Thursday, August 30, 2007

Lima Puluh

(Sempena Ambang Kemerdekaan ini genaplah setahun saya menyelia blog ini. Entri pertama saya pada 30 Ogos 2006 ada di sini.)

LIMA PULUH TAHUN BERLALU SUDAH
MALAYSIA MERDEKA DARI PENJAJAH
NEGARA MAJU AMAN DAN INDAH
TAPI TAK SEMUA MERASA MEGAH

MENARA KEMBAR MENCECAH AWAN
RAKYAT GAGAH EVEREST DITAWAN
AHLI KOPORAT RAMAI JUTAWAN
HIDUP MEWAH DIGELAR HARTAWAN

BULAN OGOS 31 HARIBULAN
SETIAP TAHUN DISAMBUT SAKAN
DI SANA PESTA DI SINI HIBURAN
LUPA PADA YANG MEMERLUKAN

DALAM GEMBIRA SAMBUT MERDEKA
JANGAN LUPA SI MISKIN PAPA
APA KAH HARAPAN BAGI MEREKA
DAPAT HILANG LAPAR DAHAGA

JURANG PERBEZAAN PERLU DIRAPAT
ANTARA KAYA DAN MISKIN MELARAT
AGAR HIDUP MENJADI BERKAT
NEGARA AMAN LAGI BERDAULAT

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 50, MALAYSIA.

Tuesday, August 28, 2007

Bendera Ku

Kelihatan Jalur Gemilang berkibar di tiang dengan megahnya. Begitulah kedudukannya, kerana ia di reka untuk berkibar di tiang. Ia akan dinaik dan diturunkan ditiang yang disediakan pada masa-masa tertentu. Bulan sabit menghala ke kanan dan bintang dihadapannya, serta jalur merah dan putih mendatar menghala kekanan.

Apabila di reka bentuk sebagai bunting, kedudukan bulan sabit diubah menghala ke atas dengan bintang terletak di atasnya. Tetapi jalur merah putih menghala ke bawah, tidak sama seperti terdapat di Jalur Gemilang.
Ramai mahukan supaya bunting itu kelihatan seperti gambar di atas, supaya lebih konsisten dengan Jalur Gemilang.

Saya pula lebih suka jika bulan sabit dan bintang di bunting itu dibuat sama seperti, semasa Jalur Gemilang berkibar di tiang, seperti gambar di atas. Apa kata survey?.......

(Gambar-gambar telah diubahsuai untuk tujuan demonstrasi).

Monday, August 27, 2007

Cerita Orang Merdeka

Sambil menikmati jamuan makan di satu majlis perkahwinan, saya mendengar perbualan berikut:

Perbualan Satu

Dato' M: Dato' H, mari duduk meja ni , kita makan bersama, kami baru nak mula ni.

Dato' H: Takpalah saya nak pi ambik kat meja buffet tu, panas sikit makanannya, saya datang 40km ke sini, tak nak makan yang dah sejuk punya.

Dato' M: Panas lagi ni, cuba rasa?

Dato' H meraba bekas makan yang terhidang, dan duduk di meja kami (mungkn dia puas hati makanan masih panas lagi).

Perbualan Dua

Dato’ H: Dato’, tinggal di mana sekarang?

Dato’ M: Di Shah Alam. Dato’ pula di mana?

Dato’ H: Di USJ, Dato’ bukan tinggal di Bukit Jelutung ke, tempat orang-orang kaya tu?

Dato’ M: Tidak di Shah Alam Seksyen 7. Dato’ di USJ tu, tempat orang-orang kaya juga kan?

Dato’ H: Di USJ tu ada rumah mewah ada rumah murah, I yang tengah-tengah.

Dato’ M: Oooo… sama lah macam saya di Shah Alam tu.

Kedua–dua Datin tak cakap apa-apa pun. Saya dan isteri kenyit kenyit mata yang tak masuk abuk. (Dato’-Dato’ pun takda modal juga nak cakap. Cuma cerita-cerita macam orang biasa (macam saya) juga rupanya).

Friday, August 24, 2007

Pareto (80/20 Rule)

Seorang ahli ekonomi dari Italy, Vilfredo Pareto, pada 1897, telah mendapati bahawa 20% dari penduduk negaranya memiliki 80% dari kekayaannya. Dia juga mendapati perkara yang sama di negara-negara lain yang dia melakukan kajian. (Di Malaysia mungkin 10% sahaja kot?).

