Sunday, September 30, 2007

Ramadhan Ke18

Assalammualaikum,


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(Terjemahan ini diambildari laman web ini)

Saturday, September 29, 2007

Ramadhan Ke17

"Masjid Negara download dari Internet"
Asslammualaikum,

Hadis Ibnu Umar r.a: Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada setiap bulan Ramadhan kepada umat Islam, iaitu sebanyak satu saa' iaitu satu gantang kurma atau satu saa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita.

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Kami biasanya mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu gantang makanan, satu gantang gandum, satu gantang kurma, satu gantang keju atau satu gantang zabib iaitu anggur kering.

Hadis Ibnu Umar r.a: Rasulullah s.a.w memerintahkan agar zakat fitrah ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk mendirikan sembahyang Hari Raya.

(Terjemahan ini di ambil dari laman web ini,)

Friday, September 28, 2007

Ramadhan Ke16

"Surau di Taman Setapak Indah"

Assalammualaikum,
Hadis riwayat Ibnu Umar r.a.: Bahwa sekelompok orang dari sahabat Rasulullah s.a.w. bermimpi melihat lailatulkadar pada hari ke tujuh yang terakhir.
Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menurutku bahwa mimpi kalian pasti bertepatan dengan hari ke tujuh terakhir, maka barang siapa yang ingin menantinya, maka hendaklah ia menanti pada hari ke tujuh terakhir (bulan Ramadan) ."

Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: "Rasulullah saw. bersabda: Cari dan nantikanlah lailatulkadar pada sepuluh terakhir bulan Ramadan."
(Terjemahan ini di ambil dari laman web ini,)

Thursday, September 27, 2007

Ramadhan Ke15

"Masjid di Johore Bahru"
Assalammualaikum,
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Tidaklah seorang yang bersedekah dengan harta yang baik, Allah tidak menerima kecuali yang baik, kecuali (Allah) Yang Maha Pengasih akan menerima sedekah itu dengan tangan kananNya. Jika sedekah itu berupa sebuah kurma, maka di tangan Allah yang Maha Pengasih, sedekah itu akan bertambah sampai menjadi lebih besar dari gunung, sebagaimana seseorang di antara kalian membesarkan anak kudanya atau anak untanya."
(Terjemahan ini di ambil dari laman web ini,)

Wednesday, September 26, 2007

Ramadhan Ke14

"Gambar Sebagai Hiasan Sahaja"

Assalammualaikum,
"Makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan! Sungguh Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
(Al-A'raf: 31)


"Dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya."
(Al-Isra':26-27)


"Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebih, dan tidak (pula) bakhil, dan adalah (pebelanjaan itu) di-tengah-tengah antara yang demikian."
(Al-Firqan: 67)

(Terjemahan ini di ambil dari buku Hikmah Bulan Ramadan,Rahsia dan Pengajarannya Oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni(Pengarang Buku Jangan Bersedih ))

Tuesday, September 25, 2007

Ramadhan Ke13

"Gambar download dari Internet"

Assalamualaikum,

Rasululllah s.a.w. bersabda: "Aku pernah beri'tikaf pada sepuluh hari pertama bulan Ramadhan agar mendapat malam Lilatul Qadar. Kemudian aku beri'tikaf pada sepuluh malam pertengahan."

Tiba-tiba Jibril mendatangiku dan berkata: "Malam itu ada di sepuluh malam terakhir."

"Oleh itu, bagi orang yang ingin beri'tikaf, hendaklah beri'tikaf di malam malam itu."

(HR. Muslim).

(Terjemahan ini di ambil dari buku Hikmah Bulan Ramadan,
Rahsia dan Pengajarannya Oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni
(Pengarang Buku Jangan Bersedih ))

Monday, September 24, 2007

Ramadhan Ke12

"Masjid Nabawi dari Flikr"

Assalammualaikum,

Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri r.a.: Rasulullah s.a.w. pernah melakukan iktikaf pada sepuluh hari pertengahan bulan Ramadan. Ketika mana waktu dua puluh malam telah berlalu dan akan menyambut malam yang kedua puluh satu, maka beliau kembali ke rumahnya dan sahabat yang beriktikaf bersama beliau juga kembali ke rumah mereka.

