Tuesday, October 30, 2007

Nikmat


Kita selalu diingatkan supaya sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang kita rasai walau sekecil mana sekalipun. Kita tidak seharusnya kufur dengan apa juga nikmat yang kita perolehi. Kita juga harus merenung nikmat yang kita beroleh agar dapat menjadi orang yang bersyukur.

Nikmat ada pelbagai dan jangka masa nikmat di rasai. Beruntunglah mereka yang mendapat nikmat yang berkekalan. Di bawah ada beberapa perkara yang kita rasa nikmat jika mengalminya.
Kita merasa nikmat apabila dapat menghisap rokok atau sewaktu dengannya, tetapi selepas 10-15 minit, nikmat itu hilang, apabila rokok habis atau sampai ke hujungnya.

Kita merasa nikmat menonton filem lakonan pelakon yang kita minati, tetapi selepas satu dua jam, filem tersebut habis, hilang juga nikmat tersebut.

Kita merasa nikmat dapat memanching di tempat yang banyak ikan dan dapat hasil yang banyak, satu hari anda bercerita tentangnya, tetapi pada keesokannya tidak terasa kenikmatan tersebut lagi.

Kita merasa nikmat apabila berpindah ke rumah yang baru dibeli, dan gembira melayan tetamu yang datang mengucapkan tahniah, tetapi selepas seminggu nikmat tersebut pudar apabila rumah menjadi berselerak dan perlu dikemas sentiasa.

Kita merasa nikmati apabila memandu kereta yang baru dibeli, tetapi selepas sebulan, apabila ansuran bulan pertama perlu dibuat, nikmat yang dirasai juga turut hilang bersama duit yang terbang.
Angkasawan kita yang pertama merasa nikmat dapat terapung di udara dan menikmati keagungan ciptaan Allah s.a.w. dari angkasa lepas, tetapi selepas 10 hari hilang juga nikmat tersebut.
InsyaAllah, kita akan mendapat nikmat sepanjang hayat jika berjaya mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah, berjaya dalam kehidupan dan mengenang jasa ibu-bapa. Kita mengajarnya membaca Al-Quran dan apabila kita telah tiada, mereka akan membacakan ayat2 suci Al-Quran itu untuk kita pula. Ini, satu nikmat yang tidak dapat digambarkan.

Namun nikmat yang paling agung ialah nikmat Iman yang Allah berikan kepada kita. Tanpa Iman, kita akan hidup dalam kekosongan, tanpa arah tujuan. Tiada pedoman dan pegangan serta melalui hidup tanpa ada tanggungjawab untuk dipenuhi.
Semoga kita hidup dalam Iman, mati dalam Iman, dan di masukkan ke Surga bersama iman. Ameen.

Friday, October 26, 2007

Qurban

Apabila kita memperkatakan ibadah haji, maka ia tidak dapat dipisahkan dengan ibadah qurban. Walau bagaimana pun saya tidak bercadang memperkatakan tentang ibadah qurban yang akan dilakukan oleh jemaah2 haji di Mekah, tetapi bagi kita yang berada di Malaysia.

Seperti kita sedia maklum, dan sering pula dingatkan oleh tuan tuan Imam dan Ustaz, ibadah qurban ini adalah sunat muakkad, ya'ani sunat yang dituntut sangat untuk dilaksana bagi mereka2 yang mampu.

Hukumnya Sunnat Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
(1) Islam (2) Merdeka (Bukan hamba) (3) Baligh lagi berakal (4) Mampu untuk berqurban
Mulai sekarang setiap masjid dan sebahagian surau-surau tentunya telah mula mewar-warkan kepada para jemaah bahawa masjid/surau berkenaan akan melaksanakan ibadah qurban, dan mempelawa mereka-mereka yang ingin turut serta mendaftarkan nama masing2. Biasanya seekor lembu akan dikongsi oleh tujuh orang. Dengan cara ini ramai orang akan dapat mengambil bahagian dan juga boleh bergotong royong menyembelih dan membahagi-bahagikan daging korban tersebut.