Kini prinsip 80/20 nya itu telah terkenal ke seluruh dunia. Prinsip itu meramalkan bahawa dalam sesuatu situasi, sedikit benda itu adalah lebih penting dari selebihnya (atau sebaliknya).
Seperti berikut:
20% dari makanan kita, mengandungi 80% lemak yang kita makan.
20% dari pakaian kita, adalah 80% lebih selalu kita gunakan.
Kita menghabiskan 80% dari waktu kita dengan 20% dari rakan-rakan kita.
20% dari pelanggan kita menyumbang 80% kepada keuntungan.

Oleh itu besar kemungkinan perkara berikut adalah benar:

20% laman blog di baca oleh 80% pelawat-pelawat blog.
20% pembaca laman blog mengomen, 80% hanya baca je.
20% laman blog bermanfaat, 80% seronok sendiri agaknya.
20% mengupdate laman blog selalu, 80% bila teragak saja.
20% ambil iktibar dari apa yang dibaca, 80% buat derk je.
20% ambil hati dari bacaan, 80% buat derk jugak.
20% rasa terancam bila baca, 80% pula kata padan muka depa.

Blog saya kategori apa agaknya ya…..apa-apa pun saya biasa-biasa aje.

Tuesday, August 21, 2007

Kesabaran

Jika kita melihat kepada kejayaan yang telah dicapai oleh orang2 yang berjaya, di dalam apa bidang sekali pun, kita akan dapati mereka telah berusaha dengan gigih dalam tempuh yang lama, untuk mencapai peringkat di mana mereka berada sekarang.

Tiger Wood misalnya telah mula memukul bola golf ketika berumur 2 tahun lagi. Jadi tidak hairanlah jika pada umur 20an beliau telah menjadi juara dunia. Beliau mungkin perlu memukul 1000 bola setiap hari untuk mendapatkan pukulan yang terbaik. Ketekunannya berlatih menghasilkan kejayaan di dalam sukan yang diminatinya itu.

Dato' Jimmy Choo membuat kasutnya yang pertama pada umur 11 tahun. Beliau ke England pada usia muda untuk menyambung pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen, serta menanggung pengajiannya sendiri selama 3 tahun, dengan melakukan kerja secara separuh masa sebagai pencuci di restoren dan juga di kilang kasut. Tidak tahulah berapa ratus pasang kasut telah direkanya, sehingga salah satu darinya telah dilihat oleh mendiang Puteri Diana, yang telah berkenan, lalu membelinya. Semenjak dari hari itu, yang lainnya telah menjadi sejarah sekarang.
Nelson Mandela pejuang Apatheid di Afrika Selatan, memulakan kerier politiknya pada usia 24 tahun. Walaupun pernah di penjara selama 28 tahun tetapi tetap tidak mengubah pendirian politiknya. Hanya menjadi Presiden pada usia 76 tahun. Beliau bersara selepas satu penggal walaupun masih disukai ramai. Bukan harta atau kuasa yag diingini, tetapi kebebasan kaumnya dari ditindas yang menjadi agenda. Kegigihan dan kesabarannya yang membawa kepada kejayaan tersebut.

Seratus tahun dahulu, kebanyakan orang faham akan perlunya kesabaran itu. Orang sekarang mahukan hasilnya dalam sekelip mata. Tiada kesabaran, tetapi mahu cepat mengecap kejayaan.

Sekarang orang berniaga nak cepat jadi kaya. Maka adalah pula mereka2 yang mengambil kesempatan. Maka muncullah berbagai skim cepat kaya yang berbagai nama dan kaedah. Melalui internet pun ada, dan orang terus percaya tanpa usul periksa.

Graduan banyak menganggur, kerana memilih kerja yang baik sahaja. Tak mahu bermula dari bawah. Tak mahu nak berusaha timba pengalaman. Tak mahu merangkak dahulu, tetapi terus nak berlari. Akibatnya nak merokok pun, pau kawan sana sini.

Adalah suatu realiti dalam kehidupan ini, kebanyakan kita termasuk (saya), kurang mempunyai kesabaran untuk memburu kejayaan. Kita biasanya berhenti terlalu awal sebelum kejayaan dicapai. (Seperti kato orang noghoghi, buek kojo angek-angek taik ayam yo....). Jadi tidak dapatlah kita menikmati kepuasan seperti yang dirasai oleh Tiger, Jimmy dan Mandella itu. (Saya pilih contoh kejayaan di dunia kerana kalau untuk dunia pun orang akan sanggup berbuat yang terbaik, tentulah berganda lagi usaha untuk kebaikan di Akhirat Yang Kekal Abadi.)