Kemudian beliau bangun malam pada malam ia kembali dari iktikaf, dan berpidato di hadapan sahabat serta menyuruh mereka untuk melaksanakan kehendak Allah lalu bersabda: "Sungguh dahulu aku iktikaf pada sepuluh malam ini (sepuluh malam pertengahan) kemudian nampak olehku (melalui mimpi) untuk iktikaf pada sepuluh malam akhir. Barang siapa yang pernah iktikaf bersamaku, maka hendaklah ia tidur di tempat iktikafnya. Sesungguhnya aku telah melihat (lailatulkadar) pada malam-malam ini, tetapi lalu aku lupa (waktunya), maka cari dan nantikanlah malam itu di sepuluh malam akhir yang ganjil. Aku pernah bermimpi bahwa aku sujud di air dan lumpur."

Abu Said Al-Khudri berkata: :"Pada malam kedua puluh satu, kami diturunkan hujan, sehingga air mengalir dari atap mesjid ke tempat solat Rasulullah s.a.w., lalu aku memperhatikan beliau. Beliau sudah selesai dari solat Subuh dan pada wajah beliau basah dengan lumpur dan air."
(Terjemahan ini di ambil dari laman web ini,)

Sunday, September 23, 2007

Ramadhan Ke11

"Masjid Wilayah Persekutuan download dari Internet"
Assalammualaikum,
Anas ibn Malik al-Ka'bi meriwayatkan, Rasulullah bersabda: "Allah telah memberikan keringanan dalam puasa dan solat kepada orang yang sedang bermusafir. Allah juga telah memberikan keringanan kepada wanita hamil dan menyusuinya di dalam puasanya."
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286).
(Terjemahan ini di ambil dari buku Hikmah Bulan Ramadan,
Rahsia dan Pengajarannya Oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni
(Pengarang Buku Jangan Bersedih ))

Saturday, September 22, 2007

Ramadhan Ke10

Assalammualaikum,
Hadis riwayat Anas ra., ia berkata: Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan solat di bulan Ramadan. Kemudian aku datang ikut solat di samping beliau. Kemudian datang lagi orang lain dan ikut pula mengerjakan di sampingku dan seterusnya, sampai kira-kira sebanyak sepuluh orang. Ketika Rasulullah s.a.w. merasa akan keberadaan kami di belakangnya, beliau meringankan solat kemudian pulang ke rumah untuk melanjutkan solat yang masih tersisa.
Pagi harinya aku tanyakan hal itu kepada beliau: "Apakah semalam engkau sengaja memberikan pelajaran kepada kami?"
Beliau menjawab: "Betul, itulah alasan yang membuat aku melakukan seperti itu."
Anas berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w. melakukan puasa sambung. Hal itu terjadi di akhir bulan Ramadan. Mengetahui hal itu maka ada beberapa orang sahabat yang ikut berpuasa sambung.
Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda: "Apakah mereka mahu ikut berpuasa sambung bersamaku? Sesungguhnya kalian tidak seperti aku. Demi Allah, seandainya bulan ini dipanjangkan untukku, niscaya aku akan terus berpuasa biar hal itu menjadi pelajaran bagi mereka yang keras kepala."
Wallahua'lam.
(Terjemahan ini di ambil dari laman web ini, tetapi ada juga
terdapat dal kitab yang saya rujuk itu)

Friday, September 21, 2007

Ramadhan Ke9

Assalammualaikum,

"Mesjid di Wangsa Melawati, KL"

Hadis 1

Dari ‘Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa meninggal dunia sedangkan ia ketinggalan puasanya, (maka puasa yang ketinggalan itu) boleh dipuasakan (dibayar) oleh walinya.”

Hadis 2


Dari Ibnu Abbas r.a., katanya ada seorang laki-laki dating bertanya kepada Rasulullah s.a.w. katanya: “Ya Rasullulah! Ibu saya telah meninggal dunia dan beliau ketinggalan puasanya satu bulan. Bolehkah saya puasa untuk membayar puasanya itu?”

Jawab Nabi s.a.w., “Ya, boleh!”

Dan beliau bersabda menambahkan, “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk dibayar.”

