Monday, December 11, 2006

Marilah Menuju Kejayaan

Di suatu petang Sabtu, di sebuah surau, selepas selesai Azan Asar, hujan masih turun walau tidak berapa lebat. Dua jemaah sedang bersembahyang. Di belakang Imam ada sebuah kerusi dan di belakang makmum juga ada sebuah kerusi. Jemaah yang ketiga yang tidak perlukan kerusi untuk bersembahyang tiba lewat dan mengambil tempat di belakang Imam yang telah mula bersembahyang. Alhamdulillah, mereka bertiga masih dapat menunaikan fardu kifayah sembahyang berjemaah di Taman tersebut.

Terdapat lebih 240 rumah di taman tersebut dan 99.9% orang Melayu tinggal di taman tersebut. Mungkin Azan yang dilaungkan tidak dianggap sebagai panggilan dari Allah untuk bersolat dan menuju kejayaan. Atau mereka semua ke Masjid atau surau lain di luar taman tersebut. Bersangka baik lagi.

Friday, December 08, 2006

Derma Yang Ikhlas

Semasa di dalam Masjid untuk bersembahyang Jumaat hari ini telah dapat duduk di sebelah seorang jemaah yang berpakaian agak kemas, mungkin dalam pakaian kerja. Sambil duduk, sementara menunggu Azan di laungkan, dia kelihatan menggira-gira wangnya yang agak banyak, satu not RM100 dan beberapa helai RM50.

Selepas Azan dan bersembahyang sunat, jemaah yang sama kelihatan mengira-gira pula not RM1 seringgitnya. Kemudian apabila kotak derma masjid bergerak dihadapannya,
beliau kelihatan memasukkan wang 50c ke dalamnya. Mungkin beliau baru terjumpa jumlah yang ikhlas untuk didermakan. Saya bersangka baik..

Thursday, December 07, 2006

Tender oh Tender...

Syarikat kami baharu sahaja menyiapkan satu dokumen tender untuk dihantar dan pertimbangkan bagi satu projek sebuah Jabatan Kerajaan.

Kami diberitahu terdapat 9 syarikat telah membeli dokumen tender tersebut, tetapi hanya lapan telah datang untuk taklimat, dan dari khabar2 angin yang didengar kemungkinan hanya 3 sahaja syarikat yang akan menghantar kembali dokumen tender tersebut.

Spesifikasi kerja yang memerlukan 5 bidang yang jauh berbeza yang tidak mungkin dipunyai oleh satu syarikat mungkin punca tidak ramai yang berminat. Pengabungan akan meningkatkan kos pelaksanaan dan melebihi dari jumlah yang diperuntukkan.

Besar kemungkinan tender ini akan di tender semula dan spesifikasi kerjanya diubahsuai. Semoga ini akan berlaku dan Jabatan tersebut perlu membuat anggaran kerja yang diperlukan dengan harga yang hendak dibayar untuknya. Jika peruntukan yang ada hanya mampu untuk membeli WIRA jangan PERDANA yang di harapkan.

Tuesday, December 05, 2006

Lampu Rosak

Gambar Hiasan
Semasa hendak ke tempat kerja pagi tadi, di satu simpang empat terdapat beberapa kereta berhenti dan di hadapan sekali terdapat dua buah motorsikal polis trafik di letak untuk menghalang jalan tersebut. Dua anggota trafik tersebut yang berada berhampiran motorsikal tersebut sedang berbual-bual(?), tanpa menghiraukan kereta yang mula berkumpul di persimpangan itu.
Saya tertinjau-tinjau kerana menyangkakan ada kemalangan. Tetapi tiada pula kelihatannya, dan barulah terperasan yang lampu trafik di simpang itu telah tidak berfungsi. Sepatutnya polis trafik itu berada di tengah jalan untuk mengawal lalu-lintas dan tidak menahan satu hala sahaja dan tidak pula memberitahu pemandu supaya mengambil jalan lain untuk meneruskan perjalanan, kerana asyik berbual.
Setealh beberapa minit di situ, barulah salah seorang anggota trafik tersebut menunjuk-nunjuk kepada kami semua supaya mengambil jalan lain untuk meneruskan perjalanan.
Mungkin juga mereka di saitu untuk tujuan lain (VVIP nak lalu disitu ke atau seumpamanya), tetapi berilah tahu supaya orang tidak tertunggu-tunggu. Harap pekalah jangan peka..