Mungkin juga, bukan itu kejayaan/kepuasan yang kita mahukan. Tetapi adakah kita telah berusaha untuk mendapatkan apa-apa kepuasan lain yang kita inginkan itu. Seperti mencari kedamaian abadi.....misalnya! Wallahua'lam.
(Sebahagian) Komen Dari Tokasid:
Kita tidak sabar dalam belajar, dalam bekerja. Kita tidak sabar bila di timpa musibah dan tidak sabar dalam beramal. Bila solat nak segera selesai.
Bila bersedekah juga tidak sabar...kadang2 naik geram bila orang sering meminta.
Insan-insan paling sabar adalah para Nabi. Jika kita baca sirah para Nabi terutama Nabi Muhammad s.a.w. atau Nabi Ibrahim a.s. atau nabi Nuh a.s....amat besar tahap kesabaran mereka. Kemudian kita lihat kesabaran para sahabat Nabi s.a.w. Begitu juga kesabaran para ilmuan Islam dahulu. Kesabaran Imam Abu hanafiah, Imam Malik, Imam Syafi'e dan Imam Ahmad Ibn Hambal...MasyaALLAH.

Saturday, August 18, 2007

Malu

Malu dalam Bahasa Melayu mempunyai banyak perkataan yang sama erti dengannya, seperti segan, janggal, kekok, hina, rendah diri, takut-takut, hormat, keji, aib, bera (bogho kata orang noghoghi) dan tebal muka.

Oleh itu tidak hairanlah jika ia memainkan peranan yang sangat besar dalam pergaulan kita sesama manusia di dalam kehidupan di dunia ini. Malu akan membuat orang yang berakal takut melakukan kejahatan. Sebelum wujud undang-undang manusia, orang terlebih dahulu telah dilindungi oleh hukum malu ini, yang telah sedia ada di dalam keperibadian seseorang. Orang akan merasa malu jika dirinya menjadi buah mulut khalayak. Juga akan merasa malu jika dirinya tidak lagi dipercayai.

Perasaan malu dapat membawa kepada rasa saling hormat menghormati dan membuahkan rasa bahagia dan tenteram di dalam perhubungan. Rasa malu akan menjadikan manusia teguh memegang janji dan kepercayaan. Dari malu juga akan timbul perasaan untuk mempertahankan kehormatan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Malu juga dapat menjana kemajuan pesat sesebuah negara, berlumba-lumba merebut dan mencari kehormatan dan kemuliaan di dalam perjuangan hidup. Kerana malu juga kita tidak mahu mengaku kalah dan keciciran, sebaliknya akan terus berusaha bagi menghasilkan kejayaan dalam ilmu dan pemikiran baru.
Namun demikian, rasa malu tidak akan bercambah di dalam hati orang yang tidak mempunyai kehormatan diri. Kerana tiada rasa malulah, orang sanggup melakukan semua perkara-perkara yang dilarang oleh Agama dan juga undang-undang ciptaan manusia di dunia ini. Oleh itu tidak hairanlah jika kita dapati, terlalu banyak perkara2 mungkar, yang tidak terfikir oleh kita boleh berlaku, telah terlalu banyak berlaku sekarang. Tanpa ada rasa malu dan bersalah oleh pelakunya.

Dalam satu Riwayat Al-Bukhari yang bemaksud, "Dari Abu Mas'ud Uqbah Al-Ansari Al-Badri r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dari perkataan para Nabi (sebelum Nabi Muhammad SAW yang sama pada semua Nabi) yang sampai kepada manusia ialah: Jika kamu tidak malu maka perbuatlah sesuka hati kamu." Wallahua'lam.

Friday, August 17, 2007

Rokok 3

Petang semalam, saya dan isteri telah pergi ke Hospital Kuala Lumpur untuk melawat seorang kawan yang sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau baru sahaja di masukkan ke wad tersebut sehari sebelumnya.

Seperti biasa pesakit di wad tersebut berada dalam keadaan kritikal, dan tidak dibenarkan lebih dari dua orang melawat pada satu-satu masa. Semasa kami sampai, petugas di wad sedang membersihkan beliau yang kelihatan dalam keadaan tenat. Di hidungnya pula terpasang mesin untuk membantu pernafasannya. Dari apa yang saya fahami beliau mendapat COPD. Anda boleh baca di sini untuk maklumat lanjut.