Thursday, September 20, 2007

Ramadhan Ke8

Assalammualaikum,



Dari Jabir r.a. katanya: “Pada suatu ketika dalam perjalanan Nabi s.a.w. melihat seorang laki-laki dipayungi."
Lalu Nabi bertanya, “ Kenapa (orang) ini?”
Jawab mereka, “Dia puasa.”
Sabda Nabi s.a.w. “ Bukanlah suatu kebaikan puasa dalam perjalanan.”

Dari Anas r.a., katanya: “Kami pernah berpergian bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Tidak pernah orang puasa mencela orang berbuka, dan tidak pula orang berbuka mencela orang puasa.
Wallahua'lam.

Wednesday, September 19, 2007

Ramadhan Ke7

Assalammualaikum,


"Masjid di Jalan Gombak"


Dari 'Aisyah r.a. katanya Nabi s.a.w. pernah menciumnya dan sama tidur dengan dia, pada hal dia puasa. Dan beliau adalah orang yang paling sanggup menguasai nafsu berahinya.


Dari 'Aisyah r.a. katanya Nabi s.a.w. pernah mendapati fajar dalam bulan Ramadhan dalam keadaan junub bukan bermimpi, lalu beliau mandi dan terus puasa.


Wallahua'lam.

Tuesday, September 18, 2007

Ramadhan Ke6

Assalammualaikum,
"Sebuah Mesjid di Johor"
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: " Apabila seseorang lupa, lalu ia makan dan minum, maka hendaklah ia meneruskan puasanya. Sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum."
Dari Sahl bin Sa'd r.a. katanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: " Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka itu menyegerakan berbuka."

Wallahua'lam.

Monday, September 17, 2007

Ramadhan Ke5

"Masjid Baru di Wangsa Maju"
Dua hadis untuk renungan pada hari ini:
(i)
Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: "Kami sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian beliau pergi solat."
Orang bertanya, "Berapa (lama) antara azan dengn sahur?"
Jawab Zaid, "Kira-kira (selama membaca) lima puluh ayat."

(ii)

Dari Anas r.a. katanya: Nabi s.a.w. bersabda: " Sahurlah kamu, kerana di dalam sahur itu teradapat berkat."

Wallahua'lam.

Sunday, September 16, 2007

Ramadhan Ke4

"Pasar Tani Taman Setiawangsa"
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasullulah s.a.w. bersabda:
“Allah berfirman: “Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: “Aku ini puasa.”

Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggamanNya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya.”
Wallahua'lam.


"Pasar Ramadhan Taman Setiawangsa"

Saturday, September 15, 2007

Ramadhan Ke3

"Masjid di Taman Melati Selepas Solat Jumaat"
Hari ini hadis yang saya pilih adalah seperti berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa menafkahkan dua perkara pada jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari beberapa pintu surga. Wahai Hamba Allah! Inilah kebaikan!

Maka siapa yang mengerjakan solat ia akan dipanggil dari pintu solat; siapa yang ikut berperang, ia akan dipanggil dari pintu jihad; siapa yang puasa, ia akan dipanggil dari pintu rayyaan, dan siapa yang bersedekah, ia akan dipanggil dari pintu sedekah.”

Kata Abu Bakar, “Aku tebus engkau dengan Bapak dan Ibuku, hai Rasulullah! Tiadalah suatu kesukaan bagi orang-orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu, dan adakah seseorang dipanggil dari pintu-pintu itu semuanya?"

Jawab Nabi s.a.w.
“Ya, dan aku mengharapkan supaya engkau termasuk dalam golongan mereka itu.”

Thursday, September 13, 2007

Ramadhan Kedua

Hadis untuk hari ini adalah seperti berikut:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Ketika kami sedang duduk-duduk di samping Nabi s.a.w., tiba-tiba datang seorang laki-laki lalu berkata kepada beliau,

“Ya, Rasulullah! Celaka aku.” Kata orang itu, “Aku bersetubuh dengan isteriku, padahal aku puasa”

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Adakah engkau mempunyai hamba sahaya yang akan engkau merdekakan?”

Jawabnya, “Tidak!”

Sabda Nabi s.a.w., “Sanggupkah engkau puasa dua bulan berturut-turut?”

Jawab laki-laki itu, “Tidak!”

Sabda Nabi s.a.w., “Sanggupkah engkau memberi makan enam puluh orang miskin?

Jawabnya, “Tidak!”

Nabi s.a.w. diam. Sementara itu dibawa orang kepada Nabi sebakul kurma. Lalu beliau bertanya, “Mana orang itu?”

