak saya dalam persembahan tersebut, malah kami mengalakkan. Kami juga membeli tiga kerusi untuk anak saya beserta kakak dan abangnya turut serta pada malam tersebut.

Tetapi apa yang saya kurang bersetuju ialah, seharusnya, murid yang mengambil bahagian diberi sedikit penghargaan (tentu Sarena yang menjadi pengacara pada malam tersebut mendapat bayarannya) dengan diberi tempat untuk duduk bersama2 menyaksikan persembahan tersebut. Sebaliknya untuk menyaksikan persembahan, mereka harus membeli kerusi untuk duduk di dalam dewan.

Bagi ibu bapa yang prihatin, mereka akan membelikan kerusi untuk anak2 mereka. Tetapi ada juga ibu bapa yang enggan membelikan kerusi untuk anak-anak mereka kerana mereka beranggapan yang anak2 ini telah menyumbang tenaga untuk menjayakan malam tersebut. Takkanlah terpaksa membeli meja atau kerusi pula, baru anak mereka boleh duduk untuk menikmati makanan dan menyaksikan persembahan dari kawan-kawan mereka itu.

Bayangkanlah anak2 ini telah diminta datang, sejak jam 2.30 petang unuk "rehearsal" dan hanya balik ke rumah pada jam 11.45 malam satelah selesai persembahan. Dan tentu tanpa kerusi mereka terpaksa duduk di belakang pentas sepanjang masa tersebut. Dan keesokan harinya terpaksa ke sekolah pula kerana sekolah belum bercuti lagi.