Beliau tidak pun sedar siapa yang datang melawatnya. Kami hanya sebentar di sana kerana ada beberapa orang saudara beliau yang sedang menunggu untuk melawatnya pula. Lagi pun tidak banyak yang boleh kami lakukan, selain berdoa agar beliau cepat sembuh. Dalam perjalanan pulang saya hantar beberapa sms kepada rakan-rakan yang mengenali beliau, tentang berita tersebut.

Kawan ini tinggal tidak berapa jauh dari rumah kami, tetapi di taman perumahan yang berlainan. Apabila pergi ke kedai yang terletak di taman perumahannya, saya sering terserempak dengan beliau di sana, duduk berehat di restoren mamak kegemarannya, sambil menikmati teh tarik sambil merokok.

Saya juga baru ternampaknya di restoren tersebut sehari sebelum dia dimasukkan ke wad. Cuma pada hari itu, oleh kerana baru balik dari tempat kerja dan ingin cepat pulang, saya tidak mendekatinya, cuma memerhatikannya dari jauh, yang sedang rancak berbual. Beliau juga mungkin tidak perasankan saya agaknya.

Beliau seorang perokok sejati. Walaupun sejak beberapa tahun kebelakangan ini beliau kelihatan selalu terbatuk-batuk dan sesak nafas, namun beliau masih terus merokok. Dari muda lagi beliau adalah seorang “chain smoker”, tetapi agak aktif bersukan. Cuma apabila telah bersara dan keadaan pernafasannya yang selalu tidak selasa, beliau tidak lagi bersukan.

Kita tahu doktor di HKL, sedang dan akan melakukan yang terbaik untuknya. Semoga beliau dapat pulih seperti sebelumnya. Hanya doa terutama dari keluarga terdekat dan rakan2 yang dapat dipanjatkan ke hadrat Allah swt, semoga beliau cepat sembuh. InsyaAllah.

Wednesday, August 15, 2007

Berbezakah?

Adakah berbeza hidup seorang kaya yang banyak harta dengan seorang miskin yang hanya ada pakaian sehelai sepinggang sahaja?

Mungkin Si Kaya dapat tidur di rumah besar yang tersergam indah, dan Si Miskin hanya tidor di kaki lima. Tetapi adakah berbeza rasa sakit yang mereka tanggung? Adakah berbeza demam yang mereka hidapi? Tentunya tidak, walaupun Si Kaya tidur di tilam yang empuk dan berselimut mahal, sedangkan Si Miskin hanya tidur di atas simen yang keras.

Kematian boleh datang kepada Si Kaya yang berada di banglo mewah di atas bukit. Begitu juga kematian boleh datang kepada Si Miskin, sehingga dia tersungkur begitu sahaja di tepi jalan. Si Kaya akan dikafani dengan kain putih bersih lagi mahal harganya, manakala Si Miskin pula dikafani dengan pakaian yang melekat di badannya.

Si Kaya dihantar ke kuburan oleh ramai orang, dan si miskin hanya dihantar oleh buruh Majlis Bandaraya yang menjumpai mayatnya. Kedua-dua mayat akan sampai kekuburan, satu perhentian besar, yang tidak membezakan darjat seseorang. Setelah beberapa minggu, hancurlah kain kafan mahal Si Kaya dan pakaian yang melekat di mayat Si Miskin tersebut.

Jelaslah di sini bahawa harta tidak dapat menghindarkan demam dan datangnya kematian. Kesusahan yang menimpa Si Kaya, adalah serupa juga dengan yang menimpa Si Miskin.

Memang mahal pakaian yang dipakai oleh Si Kaya yang berharta, tetapi sungguh pun mahal, ia tidak lebih sebagai penutup tubuh sahaja, sebagaimana juga pakaian murah yang dipakai oleh Si Miskin.

Berbagai jenis makanan yang lazat dapat di makan oleh Si Kaya, tetapi apabila perutnya telah kenyang, dia tetap akan berhenti. Begitu juga halnya dengan Si Miskin, walau memakan nasi tanpa lauk yang enak, akan berhenti juga apabila telah kenyang. Kadang-kadang kita dapati Si Miskin pula yang lebih berselera makan dari Si Kaya. Si Kaya juga sering merasa jemu dengan makanannya yang lazat-lazat tersebut.

Tidak salah hendak menjadi kaya, tetapi cukup dengan apa yang diperoleh secara baik. Harta yang banyak hanya boleh memberi kesenangan pada tiga perkara sahaja. Makan dan minum yang enak, rumah dan pakaian yang bagus serta boleh ke mana sahaja tanpa halangan. Tetapi bukan harta yang banyak atau tiada harta yang boleh menjadikan kita gembira. Asas gembira dan dukacita ialah jiwa yang gelisah atau jiwa yang tenang dan damai. Wallahua’lam.