Jawab orang itu, “ Saya, ya, Rasulullah!”

Sabda Nabi s.a.w., “Ambillah kurma ini, dan bersedekahlah dengannya.!”

Kata orang itu, “Apakah saya harus bersedekah kepada orang yang fakir dari saya, ya, Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang berada antara dua perbatasan yang berbatu-batu (dari kota Madinah) Yang lebih fakir daripada keluargaku.”

Mendengar itu Nabi s.a.w. tertawa sehingga nampak taring beliau. Kemudian beliau bersabda, “Berikanlah untuk makan keluargamu."

Hadis berikut yang juga dari kitab yang sama perlu juga di beri perhatian.

Dari Abdullah r.a, katanya kami pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang telah merasa sanggup untuk berumah tangga, maka hendaklah ia kahwin. Sesungguhnya kahwin itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara bagi kehormatan. Dan siapa yang belum sanggup, hendaklah dia puasa, kerana puasa itu dapat mengurangi nafsu berahi."

Satu Ramadhan

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya akan mempamerkan hadis-hadis berhubungdengan Puasa yang dipetik dari kitab di atas, untuk renungan dan santapan rohani kita bersama, InsyaAllah.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan."
(Tambahan)

Sebuah surau yang sempat diambil gambarnya. Surau pun sudah semakin moden reka bentuknya. Menara tinggi itu diguna untuk membuat pengumuman kecemasan, apabila perlu, kata Pak Iman Yang dijumpai.

Wednesday, September 12, 2007

Tagged: All-Fives

Ini kali kedua saya ditag, selepas kali pertama semasa Idham memulakan Tag for Charity nya. Kini giliran Fauziah pula mengetag saya. Walaupun tujuan berbeza tapi sebagai menyahut cabaran, saya akan buat jawapan yang diperlukan.

Seperti keperluan tag ini ,saya perlu memberitahu pembaca blog saya, 5 benda/barangan yang boleh dijumpai di dalam 5 tempat yang agak sulit dan peribadi saya seperti berikut.

(The tag is another one of those that demands you to reveal a little bit of yourself. You have to tell your blog readers 5 items/things that can be found in 5 "intimate" places, including two that are in your heart and mind).

5 benda di dalam bag/brief case:
1. Hand phone & charger
2. Buku Rujukan
3. Pen
4. Buku Nota
5. Minyak Rambut, kain pelikat, ketayap.
5 benda dalam dompet:
1. Wang tunai
2. MyKad
3. Kad Pesara
4. Kad ATM, Kredit, Keahlian dan
5. Kad Bisnis
5 benda favourite dalam bilik saya di pejabat:
1. Buku-buku Rujukan
2. Settee untuk lepak2 bila malas nak buat kerja.
3. Laptop/scanner/printer
4. Astro decoder/TV
5. Gambar2 keluarga.

5 perkara yang ingin saya lakukan:
1. Melakukan Ibadah Haji sekali lagi
2. Melawat Eropah terutama bandar Paris
3. Menghafal banyak Surah Al-Quran
4. Belayar di perairan negara dengan bot sendiri
5. Terus bekerja selagi termampu.
5 perkara yang sedang dilakukan:
1. Berusaha meningkatkan lagi kefahaman tentang Agama
2. Mendapatkan tempat untuk anak menjalankan praktikal di bidang "chemical engineering"
3. Membaca buku bertajuk "The Blue Ocean Strategy" (pening nak fahamkan.)
4. Menyediakan perancangan untuk satu projek yang sedang diusahakan.
5. Memikirkan siapa yang hendak ditagkan.
Oleh kerana dah pun nak masuk bulan puasa, saya tidaklah berniat untuk nak tag sesiapa lagi, melainkan ada yang sudi nak tagkan diri sendiri. Sila-silakan lah.

Tuesday, September 11, 2007

PJK

Pada suatu hari semasa memasuki sebuah gedung membeli-belah bersama anak kecil saya, kami telah dihampiri oleh seorang jurujual wanita. Dia menunjukkan kapada saya satu alat yang dipasang di pinggang seperti vibrator (bertujuan untuk mengempiskan perut). Maka terjadilah perbincangan seperti berikut:

Zabs: Apa yang cik nak jual ni (sengaja nak mengelak)?.