Saya dan isteri biasanya balik ke kampong untuk berkorban, kerana setiap hari Raya Qurban kami akan beraya di kampong, dan tentunya akan dapat bersama2 menyaksikan penyembelihan korban tersebut.

Setelah daging korban diambil, kami akan membahagikan pula kepada jiran2 di sekeliling, walaupun semasa pembahagian daging tersebut 1/3 telah diketepikan untuk agihan kepada orang2 miskin di kawasan tersebut.

Di taman yang kami tinggal di Kuala Lumpur pun ada juga ibadah qurban dilaksanakan, tetapi daging-daging ini diagihkan kepada semua penduduk-penduduk di taman itu sendiri. Mungkin kerana tidak ada fakir miskin di sana. Tetapi pada pandangan saya adalah lebih baik jika daging tersebut di hantar kepada mereka-mereka yng lebih memerlukan, walaupun tidah tinggal di taman tersebut.
Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini saya telah mula melakukan qurban, yang di laksanakan di Kemboja. Untuk maklumat lanjut sila lawat lama web ini. Saya berpendapat bahawa dengan cara ini, akan dapat sedikit sebanyak membantu mereka2 yang betul-betul memerlukannya seperti orang-orang Islam di negara tersebut.
(Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu." (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim))
Kini hanya ada kurang dari dua bulan lagi untuk kita menyertai program qurban tersebut. Sedikit pengorbanan dari kita akan dapat menceriakan sedikit kehidupan mereka-mereka yang hidup dalam kesempitan ini. Semoga kita dapat beribadah dengan sedikit kemampuan yang kita ada ini. InsyaAllah.

Tuesday, October 23, 2007

Haji

Gambar hiasan diambil dari Internet

Haji adalah salah satu Rukun Islam yang lima, yang diwajibkan ke atas kita umat Islam, yang mempunyai kemampuan untuk mengunjungi Tanak Suci, Mekah Al-Mukarramah bagi mengerjakanya. Pada tahun ini jika tepat seperti pengiraannya, tarikh Hari Wukuf ialah pada 19hb Disember ini.

Pada masa ini para jemaah yang telah mendaftar untuk ke Mekah pada tahun ini, semuanya sudah tentu telah siap sedia dengan segala keperluannya termasuk telah menghadiri kursus-kursus haji yag telah diadakan di Masjid-Masjid sejak beberapa bulan yang lalu. Kini para jemaah tentunya sedang tertunggu-tunggu untuk mengetahui tarikh dan masa penerbangan mereka ke Mekah tersebut. Semoga mereka akan selamat pergi dan balik serta mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah.

Apa yang saya ingin saya perkatakan di sini ialah, terdapatnya golongan yang mampu dalam segala hal untuk pergi mengerjakan haji, tetapi masih menangguhkan untuk berbuat demikian. Banyak alasan yang mereka beri kenapa belum lagi mengerjakan haji walaupun telah mampu. Namun begitu, walau apa juga alasan yang mereka ada semuanya oleh diatasi jika ada kemahuan.

Tetapi disamping itu terdapat juga jemaah yang telah beberapa kali mengerjakan haji dan masih teruja untuk pergi lagi.

Bagi menyuntik sedikit semangat kepada golongan ini di bawah ini saya paparkan beberapa terjemahan Al-Quran dan hadis untuk manfaat kita bersama:

"Mengerjakan ibadah haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah bagi mereka yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah." (Ali Imran : 97)

"Barangsiapa yang memiliki bekal dan kenderaan yang dapat menyampaikannya untuk berhaji ke Rumah Allah, iaitu Masjid Al-Haram, dan dia tidak berhaji, maka pilihlah dia untuk mati sebagai Yahudi atau Nasrani (Kristian), dan yang demikian itu kerana Allah s.w.t. telah berfirman: "Mengerjakan haji itu adalah kewajipan manusia terhadap Allah bagi mereka yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah!" (Riwayat Termidzi dan Baihaqi).

"Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada kamu sebelum datang kematian pada salah seorang di antara kamu, lalu ia berkata: "Ya Tuhanku! Mengapakah Engkau tidak menangguhkan kematianku sampai waktu yang dekat, supaya aku dapat bersedekah dan nanti aku tergolong ke dalam golongan orang-orang yang soleh (Yang akan naik haji). Malangnya Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang, apabila datang waktu kematiannya, dan Allah Maha mengenal apa yang kamu kerjakan." (Al-Munafiqun: 10-11).

Walahua'lam.

Thursday, October 11, 2007

Eidul-Fitri 1428H

Assalammualaikum,

Untuk renungan kita semua saya paparkan di sini petikan dari sebuah buku yang saya rasa dapat memberi sedikit manfaat kepada kita. Ia adalah untuk renungan, amalan atau sekadar mengingatkan semula kepada apa yang telah kita ketahui sebelumnya. Semoga ada manfaatnya. InsyaAllah.

"Menyambut hari raya bukan dengan berpakaian serba baru, bukan pula dengan berbangga diri, nyanyian, hiburan atau kegiatan yang tidak bermanfaat. Menyambut hari raya harus dengan mensyukuri segalla nikmat yang Allah berikan dan dengan saling bersilaturrahim.

Ada beberapa perkara yang harus diperhatikan, iaitu:

1. Makan di pagi hari sebelum solat raya. Misalnya, memakan beberapa buah kurma.

2.
Mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah dimaksudkan untuk membahagiakan fakir miskin menghidupkan semangat saling menolong dan kasih sayaing, serta mensucikan jiwa dari sifat bakhil.

3.
Memakai pakaian baru dan harum untuk mengagungkan pemilik keindahan, Allah s.w.t. Allah mencintai keindahan. Rasullullah bersabda, “Allah sangat suka melihat bukti kenikmatan yang diberikan kepada hambaNya.”

4.
Hari Raya hendaklah diisi dengan saling mengunjungi, memberi salam, menyucikan diri, dan saling mencintai sesama insan.

5.
Hari Raya adalah hari untuk merapatkan silaturrahim, berbakti kepada orang tua, bersikap lembut terhadap fakir miskin, dan mengasihi tetangga.

6.
Hari raya bagi kaum Muslimin nampak pada semakin bertambahnya keimanan yang diikat dengan syariat Allah dan di lapisi oleh adab. Pada hari raya, nampak canda tawa dan senyuman.

7.
Hari Raya mengingakan kita pada hari diperlihatkanNya amal perbuatan. Pada hari itu, semua orang dikumpulkan, baik yang kaya, miskin, besar, kecil, seorang raja, rakyat biasa, yang hidupnya senang, sengsara, yang bergembira mahupun yang bersedih hati.

8.
Hari Raya adalah hari diberikanNya ganjaran. Orang yang berpuasa dan melaksanakan solat dengan penuh keimanan, akan diberikan khabar gembira berupa pahala yang sangat besar, kemenangan yang agung, dan ganjaran yang berlimpah. Orang yang berpuasa tidak dibenar, meremehkan perintah Allah dan melampaui batas, dia akan menyesal, bersedih dan rugi.

Setelah melaksanakan solat raya, manusia akan menjadi dua kelompok. Pertama, kelompok yang memperoleh ganjaran pahala dan keberuntungan. Allah berkata, “Pergilah, kalian telah diampuni. Kalian reda terhadapku dan Aku pun reda kepada kalian.” Kedua, kelompok yang rugi dan menyesal, mereka kembali dengan membawa penyesalan, kerugian dan kesedihan.