Sunday, August 12, 2007

Pilihan

(Gambaran Hiasan Saja - Semua Nya Sudah Di Punyai)

Tujuan saya mengeluarkan entri ini bukanlah bertujuan untuk menimbulkan apa-apa kontroversi atau mahu mengundang sebarang pandangan negatif , tetapi hanya ingin berkongsi pandangan, setelah membaca satu artikel menarik di sini.
Setiap manusia mempunyai cita rasa sendiri apabila membuat pilihan, walau untuk tujuan apa sekali pun. Ini termasuklah apabila memilih pakaian, makanan, rumah, pekerjaan, kereta, kawan dan juga pasangan hidup. Ya, terutamanya pasangan hidup. Di sini saya hanya ingin berbincang tentang pilihan kaum wanita seperti tertulis di dalam artikel tersebut.
Walau pun kajian ini telah dilakukan di luar negara, saya rasa ianya, seperti kita sedia maklum, dunia tanpa sempadan, ada persamaan pendapat dengan cik2 dan puan2 di sini.

Kajian yang dibuat melalui internet ini mendapati bahawa wanita lebih suka memilih lelaki yang beperawakan lemah lembut, berdahi licin, berkulit halus dari lelaki yang tegap, sasa dan berotot, untuk menjadi teman jangka panjang mereka. Mereka menanggap lelaki begini akan lebih komited dan jarang akan berlaku tidak jujur.

Kajian itu juga merumuskan bahawa lelaki yang berwajah menarik, bibir yang penuh, bermata luas, bulu kening yang nipis dan melengkong, adalah sensitif dan sesuai dijadikan pasangan untuk jangka panjang.

Hasil kajian itu juga mendapati adalah sebaliknya, tentang pandangan umum yang mengkaitkan lelaki yang macho sebagai seorang yang sihat dan tidak mudah diserang penyakit. Iasemstinya begitu. Lelaki tersebut mungkin boleh menjadi seorang yang dominance, tetapi tidak semestinya dia dalam tip top physical condition.

Satu lagi yang menarik ialah, wanita juga sukakan lelaki yang berwajah lebih matang (tentu anda terfikirkan seseorang yang berkahwin dengan lelaki matang kan?) Ops.... cukup disini.

Friday, August 10, 2007

Bahagia

Jika ditanya kpada orang ramai apakah tanggapan mereka tentang bahagia, setiap mereka akan mempunyai kaedah yang berlainan tentang bahagia. Dan biasanaya ia akan berkaitan dengan sebanyak mana penderitaan, sebanyak mana pengalaman dan sebanyak mana kekecewaan yang telah mereka tempuhi.

Prof. Dr. HAMKA dalam bukunya telah menyenaraikan bahagia bagi oang-orang tertentu itu seperti berikut:

1. Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan.

2. Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan.

3. Orang yang telah terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa berhenti dari dosa itulah kebahagian.

4. Seorang yang tengah rindu dan bercinta mengatakan bertemu kekasih itulah bahagia.

5. Seorang pemimpin rakyat berpendapat, bahawa kemerdekaan dan kecerdasan umat bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia. (Ini pemimpin sejati ni.)

6. Seorang perawan dusun bernama Asma binti Bahdad, yang dikahwini oleh Muawiyah bin Abu Sufyan, berkeyakinan bahawa bahagia itu adalah kembali kedusunnya, di dalam pondoknya yang buruk, walaupun sekarang dia dalam istana yang indah.

7. Seorang pengarang syair merasa bahagia jika syairnya jadi hafalan orang. Seorang wartawan merasa bahagia jika surat khabarnya dan tulisannya difahami orang. (Bloggers pun begitu agaknya).
Biar apa pun persepssi bahagia kepada anda tentukan ia tidak sampai menyusahkan orang lain. Hak orang perlu dijaga dengan baik dan tidak dibuat sesuka hati, seperti harta sendiri. Tanggungjawab dan amanah perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Seperti kata orang tua-tua, jika tidak boleh mengembirakan, jangan membuatkan orang bersedih. Jika tidak dapat menyenangkan jangan menyusahkan. Jika tidak dapat meringankan jangan memberatkan. Buat kepada orang apa yang kita mahukan untuk diri kita. InsyaAllah kita akan merasa bahagia.