J/Jual: Alat ini bagus untuk encik.

Zabs: Kenapa bagus?

J/Jual: Boleh kasi kempis perut encik.

Zabs: Saya suka perut saya macam ini, tak perlulah alat tu (sambil berlalu).
...............................

Anakz: Dia perasan perut ayah buncit kot?

Zabs: Ye lah tu, tapi kalau nak jual barang kenalah ambil hati pelanggan dulu.
................................

Kebanyakan orang termasuklah saya tak suka di kejutkan begitu. Walupun sudah tahu sendiri Perut dah Jalan Ke depan. Dari gambar-gambar di bawah, boleh juga saya di kategorikan sebagai PJK kan?



Tetapi sehari dua lagi kita akan dapat peluang untuk mengempiskan perut bagi PJK-PJK ini, dengan cara yang diredhai dan wajib dilakukan pula. Tetapi tentu tidak akan mendapat apa-apa manfaatl jika sebelum berpuasa lagi dah berkira-kira di mana hotel yang mempunyai buffet Ramadhan yang terbaik untuk di kunjungi. Wallahua'lam.

Kenangan Di Mekah

Pertama kali saya ke Mekah untuk menunaikan Umrah ialah pada tahun 2001, pada bulan September, kerana cuti sekolah. Kami pergi berdua sahaja dan anak2 yang telah dewasa bersetuju menjaga adiknya yang kecil semasa ketiadaan kami.

Kami berada di sana selama 12 hari dan Alhamdulillah, kami dapat melaksanakan ibadah Umrah dengan baik dan sempurna dengan bimbingan seorang Ustaz yang sudah berulang-alik selalu untuk membawa jemaah mengerjakan ibadah tersebut. Tiada perkara yang tidak enak berlaku dan kami cukup bersyukur dengan keadaan tersebut, kecuali satu peristiwa yang telah berlaku dan akan menjadi kenangan buat kami.

Pada suatu malam selepas balik dari Masjidil Haram, seperti biasa kami makan malam di dewan makan. Selepas makan kami (saya dan isteri) balik ke bilik untuk berehat dan tidor, kerana seperti biasa akan bangun awal sebelum subuh untuk ke Masjidil Haram semula.

Oleh kerana belum mengantuk saya membuka TV yang di sediakan di dalam bilik tersebut. Walaupun berbahasa Arab keseluruhan rancangannya, tetapi semasa berita disiarkan dapat juga kami fahami serba sedikit apa yang dipaparkan.

Pada malam itu kami terkejut dengan gambar yang di lihat di kaca tv. Ia seperti satu babak di dalam filem perang. Kami tertanya-tanya apa yang berlaku. Oleh kerana waktu telah lewat malam, kami menyimpan sahaja hasrat ingin tahu itu sehingga keesokannya.

Esoknya semasa hendak bersarapan, terdapat sedikit kekecohan di lobi hotel itu. Akhirnya kami mendapat tahu berita sebenarnya apabila bertanya kepada Ustaz yang membimbing kami akan hal sebenarnya. Tentu anda pun tahu apa yang telah berlaku pada bulan September tahun tersebut. Jika anda masih tidak dapat menekanya, sila lawat laman web ini.
Kini setiap kali tiba tarikh tersebut saya akan sentiasa teringat kenangan pertama kali berada di Mekah, di bumi kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

SELAMAT BERPUASA, DAN JANGAN LEPASKAN PELUANG UNTUK MELIPAT GANDAKAN AMAL IBADAH KITA DI BULAN YANG MULIA DAN PENUH DENGAN KEBERKATAN INI. INSYAALLAH.