Suatu ketika, seorang soleh berjalan melewati orang-orang yang tengah merayakan hari raya dengan berfoya-foya. Dia berkata,”Jika kalian melakukan kebaikan di bulan Ramadhan, bukan seperti ini caranya kalian bersyukur. Jika kalian melakukan keburukan di bulan Ramadhan, bukan seperti ini pula cara merayakannya.

Saudaraku, masih ingatkah engkau terhadap orang-orang yang solat bersamamu di hari Raya sebelum ini, baik orang tua, datuk, mahupun orang yang engkau cintai, kemanakah mereka pergi.

Di hari Raya nanti engkau akan memperoleh ganjaran dari setiap amal perbuatanmu. Jaga terus catatan amalmu agar mengandungi kebaikan. Sambut hari Raya dengan mengharap keredaan dan keampunanNya.

“Sesungguhnya, telah beruntung orang yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”

(Maksud Surah Ali ‘Imran, Ayat 185).

Ya Allah, terimalah amal kami. Sesungguhnya, Engkau Maha Mendengaar lagi Maha Mengetahui. Ampuni kami, kerana Engkaulah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

(Dipetik dari buku Hikmah Bullan Ramadhan – Rahsia & Pengajarannya (Oleh Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni))

Friday, October 05, 2007

Ramadhan Ke23

"Masjid Di Simpang Empat, Alor Gajah"

Assalammualaikum,

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.:

Bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang miskin itu bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta kepada manusia, lalu ia diberikan sesuap, dua suap, sebuah dan dua buah kurma.

Para sahabat bertanya: Kalau begitu, siapakah orang miskin itu, wahai Rasulullah?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang yang tidak menemukan harta yang mencukupinya tapi orang-orang tidak tahu (karena kesabarannya, ia menyembunyikan keadaannya dan tidak meminta-minta kepada orang lain), lalu diberi sedekah tanpa meminta sesuatu pun kepada manusia.

Thursday, October 04, 2007

Ramadhan Ke22

"Masjid di Shah Alam"

Assalammualaikum,

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Terjemahan Surah At-Taubah Ayat 60)

Wednesday, October 03, 2007

Ramadhan Ke21

"Mentari di pagi 21 Ramadhan"

Assalammualaikum,

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:


Dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: Perumpamaan orang yang berinfak dan orang yang bersedekah adalah seperti seorang lelaki yang mengenakan dua jubah atau dua baju besi mulai dadanya sampai ke atas. Apabila orang yang berinfak hendak berinfak, (dalam riwayat lain) Apabila orang yang bersedekah hendak bersedekah, maka baju itu menjadi longgar padanya. Dan kalau orang bakhil hendak berinfak, maka baju itu menjadi sesak dan terasa kecil, sehingga dapat menutupi jari-jarinya dan menghapus jejaknya. Lalu ia berkata: Kata Abu Hurairah ra.: Kemudian beliau bersabda: Orang yang bakhil ingin melonggarkan pakaiannya, tetapi tidak longgar.


Untuk kemudahan mereka-mereka yang hendak menderma mengunakan kad kredit, di sebuah Masjid ini, ada di sediakan dua mesin seperti ATM di ruang legarnya, untuk kegunaan khas untuk menderma (Ekspes eDerma).

Wallahua'lam.

Tuesday, October 02, 2007

100: Ramadhan Ke20

"Masjid di Jalan Gombak 2"


Asalammualaikum,

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.

(Al-Baqarah - 187)

Monday, October 01, 2007

Ramadhan Ke19

Assalammualaikum,

"Masjid Baru di Kem Wardieburn, KL"

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap ruas tulang manusia wajib bersedekah setiap hari, di mana matahari terbit. Selanjutnya beliau bersabda: Berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, membantu seseorang (yang kesulitan menaikkan barang) pada haiwan tunggangannya, lalu ia membantu menaikkannya ke atas punggung haiwan tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya adalah sedekah. Rasulullah s.a.w. juga bersabda: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang dikerahkan menuju salat adalah sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah


"Pesta membeli-belah bukan sedekah"