Wednesday, August 08, 2007

Risau

Kita merasa risau tentang banyak perkara. Tentang kerja kita, pelajaran anak-anak, keadaan cuaca, malahan apa yang jiran fikir tentang kita pun merisaukan kita.

Pada hakikatnya kita tidak perlu merasa risau, kerana ia tidak berfaedah bahkan ia akan membawa kesusahan dan ia juga tidak baik untuk kesihatan.

Oleh itu apabila merasa risau, tangguhkan perasaan tersebut. Ambil tindakan yang positif untuk mengatasinya. Jangan biarkan masalah berlarutan, ia perlu diatasi segera. Masalah tidak pergi dengan sendirinya.

Apabila kita mula merasa risau berkenaan sesuatu perkara, tanya diri kita, apakah masalah sebenar yang dirisaukan? Mungkin anda akan dapati anda tiada bermasalah sebenarnya, melainkanlah jika nyawa anda betul-betul terancam pada masa itu.

Realitinya, betul, kita sering menghadapi masalah. Kita ditimpa sakit, masalah kewangan, diberhentikan kerja dan sebagainya. Tetapi itu tidak seharusnya menjadikan kita risau tidak menentu.

Apabila timbul masalah, kita harus hadapinya satu persatu. Mungkin anda tidak dapat selesaikannya sendirian. Anda tentunya boleh dapatkan pertolongan dari orang lain. Lakukan apa yang boleh dilakukan pada hari ini, waktu ini, dan lupakan untuk menjadi risau.

Lihat kehidupan anda sekarang, pernahkah anda tidak dapat menyelesaikan setiap masalah anda. Jawapannya tentu tidak, kerana anda masih berada di sini sekarang.

Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati 40% daripada perkara yang mereka risaukan itu tidak akan terjadi. 30% lagi perkara yang telah lama berlaku dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaikinya. 22% pula tentang perkara-perkara yang remeh sahaja. 4% lagi tentang perkara sebenar yang betul berlaku dan mereka tidak boleh menghalangnya dan hanya 4% sahaja kerisauan mereka tentang perkara yang mereka boleh berbuat sesuatu mengenainya. Ini bermakna 96% dari kerisauan itu tidak membawa apa-apa kebaikan pun. Statistiknya di Malaysia juga mungkin begitu.

Oleh itu terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Samaada anda ingin melayan kerisauan anda tentang sesuatu yang tak mungkin terjadi itu, atau melakukan semua aktiviti berfaedah yang ada di sekeliling anda untuk dinikmati.

Monday, August 06, 2007

Adil Kah Kita?

Agak pelik jika difikirkan, apabila kita, pada ketikanya memberi lebih perhatian/layanan kepada orang yang baru kita jumpai, melebihi dari layanan yang diberi kepada ahli keluarga kita.

Kita lebih memandang kepada anggapan kawan-kawan tentang kita. Kita sentiasa akan ada masa untuk mendengar luahan perasaan orang yang kurang kita kenali. Malahan, kita juga akan luangkan lebih masa untuk mereka, dari kepada anak-anak dan ibu bapa kita.

Realitinya, ibu-bapa kita, setiap hari berkorban untuk kita, tetapi adakah kita terfikir akan pengorbanannya itu? Berapa kali sebulan kita balik menziarahi mereka atau sekurang2nya, menelefon mereka.

Tetapi sebaliknya, sedikit pertolongan dari orang yang baru kita kenali, akan terpahat kuat di ingatan kita. Kita juga akan menghabiskan banyak masa dengan kawan-kawan, untuk lepak2 sambil menonton bola. Tetapi sedikit masa berada di rumah sudah terasa bosannya.

Kita sepatutnya menukar situasi ini. Ahli keluarga hendaklah diberi layanan terbaik dan sebaik mungkin (they deserve the best), dan rakan diletak pada tempat kedua dan seterusnya.

Biasanya kita akan hanya mengenang kebaikan seseorang itu, apabila mereka telah tiada lagi. Ia sesuatu yang yang baik, namun adalah lebih baik jika kita dapat menzahirkannya semasa mereka masih bersama kita. Kerana sekurang-kurangnya, kita akan dapat tahu betapa gembiraya mereka dengan keprihatinan kita terhadap insan2 yang ita sayangi itu.

Terima kasih kepada semua anak-anak keseluruhannya, walau telah berkahwin, bekerja di luar kawasan, belajar di luar negera/di dalam negeri atau tinggal bersama keluarga, tetapi masih tetap mengambil berat terhadap kebajikan ibu bapa mereka. Anda semua juga akan mengalami pengalaman yang sama di suatu masa kelak. "What goes around will comes around".