Sunday, September 09, 2007

Kejujuran

Seorang kawan tertinggal sehelai baju "T" yang baru dibeli dikedai sukan di lapangan terbang sebelum berlepas dengan kapal terbang. Beliau sebenarnya tidak sedar pun yang baju tersebut telah tertinggal. Beliau hanya menyedarinya apabila jurujual dari kedai tersebut menghantarkan nya kepada beliau, yang sedang mendaftar untuk penerbangannya.
Isteri saya tertinggal cincinnya di salah sebuah motel yang kami tinggal dalam percutian kami. Hanya setelah kembali ke rumah baru beliau sedar akan kehilangan itu. Kami menalifon motel tersebut dan diberitahu bahawa mereka ada terjumpa cincin tersebut. Tiga hari berikutnya kami menerima cincin tersebut melalui pos berdaftar yang ditanggung oleh pihak motel.
Semasa hendak menaiki sebuah teksi di hadapan sebuah kedai, saya telah tertinggal sebuah kamera, kerana ada barangan lain yang lebih saya pentingkan ketika itu. Setelah sampai ke destinasi, baru saya teringat akan kamera tersebut. Kami pergi ke tempat itu semula dan mencarinya jika ia masih di sana. Dalam kami mencari itu tuan kedai keluar dan memberi isyarat adakah kami sedang mencari kamera yang ditangannya itu. Kami ucap terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau, beliau mungkin tidak memahami kata2 kami itu.
Ketiga-tiga insiden itu berlaku di luar negara. Yang pertama di Australia, kedua di New Zealand dan terakhir di Jepun. Begitulah sifat kejujuran yang telah mereka tunjukkan kepada orang asing di negara mereka.
Memang benar kita juga selalu mendengar, tentang kejujuran pemandu-pemandu teksi kita memulangkan semula barang-barang atau wang yang mereka jumpai di dalam teksi mereka. Tetapi tidak kurang juga yang melakukan sebaliknya.
Pernah kami kehilangan microwave oven yang di ambil untuk dibaiki, dari rumah oleh pekerja kedai membaiki barang2 elektrik. Salah kami kerana tidak meminta resit penerimaan, tetapi bukan salah kami, apabila pekerja tersebut memutuskan untuk berhenti kerja selepas itu.
Kami juga kehilangan sebuah video camera yang baru sahaja digunakan untuk mengambil gambar majlis konvo anak yang baru menerima ijazah. Kamera tersebut hanya tertinggal beberapa minit sahaja di meja yang tidak dijaga.
Jikalaulah orang yang mengambil itu mempunyai pemikiran bahawa walaupun orang tidak melihat apa yang dia buat, tetapi Allah Maha Melihat, perkara seumpama ini tidak akan berlaku. Tetapi kita juga perlu menjaga barangan milik kita, agar tidak membuatkan orang lain teruja untuk mengambilnya tanpa kebenaran kita.

Friday, September 07, 2007

Hantaran

Setiap kali majlis pertunangan atau perkahwinan di adakan, kita akan melihat rombongan dari pihak lelaki akan membawa bersama barangan hadiah yang digubah cantik untuk pihak perempuan, yang secara popular di kenali sebagai "Hantaran". Pihak perempuan pula akan menyediakan balasan, biasanya 2 lebih dari yang dibawa oleh pihak lelaki. Di bawah adalah beberapa gambar hantaran yang pernah saya lihat.
















Bermacam-macam barangan telah dipilih untuk dijadikan hantaran, terdiri dari kain, pakaian hingga ke alat solek dan barang-barang kemas. Tetapi dalam banyak hantaran yang pernah saya lihat, ini lah kali pertama saya lihat kasut sukan di hantar sebagai hantaran. Tentu pengantin lelaki ini seorang yang aktif bersukan dan susah tentu akan dapat menjamin kesihatannya untuk melayari bahtera rumah tangga.

Wednesday, September 05, 2007

Karnival Sukan


Pada 25hb Ogos lalu saya menemani isteri dan anak untuk menyertai karnival sukan seperti di atas. Percaya atau tidak ini adalah kali pertama HKL mengadakan Hari Keluarga begini, sejak di tubuhkan puluhan tahun dahulu. Itulah yang dikatakan oleh Pengarahnya semasa berucap merasmikan karnival tersebut. Pada anggaran saya HKL mempunyai lebih kurang 6000 setaf. Tetapi pemerhatian saya mungkin 1/6 sahaja yang datang pada hari tersbut.


Acara yan sepatunya bermula pada jam 7.00 pagi, terlewat sedikit kerana hujan. Hanya pada jam 8.00 baru bermula dengan acara senamrobik.


Selepas acara senamrobik, Karnial di rasmikan pembukaannya oleh Pengrah HKL, dan seterusnya penonton di persembahkan dengan tariaan "Poco poco", yang rasa amat popular di kalangan golongan wanita berumur 40an ke atas. Seramai lebih 200 penari melakukannya. Dengar cerita mereka berlatih hampir dua bulan unuk menyeragamkan "steps" tarian tersebut.