(Kandungan N3 ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana makhluk yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Kalau ada yang terasa pedasnya, minumlah air banyak-banyak)

Sunday, August 05, 2007

Pulau Layang Layang

Malaysia mungkin mempunyai lebih kurang 3,000 pulau (anggaran sahaja) di sekitar perairannya. Namun jika di bandingkan dengan lebih 7,100 di Filipina dan lebih 13,500 di Indonesia, itu hanyalah satu jumlah yang kecil.
Kebanyakan pulau-pulau ini pula, tidak ada penhuninya dan mungkin juga, tidak akan ada sesiapa yang mahu tinggal disana, melainkan terpaksa, atau kapalnya terkandas di sana. Di samping itu kebanyakan pulau-pulau ini tidak pernah kita dengar pun namanya, seperti Pu Omadai, Pu Patuk, Pu Jahat, Pu Kulapuan, Pu Sabangkat dan lain lain lagi, melainkan kepada orang tempatan.

Tetapi ada pula beberapa pulau yang sangat terkenal, seperti Pu Batu Putih, Pu Sipadan dan Pu Ligitan disamping Pu Langkawi dan Pu Tioman. Pulau Layang-Layang (PLL) yang telah saya lawati ini juga, salah satu pulau yang agak terkenal juga terutama penduduk di Sabah atau peminat scuba diving. Ia terletak di laut China Selatan, lebih kurang 300 km North West Kota Kinabalu.















Pulau Layang Layang ini, nama asalnya ialah "Swallow Reef", atau Terumbu Layang Layang. Pertama kali saya kesana pada tahun 80an, dan tidak berpeluang untuk mendarat, pada masa tersebut juga tidak ada lagi resort dan lapangan terbang di sana.







Pada tahun 2001, satelah meninggalkan perkhimatan, saya berpeluang bercuti sambil bekerja selama dua minggu di pulau buatan manusia ini, sambil menyelia kerja sebuah syarikat di perairan tersebut. Jika sebelumnya saya ke sana dengan kapal yang mengambil masa 12 jam, kini perjalanannya cuma dua jam dengan kapal terbang dari Kota Kinabalu..

Kerana hanya ada satu sahaja resort di sana, maka resort tersebut menjadi tempat kediaman saya selama dua minggu. Makan kerja dan tidor, di sana selain menenangkan fikiran di satu-satunya pulau di tengah-tengah Laut Cina Selatan itu.

Oleh kerana tidak berminat untuk berscuba diving (segan nak buka aurat), juga masa yang terhad dan tujuan ke sana untuk bekerja, tidaklah dapat menikmati keindahan alam di bawah air yang diwar-warkan keindahannya itu.

Pulau ini juga menjadi tempat persinggahan camar dan burung-burung lain, yang menjadikan hujung pulau tersebut sebagai sanktuari mereka.

Ketenangan ketika berada di sini, mungkin hanya akan terhenti apabila tiba waktu untuk membayar bil penginapan setelah selesai percutian.

(Gambar-gambar adalah "cut and paste" dari laman-laman web yang sedia ada. Maaf kerana tidak mengambil sendiri gambar2 di sana).

Friday, August 03, 2007

Jambatan 1 & 2

Jambatan ini telah banyak kali saya lalui untuk ke Pulau Pinang, dan selalunya tidaklah pada masa yang sibuk. Mungkin hanya sekali pernah mengalami kesesakan, kerana sampai di jambatan itu, pada waktu orang Penang baru balik dari tempat kerja.
Kini sebuah lagi jambatan akan dibina untuk mengurangkan kesesakan yang di alami di jambatan pertama itu. Tentunya jambatan baru ini akan mempunyai banyak kelebihan dalam segala hal berbanding dengan yang pertama.

Harganya pula kalau nak tulis terlalu banyak "0" nya, jadi saya tak perlu tulislah, takut terkurang "0" nya nanti. Ia dijangka mula dibena pada November ini, dan siap pada 2011. Lama jugalah masanya baru boleh diguna.

Ini mungkin tidak akan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada masa puncak di jambatan pertama, kerana ia adalah pilihan utama untuk keluar masuk Pulau Pinang bagi orang di sana. Laluan kedua mungkin sesuai bagi orang yang datang dari selatan untuk ke Penang. Untuk menggunakan jambatan kedua itu mereka yang dari Prai akan perlu mudik lebih 20km ke selatan untuk menggunakannya, dan tol nya pula mungkin lebih mahal.

Saya juga telah membuat sedikit tinjauan melalui laman web ini yang memberikan gambaran dari masa ke masa keadaan trafik di jambatan pertama tersebut. Apa yang saya dapati dalam masa dua tiga hari ini tidaklah banyak sangat kereta melaluinya, walaupun pada waktu puncak. Mungkin kawan2 di Penang boleh bagi info terkini kot.

Di samping projek Jambatan Kedua itu, jambatan pertama ini akan pula di tambah satu lane lagi untuk setiap laluan. Ini akan memakan belanja lebih RM400 juta. Kerja persediaan pula sedang berjalan sekarang dan apabila pembinaan bermula, mungkin hanya satu laluan sahaja, setiap hala yang akan boleh diguna.

Pembinaan juga mungkin akan dibuat pada waktu malam sahaja, untuk mengelakkan kesesakan yang melampau dari berlaku. Semoga warga Penang banyak bersabar, untuk keselesaan di masa hadapan. Di samping itu, ia juga memberi ruang untuk pengagihan kepada yang layak, "kekayaan negara", dapat diteruskan.

Thursday, August 02, 2007

Rokok 2

(Kiri ke kanan - Dr. Jeffrey Wigand, Russell Crowe, Al Pacino, Lowell Bergman)

Pada malam semalam saya telah tertonton satu movie, The Insider, di stesen Astro, cerita tentang Dr. Jeffrey Wigand, yang mendedahkan konspirasi pengilang rokok yang besar di US, memanipulasi maklumat tentang rokok untuk mengaut keuntungan.

Selepas menonton filem ini, yang berdasarkan kepada cerita sebenar, saya telah melayari laman web ini, dan menemui banyak maklumat yang saya rasa rugi, jika tidak dikongsi dengan perokok tegar yang kadangkala ada melawat ke blog ini. Lawatilah blog tersebut untuk kepuasan anda merokok.
Dalam banyak-banyak artikel yang saya jumpa dan baca, artikel ini amat menarik untuk di beri perhatian, terutama bagi mereka yang ingin berhenti merokok.

Saya tidak bermaksud untuk melarang anda dari merokok, tetapi mungkin anda boleh baca sendiri kenapa anda perlu berhenti merokok, seperti di bawah dan banyak lagi:

"You will live longer and feel better. Quitting will lower your chances of having a heart attack, stroke, or cancer. The people you live with, especially children, will be healthier. If you are pregnant, you will improve your chances of having a healthy baby. And you will have extra money to spend on things other than cigarettes".

Renung-renungkan dan selamat mencuba.

Wednesday, August 01, 2007

Marah

Jangan marah, nanti kena jual kata Abdul Wahub.
Bapa mertuanya tetap marah, maka
beliau dan pembantunya pun dijual.

Manusia mudah sangat menjadi marah. Di jalanraya, di restoren, di pasar raya, di telefon, di hospital, malah dalam Dewan Rakyat pun marah-marah. Di mana-mana saja orang boleh marah, waima di Masjid atau di Surau.

Selalunya, kita marah bukan kerana sesuatu yg berlaku. Tetapi, kerana tidak mendapat apa yang kita harapkan. Itu yang yang membuat kita menjadi marah.

Misalannya anda masuk ke sebuah restoren. Anda mnegharap akan dilayan dengan cepat. Sebaliknya pelayan tidak hiraukan anda, kerana dia ada prioriti yang lain. Setelah lama menunggu anda menjadi marah.

Di sini bukan pelayan itu yang bersalah, kemahuan anda untuk dilayan segera puncanya. Pengharapan yang tidak tertunai ini membangkitkan perasaan marah.

Ramai orang tidak sama pendapatnya dengan kita, dan dalam banyak keadaan perancangan kita tidak sentiasa berjaya. Oleh itu, semakin kurang kita berharap kepada orang atau dalam hidup ini, akan lebih tenteramlah jadinya diri kita.

Orang pemarah selalunya menganggap diri mereka sahaja yang lebih penting dan sentiasa betul dalam apa juga keadaan. Jika mereka tidak dapat apa yang mereka hajati, mereka menjadi marah. Oleh itu, bersabar, dan beri peluang pada orang lain pula, sesekali, mendapat apa yang mereka mahukan.

Terdapat lebih 22 juta manusia di negara ini. Untuk mereka mendapat apa yang mereka mahukan, ada kalanya, kita harus pulang dengan tangan kosong dan redho dengan keadaan itu.