Selepas itu barulah acara karnival bermula. Ada berbagai acara termasuklah untuk kanak-kanak dan dewasa. Antara acara yang dijalankan termasuk:


Lari dalam guni.


Berjalan beramai-ramai dengan terompah besar.

Mengisi air dalam botol menggunakan sponge.

Larian monyet.

Mengupas kelapa tanpa guna parang atau lain-lain alat.

Zorro datang untuk memeriahkan suasana.


Sebahagian penonton yang hadir.

Dan sudah tentu acara akhir, ialah tarik tali.
Kami tidak menunggu sehingga akhir, kerana hendak menghadiri satu majlis kahwin pada tengaharinya. Walaupun pertama kali diadakan, ianya agak meriah dan karnival berjalan dengan baik. Semoga ia dapat mengeratkan lagi kerjasama semua setaf di HKL, dan agar ia dapat dijadikan acara tahunan selepas ini.

Tuesday, September 04, 2007

LHDN

Semalam saya mendapat surat dari pihak LHDN, Wangsa Maju, untuk datang ke pejabat mereka, untuk menyelesaikan masalah, potongan cukai berjadual (PCB) untuk gaji saya, bagi bulan Mac dan April 2006.
Pagi ini saya datang awal ke pejabat untuk menyemak, samaada PCB tersebut ada di buat atau tidak. Mengikut rekod kami, tidak ada yang tertunggak untuk tahun 2006. Tetapi untuk bulan Mac dan April ia telah lewat di bayar kerana, ada sedikit kegawatan pada masa tu, dan ia lewat sebulan dibayar (di bayar pada Mei 2006).
Saya ke pejabat LHDN selepas itu. Apabila diberitahu tentang PCB yang tidak tertungak itu, pegawai yang dirujuk memberitahu bahawa kami, sebenarnya telah didakwa kerana kelewatan membuat bayaran PCB, bukan sebab ada tunggakan. Untuk menggelak dari dibawa ke mahkamah pada 31 Oktober, saya memutuskan untuk membayar kompaun RM300 sebulan itu. Ini bermakna syarikat (saya) perlu membayar RM 600 secepat mungkin kepada LHDN.
Pengajaran. Walaupun gaji pekerja tidak dapat dibayar pada hujung bulan, PCB yang telah ditetapkan mesti dibayar juga sebelum 10hb setiap bulan oleh majikan.
Terlanjur telah berada di sana saya memutuskan untuk menyemak baki cukai yang saya masih terhutang. Dari semakan itu saya dapati LHDN ada memegang wang terlebih kutip dari saya sejak 2004. Oleh kerana cukai saya bagi tahun 2006 lebih dari bayaran PCB saya, maka duit itu telah dikontra untuk bayaran cukai, dan saya hanya perlu tambah sedikit sahaja lagi. (Cuma saya rasa nak minta diorang bayar kompaun pada saya pula, kerana pegang duit saya tanpa izin sejak 2004 itu. Adil tak?)
Walaupun urusan saya sekejap saja, tetapi terpaksa menunggu hampir satu jam, kerana ada satu mamat tu, besar sangat masalah cukai dia. Lebih satu jam dia menghadap pegawai cukai perempuan yang sabar melayannya itu. Sampai dua tiga kali dah nak bangun , tapi dia duduk semula.
Sementara menunggu, saya cari2lah benda nak dibaca, sebab takda bawa buku atau surat khabar. Dan inilah yang saya jumpa untuk dibaca, dirak majallah yang disediakan:
WANITA keluaran Disember 1990

Motherhood keluaran March 1991

Dan Terbaru SAJI keluaran Januari 2006
Tak jadi saya nak membaca, kerana macam masuk arkib negara pula.
Di sini juga saya nak kongsi satu sms yang saya terima dua kali semalam.
Hari ni HARI JANTUNG SEDUNIA:
Kita jalan, jantung jalan.
Kita berhenti, jantung jalan.
JANTUNG BERHENTI, KITA JALAN
Sayangi jantung anda.
(Kawan saya yang dimasukkan ke wad pada 15hb Ogos tempuh hari sudah bertambah sehat sekarang. Alhamdulillah).